Dalam keadaan pandemik sekarang, ramai orang terkesan dek diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan utama. Apa lagi yang boleh dibuat selain berniaga sendiri. Alhamdulillah, ini adalah usaha yang sangat terpuji kerana ada usaha untuk membaiki kehidupan menjadi lebih baik, daripada hanya meminta ihsan orang semata.


Dan, antara lapangan perniagaan yang paling banyak diceburi sekarang ini adalah bisnes makanan kerana ia adalah cabang yang agak kurang terkesan pada situasi sekarang. Kerana, dalam apa pun keadaan makanan tetap orang cari dan perlu untuk kelangsungan hidup. Kebanyakan kita tidak akan mencatu makanan walaupun ekonomi merundum.


Penulis sendiri suka melihat kebanyakan teman-teman dan orang di sekeliling yang gigih mencari rezeki dengan berniaga makanan. Ini juga peluang untuk menambah amal jika dilakukan dengan baik. Islam sendiri menggalakkan umatNya berniaga. Dari Rafi’in bin Khadij ra. ia berkata : Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi, “Wahai Rasulullah, pekerjaan apa yang paling baik?” Lalu Rasulullah menjawab “Pekerjaan yang dilakukan seseorang dengan tangannya dan juga setiap jual beli yang mabrur (baik)” (HR. Al- Baihaqi).




Kredit Foto: Google




Berniaga Makan Seronok Kalau Peniaga Ikhlas


Tidak dinafikan berniaga makananlah antara bidang perniagaan yang menyeronokkan. Selain mudah meraih keuntungan, kalau dijalankan dengan cara yang betul ia memberi jalan yang sangat mudah untuk kita bersedekah sambil berniaga itu. Membuatkan orang yang membeli itu kenyang juga sudah pahala.


Apatah lagi jika si pembeli berasa bersyukur dengan rezeki dan nikmat itu, memuju-muji dan gembira dengan makanan yang dibeli tersebut. Dan lebih hebat lagi jika peniaga turut menyelitkan sedekah dalam penjualan makanan itu seperti melebihkan portion atau memasak dengan bahan-bahan berkualiti bagus.


Cuma yang menyedihkan apabila makanan yang dijual itu langsung tidak mencapai kualiti yang diharapkan. Ada sesetengah peniaga ambil mudah cara penyediaan makanan, bersikap ‘asal boleh’ kerana berasakan orang yang membeli tidak kisah dengan apa yang dijamahnya.




Kredit Foto: Google




Sekali Orang Rasa Sedap, Pelanggan Pasti Datang Lagi


Ya, ini hakikatnya berniaga makanan. Kalau sedap, orang akan ulang datang tanpa perlu dipromosi beria-ia. Kita tidaklah mengharapkan masakan itu seenak masakan Emak di rumah tetapi janganlah sampai rasanya terlalu ‘teruk’ sehingga tidak mampu ditelan. Malah, pada tekak kanak-kanak pun tidak mampu dijamah.


Penulis bukanlah handal sangat memasak tetapi pasti kita ada ‘tekak’ untuk membezakan makanan yang sedap dan tidak. Kalau setakat goreng mi rasa pahit, apa kriteria tukang masak itu? Jual nasi lemak tetapi rasanya seperti nasi putih, kenapa harus menipu? Ada pula jual cekodok pisang, tepung saja rasanya, pisang entah di mana.


Disebabkan itu, ada sesetengah peniaga makanan tidak mampu bertahan lama, terutamanya makanan viral. Orang rasa sekali, dua, orang tidak akan ulang lagi kerana kualiti rasa yang terlalu rendah dan tidak kena pada harga yang dijual. Makanan harus dimasak dengan cukup bahan dan rasanya, barulah yang membeli pun ikhlas membayar.




Kredit Foto: Google



Utamakan Juga Kebersihan dan Adab Memasak


Sebab itulah, arwah Emak penulis tidak suka bawa anak-anak makan di luar. Ketika kami kecil lagi, arwah Emak akan pastikan dua tapak tangannya itu yang akan menyajikan makanan untuk anak-anaknya, walaupun dia seorang ibu tunggal dan bekerja. Daripada sajian sarapan, makan tengah hari, minum petang hinggalah ke makam malam tersedia di atas meja.


Lagi pula, kata arwah Emak, masakan di luar belum tentu bersihnya. Dan kita sendiri tidak tahu bagaimana cara penyediaan mereka di dapur itu? Sedangkan, kita digalakkan makan hasil masakan orang yang baik-baik kerana di situlah adalah berkatnya. Ingat ya, setiap makan minum yang masuk ke perut kita itu menjadi darah daging.


Namun, tidak semualah begitu. Ada saja peniaga yang pembersih dan menitikberatkan setiap langkah penyediaan makanan itu. Ada peniaga yang lebih mulia hatinya, akan memulakan sesi memasak dengan bacaan al-fatihah, banyakkan berselawat dan berzikir sepanjang proses memasak itu.


Syukurlah jika lebih ramai peniaga ada sikap dan kesedaran seperti itu. Jagalah kebersihan dan adab ketika memasak. Pastikan rambut ditutup untuk elak rambut gugur ke dalam makanan, kuku biarlah dipotong pendek, tangan dibersihkan terlebih dulu, pastikan semua pembantu turut melalui proses yang sama.


Angkatlah darjat makanan itu setingginya kerana ia adalah rezeki kurniaan Allah. Jika kurang lagi ilmu memasak, tambahkan ilmu dan asah bakat bakat dengan belajar bersama guru, telaah banyak resepi di buku masakan atau internet. Dan, mahirkan dulu skil memasak dengan menyediakan untuk diri sendiri dulu.


Rasa pada tekak anda dulu, kemudian kepada kenalan terdekat. Minta mereka komen dengan jujur bagaimana rasa air tangan anda? Jika semua memberikana komen yang memberansangkan, barulah mula buka perniagaan anda kepada pelanggan. Lagi satu, jangan kedekut dalam menyedapkan masakan itu. Tidak jatuh bankrup pun kalau dimasak dengan bahan secukup rasanya dan dilebihkan mana yang perlu.


Semoga berjaya dan rezeki berniaga anda dilimpahkan.