,
Read

“Mummy Cucuk Luka Dengan Jarum, Merebak Sampai Kaki Kena Potong!” — BILLA NAJMI Dedahkan Kisah Benar

Public Anonymous User
07/05/2018
06:19 MYT
Oleh: Huda Hussain

MASIH ingat buah hati gitaris yang berjaya mencuri tumpuan sepanjang Akademi Fantasia (AF) 2015 berlangsung? Inilah Billa Najmi hari ini. Daripada 140.8kg, dan kini Billa berjaya mengurangkan berat 112.4kg.
Selami perjalanan dan detik sukar yang harus ditempuhi gadis muda ini. Ada kisah pengorbanan, suka duka dan peristiwa bonda tersayang yang terpaksa dipotong kaki akibat diabetes mengobarkan semangatnya untuk terus menjalani gaya hidup sihat seperti apa yang dilaluinya kini.
Ceritakan secara ringkas siapa Billa dan rutin kehidupan Billa sebelum dan selepas menjadi bintang AF 2015?
Nama penuh saya Nurnajmi Nabila Samsaidi, kini berumur 22 tahun dan salah seorang finalis AF 2015. Selepas tamat AF, saya masih menyanyi dan kini menjadi pembantu penerbit selain melatih kumpulan baru, Off Note.
Billa suka menyanyi. Tetapi pada pandangan Billa, apakah masyarakat kita sudah cukup bijak menilai dan menerima penyanyi yang mungkin tidak berapa mengasyikkan secara visual, tapi memiliki bakat dan suara yang luar biasa? Komen?
Pada saya majoriti orang berkata masyarakat Malaysia sudah punya ‘telinga’ – mendengar tanpa melihat figura seseorang. Tetapi bagi saya, masih ada lagi dalam kalangan kita yang menilai rupa berbanding suara.
Misalnya anda punya rupa paras cantik tetapi bakat biasa-biasa sahaja tetapi anda boleh pergi jauh dalam industri. Belum ada ruang dan peluang yang mencukupi untuk kami yang bersaiz plus ini kecuali mereka yang benar- benar berbakat.

A post shared by BILLA (@billa_najmi) on

Kedengaran seperti merajuk sahaja, adakah Billa berpendapat industri hari ini tidak berlaku adil atau bagaimana?
Ada kalanya saya punya pandangan sedemikian. Jika mahu dikatakan kecewa, ya kadang-kadang saya diselubungi perasaan itu. Tetapi saya percaya ia banyak bergantung kepada pelbagai faktor. Bergantung juga kepada nasib seseorang.
Benarlah kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Apa yang telah Billa pelajari daripada ayahanda Eddie, gitaris legenda Wings yang sudah berpuluh-puluh tahun berjuang untuk industri muzik rock. Tentang prinsip hidup, tentang ketahanan mental, tentang sepak terajang industri?
Daddy adalah role model saya. Dia banyak mendidik supaya sabar dengan ragam orang sekeliling, mendengar dan menerima kritikan, bagaimana mahu mengelak daripada kontroversi sehinggakan dia pernah menasihati saya, “Biar orang buat kita, jangan kita buat orang.”
Dan apabila saya memilih untuk menyertai AF, Daddy adalah insan yang paling bangga. Daddy dan Mummy menyokong sepenuhnya apa yang saya lakukan kini kerana dahulunya saya seorang yang amat pemalu. Waima Mummy beri wang agar saya menyanyi sekalipun saya tolak dan enggan menyanyi kerana takut dengan penerimaan orang lain.
Daddy banyak memberi semangat, berkongsi cerita bagaimana perlu membawa diri dalam industri, tentang pentingnya menghormati orang lain dalam industri, mengapa perlu ringan mulut bertanya, bersikap ramah dan lain-lain.
Tidak dinafikan ramai cakap-cakap orang yang mengatakan saya menggunakan nama Daddy untuk bergelar penyanyi. Saya tidak dapat lari daripada hakikat itu kerana dialah bapa saya. Saya terima apa yang orang lain perkatakan kerana di sebalik pelbagai cerita yang berbangkit, hanya saya dan Daddy sahaja yang tahu.

Boleh Billa kongsikan sejarah bagaimana Daddy membentuk dan mendidik Bila menjadi penyanyi sejak kecil dahulu?
Sebenarnya Daddy tidak pernah mengajar saya menyanyi kerana dia sendiri bukan penyanyi. Tetapi dia tahu saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi. Di mana jua saya akan menyanyi – di dalam bilik air, di ruang tamu, dalam bilik sehinggakan bising satu rumah dan ahli keluarga yang lain juga pernah berkata, “Boleh senyap tak?” (hahaha) dan daripada situ dia sudah lihat bakat saya.
Berkali-kali juga Daddy memujuk agar saya menyanyi tetapi saya enggan. Pernah juga Mummy menyuruh saya menyanyi ketika menghadiri majlis-majlis perkahwinan tetapi saya terlalu malu untuk menyanyi di hadapan khalayak ramai.
Saya hanya menyanyi dalam kalangan keluarga sahaja. Usaha Daddy memujuk dan menyuruh saya menyanyi tidak pernah terhenti dan sering memberi semangat. Lama-kelamaan saya akur dan cuba menghantar audio secara online ketika AF 2015. Sejujurnya Daddy sentiasa percaya saya boleh menyanyi malah pernah kecewa kerana saya enggan menyanyi.

Billa muat naik satu pos pada 19 Februari menunjukkan transformasi berat badan Billa daripada 140.8kg menjadi 116.8kg dalam tempoh tujuh bulan. Bermakna Billa kehilangan 24kg. Ceritakan perjalanan dan struggle untuk mencapai itu?
Tipulah kalau orang yang bertubuh plus saiz tidak mahu tampil langsing dan kurus. Dijadikan cerita, suatu hari saya terserempak dengan seorang Aunty di sebuah majlis rumah terbuka. Saya lalu di hadapannya dan dia terlebih dahulu menyapa saya.
Katanya,“Billa Aunty minat awak.” Dan usai berbual kosong ada satu kenyataannya yang benar-benar membuka mata, hati dan minda saya lantas dijadikan penguat semangat untuk saya cuba kurangkan berat badan.
Ujarnya, “Billa, awak sebenarnya cantik tapi sayang, badan awak tak cantik.” Serta-merta saya merasakan seolah- olah ada seseorang menampar muka saya dan umpamanya tersentak seketika.Ya Allah,Aunty ni!”.
Namun apabila difikirkan sedalam-dalamnya, ada benar pada kata-kata Aunty itu. Tutur katanya penuh hemat, lembut dan sopan santun sehingga bikin cair hati saya mendengarnya. Kemudian kami meneruskan perbualan dan Aunty bertanya, “Tak mahu kurus ke?” Saya membalas, “Bukan tak mahu kurus, tapi susahlah Aunty.”
Seraya Aunty membidas, “Mana ada susah! If you want to do, then you better do it.” Dan kebetulan dia juga adalah seorang jurulatih yoga. Dan Aunty yang saya maksudkan adalah Dato’ Khairunisa.
Permintaannya agar saya mendengar nasihat dan mengikut apa yang disuruh. Bertitik-tolak dari situ jugalah saya nekad mahu menyahut cabaran itu dan ubah sikap agar tidak bersikap degil.
Saya mula melakukan senaman yoga secara konsisten. Sebenarnya melakukan senaman yoga ini amat memenatkan. Peluh yang keluar mencurah-curah seolah-olah saya berlari! (hahaha).

Makanan dan minuman – apa yang Billa suka? Apa pula yang dijauhi atau menjadi kepantangan?
Saya memang suka minum air manis! Dahulu saya gemar minum air bikarbonat Coke (dua tin). Dan apabila hari pertama saya tidak minum Coke, air manis impaknya seakan-akan saya sedang berpuasa! Tetapi saya harus kurangkan minum air manis kerana ia umpama sesuatu yang membuatkan saya ketagih.
Jika dahulu saya gemar makan kek keju dan setiap hari saya makan coklat. Tetapi kini yang paling ketara adalah saya berhenti daripada mengambil minuman dan makanan manis. Banyakkan minum air masak, sekurang- kurangnya satu liter sehari atau jika mampu saya minum dua liter.
Ia agak mencabar kerana saya bukanlah orang yang gemar minum air masak. Rasa payah juga mahu pastikan minum air sebanyak itu. Perubahan lain saya mula rasakan, kulit wajah juga lebih lembap dan terasa bersih.
Billa pastikan takkan makan selepas jam tujuh malam. Jika terasa lapar, Billa minum air sahaja. Dan bagi mereka yang punya masalah gastrik, pasti perlu makan bukan? Cuba amalkan makan sengkuang cina (dimakan mentah tanpa cicah apa-apa okey) saya mula rasakan, kulit juga lebih lembab dan terasa bersih.
Billa pastikan takkan makan selepas jam tujuh kerana ia mengandungi serat, berupaya membakar lemak dan mengenyangkan. Saya makan seperti biasa tetapi saya ambil dalam porsi yang sedikit.
Pada saya kunci kepada segala-galanya adalah menjaga pemakanan dan amalkan senaman. Terkini berat badan saya 112.4kg, alhamdulillah.

A post shared by BILLA (@billa_najmi) on

Jika boleh huraikan secara spesifik, apakah jenis senaman dan teknik yang Billa praktikkan dalam usaha mengurangkan berat badan?
Memandangkan Aunty Nisa kini berehat kerana mengalami kecederaan, maka saya ambil inisiatif untuk melakukan senaman sendiri dan praktikkan apa yang diajar. Dan dalam banyak-banyak senaman, bahagian perut yang paling mencabar. Angkat kedua-dua kaki dan dapat rasakan tekanan pada bahagian perut.

Bonda Billa menghidap sakit kencing manis. Dan pada Hari Raya tahun 2010, dilaporkan bonda Billa dimasukkan ke Hospital Ampang dan kaki kanannya terpaksa dipotong. Apakah tamsil kejadian ini? Apakah ini satu asbab yang kuat untuk Billa terus menukar amalan gaya hidup menjadi insan sihat?
Selepas apa yang berlaku kepada Mummy, sedikit-sebanyak ia memberi tempias dan menguatkan semangat saya untuk kurangkan berat badan dan amalkan gaya hidup sihat. Saya turut sama berduka melihat keadaannya, rasa kasihan sehinggakan saya terfikir; kalau saya sendiri jatuh sakit bagaimana saya berupaya untuk membantu Mummy? Dan saya tidak mahu ia berlaku kepada diri saya.
Dari situ saya muhasabah diri. Jika saya masih berada di takuk lama, tidak menjaga pemakanan, tidak bersenam pasti suatu hari saya akan jatuh sakit. Dan takkanlah pula Mummy atau Daddy yang perlu menjaga saya? Justeru saya bangkit dan kuatkan iltizam untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.
Seperkara lagi mengenai pengajaran yang saya peroleh daripada peristiwa Mummy adalah, penyakit diabetes sebenarnya adalah penyakit yang membunuh dalam senyap. Mahu atau tidak, anda perlu ubah gaya hidup, bersenam dan menjaga pemakanan.

Apa pula cabaran yang perlu Billa galas sementelah bonda sakit ketika itu?
Mummy memang suka minum manis walaupun dia seorang pengidap diabetes. Mereka sering berasa haus. Tetapi saya hadkan pengambilan makanan atau minuman manis untuknya.
Ketika dikhabarkan doktor untuk memotong kaki bonda Billa, bagaimana penerimaan kalian sekeluarga?
Sudah tentu kami bersedih kerana ia umpama mimpi ngeri bagi kami adik-beradik. Seakan tidak percaya ia berlaku kepada ibu kami sendiri kerana jika sebelum ini saya hanya mendengar sahaja cerita daripada rakan-rakan atau cakap-cakap orang.
Selepas itu kami sekeluarga belajar untuk menjaga pemakanan, bersenam dan sebagainya. Daddy juga turut sama mengamalkan gaya hidup sihat, misalnya pagi-pagi kami akan pergi jogging bersama. Dan sekarang kami semua berdiet.
Daddy antara yang paling terkesan, bersedih dan acap kali berkata, “Kesian Mummy... Kesian Mummy” malah turut menangis kerana baginya ia seolah-olah satu kehilangan. Ya, walaupun kaki yang dipotong tetapi impaknya cukup besar buat kami sekeluarga.
Seakan-akan hilang satu nyawa. Sehinggakan dia mahu berada dan menemani Mummy 24 jam setiap hari tetapi memandangkan Daddy lelaki, hanya penjaga wanita sahaja yang dibenarkan untuk menjaga.
Dan Billa yang menjaga Mummy ketika itu. Di rumah, Daddy yang sering bertanyakan kepada kami, “Eh, Mummy macam mana ya? Okey ke dia?” Sambil sesekali menangis. Tetapi seboleh mungkin dia sembunyikan rasa gelisah kerana mungkin sebagai bapa dan seorang lelaki dia tidak mahu menunjukkan emosi itu.
Dan kami semua tahu Daddy terlalu sayangkan Mummy.

A post shared by BILLA (@billa_najmi) on

Bagaimana pula dengan keadaan mental dan spiritual bonda Billa sepanjang tempoh getir itu?
Mummy berkata, dia boleh jadi gila jika tiada anak-anak dan suami yang menyokong dan memberi kekuatan semangat ketika itu. Kerana saya maklum, orang yang kakinya dipotong lazimnya akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri dan sebagainya.
Tetapi alhamdulillah, tidak bagi Mummy. Dia kuatkan semangat dan katanya biar apa jua yang terjadi hidup mesti diteruskan. Dia lawan, bangkit, kentalkan jiwa dan kami turut memberi semangat kepadanya.

Selepas peristiwa itu, berapa lama masa yang diambil untuk proses penyembuhan dan keadaan yang perlu kalian sesuaikan di rumah usai bonda keluar hospital?
Kami adik-beradik perlu tunggu sehingga lukanya betul-betul kering. Sementelahan mempunyai kucing peliharaan, kami perlu buang kucing kerana hama kucing boleh mengakibatkan jangkitan kuman. Malah ketika Mummy berada di hospital, darahnya dipenuhi kuman (akibat hama kucing). Ia bermula daripada luka kecil pada tapak kaki Mummy.
Ketika itu Mummy berjalan di bazar dan terkena luka (gelembung kecil berwarna putih). Kemudian Mummy mengambil jarum (yang sudah berkarat) untuk mencucuk luka tersebut. Namun tiada apa-apa yang keluar dan dalam tempoh seminggu ia merebak hingga ibu jari kaki.
Dan ibu jari kaki terpaksa dipotong. Rupa-rupanya dalam masa sama, kuman sudah mula merebak hingga ke paras bawah lutut. Menurut doktor, jika dibiarkan berlarutan kuman akan terus berjangkit dan merebak ke bahagian atas.
Disebabkan itulah kaki Mummy terpaksa dipotong. Namun syukur kerana Mummy kuat semangat. Dalam tempoh dua bulan selepas kaki dipotong, dia sudah boleh membiasakan diri memakai kaki palsu.

Matlamat Billa dalam perjuangan meneruskan gaya hidup sihat?
Kekuatan mental dan keimanan yang tinggi! Kalau keluarga keluar makan malam, saya kuatkan semangat dan minda untuk tengok aje mereka makan. Mungkin kedengaran seperti “Kesiannya, tak makan ke?” Tetapi saya kuatkan diri.
Boleh dikatakan dalam seminggu sekali keluarga kami akan makan di luar dan saya tetap ikut mereka tetapi hanya minum air suam sahaja. Sudah masuk lapan bulan saya tidak sentuh minum air manis.
Jika cheat day, saya hanya makan ais krim atau kek dan hanya mengambilnya sebulan sekali. Untuk mencapai tahap dan berat badan yang saya idamkan, maka saya perlu berkorban.
Saya akui masih struggle tetapi mahu atau tidak saya perlu lakukannya. Saya percaya jika sentiasa berusaha dan tidak berputus asa pasti akan berjaya.

A post shared by BILLA (@billa_najmi) on

Apa lagi yang memotivasikan Billa untuk berusaha ke arah ini?
Kalau orang yang ‘bam bam’ ini mesti ada seseorang yang dia suka. Saya cabar dan berkata kepada diri sendiri, “Kalau aku kurus mesti crush aku suka aku” (hahaha) Itulah antara penguat semangat kerana selain keluarga, diri sendiri adalah penentu segalanya.
Alhamdulillah selepas mengenali Aunty Nisa, saya lebih disiplin, terinspirasi dan tidak dinafikan dia membawa aura positif yang sentiasa memberi semangat kepada saya.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar