Read
“Mungkin Sebelum ini Saya Terlalu Mengejar Makhluk hingga Lupakan DIA” — Ini Kisah Hijrah Nonny Nadirah
Oleh: Huda Hussain
Transisi Eyra benar-benar mengejutkan. Namun ia cukup menggembirakan hati semua. Ceritakan bagaimana dan bila momen bersejarah itu berlaku?
Saya terasa ingin menutup aurat selepas sehari balik dari mengerjakan umrah. Dan kita tahu sepanjang berada di sana, perlu menutup aurat. Namun entah kenapa, selepas kembali ke tanah air saya berasa ada sesuatu yang tidak kena, rasa janggal dan sebagainya.
Tiba-tiba berasa tidak selesa. Malah selepas balik dari umrah pun saya masih tidak bertudung. Saya pergi ke sesi penggambaran dan ke program pun tidak mengenakan tudung. Kemudian tidak semena-mena, saya capai sehelai selendang lalu menutup kepala saya.
Keesokan harinya, saya mengajak kawan menemani saya membeli tudung. Saya lebih lima helai tudung bawal yang berharga RM10 setiap satu. Mulanya kawan saya terkejut, “Kau biar betul Nonny?” dan saya yakinnya dengan berkata saya sekadar mahu beli dan teringin nak cuba pakai tudung.
Tetapi sebelum putuskan untuk bertudung, saya menelefon emak untuk bertanya mengenai apa yang saya rasai ketika itu.
Soal saya, “Mama, macam mana kalau tiba-tiba saya terdetik nak pakai tudung? Tapi saya tak banyak tudung.
Baju-baju yang sesuai pun tak banyak.” Dan Mama cukup tenang menjawab persoalan saya. “Nonny, kalau dah terdetik nak bertudung teruskanlah. Memang hidayah itu milik Allah tapi kita sendiri yang kena paksa diri untuk jadi yang lebih baik.
Berbalik kepada-Nya dan minta kepada Allah supaya dipermudahkan semuanya.”
Mendengar apa yang Mama saya katakan, terus saya cuba perbaiki kualiti solat. Dalam solat saya berdoa, ‘Ya Allah, Engkau permudahkanlah niat aku. Aku tahu aku buat benda yang betul.
Jauhkanlah aku daripada bisikan syaitan.’ Dan Maha Suci Allah, keesokan harinya kawan saya hadiahkan tudung. Saya menangis dan terdetik dalam hati ‘Ya Allah, Engkau angkat doa aku. Engkau dengar doa aku dan Engkau permudahkan urusanku.’
Daripada situ saya mula cuba memakai tudung. Dan saya melakukannya atas kehendak diri sendiri tanpa paksaan sesiapa.
Apabila saya keluar dan berjumpa kawan-kawan semuanya terkejut dan berkata “Eh Nonny, betul ke ni?” Saya mengeyakan dan berkata saya kini di fasa percubaan selain mahu mereka mendoakan yang baik-baik untuk saya agar dipermudahkan semuanya.
Tetapi mereka seolah-olah tidak percaya. Dan sejujurnya saya sendiri bimbang dan takut kalau tidak mampu seperti berperang dalam diri sendiri, ‘Boleh ke aku pakai ni?’ Tetapi dalam masa sama, entah mengapa hati saya berasa ringan dan tenang.
Walaupun dahulu saya punya persepsi terhadap mereka yang bertudung. Misalnya, ‘Macam mana ya orang yang bertudung ni? Kena lilit, belit tudung’ malah tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk bertudung sepenuhnya.
Alhamdulillah saya teruskan niat saya hingga hari ini dan tidak menjadi penghalang bagi seseorang itu untuk berubah menjadi lebih baik, pasti Allah akan permudahkan.
Perkara pertama yang Nonny perbaiki setelah memutuskan untuk berhijab?
Sebenarnya sebelum saya membuat keputusan untuk bertudung, saya ambil masa perbaiki solat. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, saya masih sibuk dengan sesi penggambaran di lokasi. Tetapi entah mengapa hati saya terdetik untuk solat.
Dalam lima waktu sehari, saya cuba solat kadang-kadang satu, dua atau tiga waktu. Dan jika di lokasi penggambaran, sementara menanti giliran saya untuk masuk set, saya akan bertanya kepada pengarah atau pembantu pengarah untuk solat terlebih dahulu.
Dan semua agak terkejut ketika itu, “Eh Nonny solat?” Mungkin ya, apabila kita cuba untuk berubah ke arah kebaikan pasti orang sekeliling berasa hairan atau mempunyai tanggapan ‘Eh, betul ke kau ni’.
Tetapi bagi saya, tiada perasaan malu dan sebagainya kerana itu antara urusan saya dengan Allah. Sama ada ia diterima atau tidak, yang penting kita sudah tanamkan niat dan mencuba.
Siapa yang banyak beri galakan, membantu Nonny?
Sebelum penghijrahan ini berlaku, saya berada dalam fasa yang membuatkan saya berasa kecewa, sedih dan pelbagai perasaan menghantui diri. Saya mencari hala tuju kehidupan. Dalam kalangan kawan-kawan dan mereka yang mengenali saya, maklum mengenai sifat saya yang ceria, gembira seperti tiada masalah.
Tetapi dalam masa sama, tidak ramai yang tahu saya benar-benar down dan lebih selesa memendam perasaan. Dan sahabat saya yang Allah hantar, yang sering punya naluri luar biasa seolah-olah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena pada saya; dialah Nur Heliza Helmi.
Dialah yang bertanya, “Nonny kau okey tak?” dan usai memberitahu saya tidak okey, dia banyak memberikan semangat, kata-kata yang membantu saya kembali bangkit. Alhamdulillah selepas saya lakukan apa yang disarankan Heliza misalnya doa-doa, amalan berzikir dan seumpama dengannya hati ini lebih tenang.
Apa yang saya pelajari sepanjang bergelar anak seni, ya… Kami ini public figure, sering menjadi tumpuan dan buruan. Tetapi gelaran pelakon, penyanyi, artis itu hanya pekerjaan kami.
Dan dalam pada itu, kita sebagai manusia harus bersyukur kerana Allah telah memilih kita dalam kalangan ramai orang, kita diangkat sebagai ikon – Dikenali, menjadi ikutan dan sewajarnya kita menunjukkan taudalan yang baik untuk melayakkan kita diikuti, dicontohi.
Untuk itu, saya sering berdoa agar apa yang dilakukan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain.
Jika sebelum ini saya tidak bertudung, melalui kehidupan bukan seperti apa yang dituntut; pada saya kita harus punya rasa bersalah dan berazam untuk berubah demi kerana Allah. Dan apabila kita percaya mengenai kewujudan Allah kita sendiri dapat merasainya, dalam susah mahupun senang kita akan lebih tenang.
Alhamdulillah selepas berhijab, saya terima banyak tawaran. Walaupun pada awalnya saya tidak memikirkan langsung soal kerja. Sehinggalah ada seorang wartawan yang bertanya bagaimana dengan karier saya selepas bertudung, saya tersentak mendengarnya.
Barulah saya sedar bahawa dengan penampilan dan imej baru akan memberi refleksi terhadap perjalanan karier selepas ini.
Tetapi rezeki Allah itu luas. Alhamdulillah saya terima panggilan dan tawaran demi tawaran, lamaran daripada beberapa jenama besar mula bertanya. Namun demikian yang diajukan kepada saya, “Can you acting without hijab?” dan saya sifatkan inilah fasa ujian.
Saya fikir jika dapat melepasinya, insya-Allah akan digantikan dengan perkara yang lebih baik lagi. Dugaan dan ujian itu akan bersilih ganti dan sama ada baik atau buruk sekalipun, kita perlu mensyukurinya.
Penerimaan keluarga selepas berhijab, bagaimana?
Mama yang paling gembira dengan keputusan ini selain adik-beradik dan rakan-rakan. Dalam masa sama saya sering tagihkan doa daripada mereka agar terus istiqamah dengan penampilan dan imej ini.
Sejauh mana Nonny percaya individu sekeliling kita mempengaruhi tindakan dan perlakuan kita lebih-lebih bagi Nonny yang baru menemui penghijrahan ini?
Saya percaya persekitaran kita mempengaruhi apa jua tindakan kita. Apabila kita dikelilingi oleh insan-insan yang positif, kita juga akan terdorong untuk berubah menjadi yang lebih baik.
Kerana mereka inilah yang akan membantu memberi semangat, menyokong dan mendorong daripada segi fizikal dan mental.
Rezeki dan hikmah selepas berhijab?
Sejujurnya saya sedikit beremosi jika ada yang berkata ‘Oh mesti tak dapat job lagi lepas ni kalau dah bertudung’. Kerana percayalah hakikatnya yang memberi rezeki itu adalah Allah. Dan rezeki Allah amat luas.
Ia bukan terikat dalam bentuk material semata-mata tetapi apa jua yang kita peroleh itulah rezeki kita. Rakan yang baik, kita dapat bertemu ini pun rezeki, kita mampu bernafas juga rezeki – Maka bersangka baik dengan Allah.
Jika sudah tertulis itu rezeki kita, pasti tidak akan ke mana. Apatah lagi kalau kita berbalik ke jalan-Nya, pasti perjalanan hidup kita akan dipermudahkan.
Harapan dan apa yang terkesan kepada Nonny sementelah baru menemui hidayah?
Kita sebagai manusia tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tetapi apa yang saya belajar adalah, janganlah sibuk mencari kesalahan orang lain kerana mungkin sebelum ini saya bukanlah makhluk atau hamba Allah yang baik.
Dan kerana itulah juga saya cuba berubah mahu menjadi yang lebih baik. Jika sebelum ini kita hanya bercakap mengenai Allah tetapi kita tidak benar-benar merasai kebesan Allah, kewujudan Allah, kekuasaan Allah – Kerana itulah juga kita berani melakukan kesilapan.
Dan apabila kita percaya semua itu, barulah timbul perasaan takut, rasa bersalah dan mahu menanam iltizam untuk cuba berubah.
Sampailah apabila kita merasai kehilangan, barulah kita akan tersedar. Saya telah kehilangan insan yang paling saya sayang. Arwah nenek dan ayah saya. Saya tidak sempat jumpa kerana sibuk dengan kerja.
Apa yang saya percaya bahawa Allah mahu menguji saya. Apabila kita terlalu sayangkan sesuatu atau makhluk, bila-bila masa Allah akan tarik nikmat itu, ambil semula ke pangkuan-Nya.
Kawan saya pernah berkata, “Nonny, mungkin kau terlalu sayangkan makhluk hingga kau terlupa Allah” saya tersentak, kelu untuk meneruskan kata-kata. Saya hanya mampu memohon kepada Allah, merayu kepada-Nya supaya bantu saya untuk jadi yang lebih baik daripada sebelum ini.
Saya menangis dan terus menangis di atas sejadah, terus berdoa semoga Allah mengangkat doa saya kerana sesungguhnya tiada daya dan kekuatan saya melainkan daripada pertolongan Allah.
Setiap hari saya merintih, “Bantu aku Ya Allah, aku sakit Ya Allah. Aku sakit… Aku tak pernah semua ini tetapi aku reda dengan segala ujian dan dugaan ini kerana semua yang berlaku atas izin-Mu Ya Allah.
Kerana Engkau telah mengatur yang sebaik-baiknya untuk diriku, keluargaku dan Engkaulah sebaik-baik Perancang.
Must-Watch Video