Bagi mereka yang pernah merasai atau punya pengalaman keguguran, pasti dapat imbas kembali momen mendebarkan itu. Ada yang kata sakitnya seperti mahu bersalin (contraction), ada yang perlu lalui prosedur perubatan dan macam-macam lagi. Penulis sendiri baru merasai bagaimana sakit dan peritnya keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu empat hari. Menyorot semula momen itu, tatkala melihat darah yang bagaikan mencurah-curah cukup mengerikan juga menyedihkan. Hinggakan empat tuala wanita (saiz overnight) digunakan dalam tempoh tidak sampai satu jam.


Kredit Foto: Huda Hussain


Berketul-ketul gumpalan darah dan janin (yang tidak terbentuk sempurna) gugur di dalam mangkuk tandas. Allahu…sayu rasa hati melihatnya. Serentak itu terasa sakit yang amat pada perut, ari-ari dan pinggang hingga mencurah-curah peluh mengalir. Selepas melalui pemeriksaan (ultrasound) tiada lagi kantung bayi dan organ yang seakan-akan menyerupai janin dikesan kerana telah gugur semuanya. Maka dengan itu tidak perlu melalui proses D&C (Dilation and Curettage) yakni prosedur membersihkan rahim.


Kenapa Pentingnya Berpantang Selepas Keguguran?
Ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah soal berpantang selepas keguguran. Mungkin ada yang berpendapat tak sakit sangat atau mungkin beranggapan berpantang selepas keguguran ala kadar aje. Selepas hilang sakit, boleh kembali aktif seperti biasa. Sebenarnya, berpantang selepas keguguran sama pentingnya dengan berpantang selepas bersalin. Bahkan penjagaannya lebih sulit dan rumit. Kata orang tua tak boleh terlalu ‘sejuk’ dan tak boleh terlalu ‘panas’. Apa yang sejuk dan panasnya? Akan dirungkaikan selepas ini. Jika tidak berpantang dengan betul, bimbang nanti boleh menyebabkan angin yang berpunca daripada keracunan darah. Kesannya, wanita terdedah dengan risiko pelbagai jenis penyakit misalnya berasa lenguh di bahagian ari-ari, sakit pinggang dan sendi selepas keguguran.

Tips Rawat Tubuh Selepas Keguguran



Kredit Foto: Google
  1. Jangka Masa Pantang
Lazimnya doktor akan memberi cuti sakit selama 14 hari bagi kes ibu yang mengalami keguguran. Dan jika diikutkan petua orang dulu, pantang keguguran sama tempohnya seperti ibu yang bersalin iaitu selama 44 hari. Tapi, mustahillah kan kalau nak cuti sakit sampai sebuan lebih. Jadi manfaatkan cuti sakit sepanjang dua minggu ini.



Kredit Foto: Google
  1. Hadkan Rutin
Gunakan masa cuti sakit ini sebaiknya. Beri ruang dan peluang untuk tubuh kamu berehat. Justeru itu, elakkan daripada melakukan kegiatan yang boleh mengundang mudarat kepada kesihatan. Misalnya mengangkat barang berat, melakukan kerja-kerja rumah, memasak dan sebagainya. Jika berasa tidak sedap badan, demam dan masalah lain segeralah ke klinik atau hospital dan dapatkan nasihat doktor. Pastikan kamu memakai stoking dan sarung pakaian bersesuaian. Almaklumlah, sedang berpantang kan?


Kredit Foto: Google
  1. Awasi Rahim Kamu
Bagi wanita yang keguguran pada awal kehamilan, lazimnya janin yang baru terbentuk akan gugur secara alami. Tetapi jika melepasi tempoh 12 minggu, besar kemungkinan ia tidak gugur sepenuhnya malah perlu menjalani prosedur D&C (Dilation and Curettage) iaitu membersihkan rahim. Ia bertujuan mengelakkan jangkitan kuman dalam rahim dan demam panas. Bagi mereka yang keguguran sepenuhnya, tidak perlu menjalani prosedur ini kecuali jika terdapat masalah lain dan atas nasihat doktor. Bahkan, tiada ubat-ubatan khusus yang perlu dimakan selepas keguguran. Hanya perlu pastikan tiada lagi pendarahan berlanjutan dan jika masih ada, dapatkan nasihat doktor.


Kredit Foto: Google
  1. Pemakanan
Menurut pengalaman penulis, doktor hanya menasihati elakkan makanan yang tidak berkhasiat. Berbeza pula dengan petua orang lama yang banyak pantang larangnya. Misalnya elakkan daripada makan sumber makanan yang ‘sejuk’ dan ‘berangin’ seperti timun, kubis, taugeh, bayam, kangkung, tempe, tauhu, kacang panjang, pucuk paku, pucuk ubi dan lain-lain. Juga menurut petua, elakkan pengambilan sumber makanan yang ‘panas’ misalnya halia yang terlalu banyak. Apa yang penting, ambil makanan daripada sumber yang berkhasiat dan seimbang. Lebih baik, kurangkan makanan manis dan jauhi makanan yang berminyak dan berlemak. Minum air suam secukupnya, makan buah oren, kurma, kismis, sup dan lain-lain. Elakkan juga makanan laut yang berbisa seperti yang disarankan untuk ibu berpantang selepas bersalin.
  1. ‘Bersama’ Suami
Sementelahan namanya pun berpantang, bukan isteri sahaja perlu berpantang ya. Suami juga sekurang-kurangnya perlu ‘berpuasa’. Bukan lama manapun, tak payah risau. Seeloknya, elakkan daripada melakukan hubungan intim dua minggu atau sebulan selepas keguguran. Ini bagi memastikan rahim berada dalam keadaan yang sihat sepenuhnya dan bersedia. Apa yang penting suami harus memahami kondisi isteri. Usah biarkan emosi isteri yang berkemungkinan murung dan sedih berlarutan. Beri sokongan dan sentiasa temani isteri.


Kredit Foto: Google
  1. Dapatkan Nasihat Doktor
Jika kes keguguran kamu tidak serius, manfaatkan waktu cuti sakit sebaik mungkin. Namun jika kes-kes tertentu lazimnya kamu perlu melalui sesi temu janji untuk memastikan tahap kesihatan selepas keguguran berada dalam keadaan baik. Merancang mahu hamil lagi? Tiada salahnya, asalkan kamu benar-benar bersedia dan kesihatan mengizinkan. Jika mahu merancang untuk hamil, dapatkan nasihat doktor dan pastikan kamu peka dengan kondisi tubuh. Sekurang-kurangnya ambillah masa sekitar dua hingga tiga bulan untuk cuba hamil semula (bergantung kepada tahap kesihatan dan pastikan mendapat konsultasi doktor).

Selebihnya banyakkan berdoa, munajat dan menunaikan solat hajat bagi memohon pertolongan dari-Nya agar dipermudahkan perancangan kita selanjutnya.