Pejam-celik-pejam-celik, rancangan bual biacara N To N yang menggandingkan kembali Nabil Ahmad dan Neelofa telahpun memasuki episod keenam minggu ini. Dan sepanjang tiga minggu bersiaran, syukur sambutan dan maklum balas yang diterima daripada penonton amat memberansangkan. Pelbagai topik telah dikupas dan dibincangkan bersama barisan pendakwah yang berpengalaman luas dan mereka yang arif dalam perihal agama.



Malam ini, bersama Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, pendakwah yang terkenal dengan sifat keibuannya, berkongsi bagaimana menjadi seorang anak soleh. Pentingnya kita ambil masa khusus yang digunakan hanya untuk mendoakan ibu bapa dan amal anak soleh yang boleh membantu menempatkan ibu bapa di syurga Firdaus iaitu syurga tertinggi.

“Bila kita belajar dan dalami ilmu kita tahu anak adalah pelaburan akhirat kita. Kalau kita besarkan mereka dengan cara yang betul sampai hari Kiamat pahala itu akan mengalir, kalau kita ada anak yang soleh dan solehah.” ujar Neelofa sebagai pembuka bicara.

Dan perkongsiaan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa mengenai konsep asas anak cukup mudah difahami. Jelasnya, anak ini kalau kita senang nak ingat ia terdiri daripada 3 A
  1. Anugerah
Semua orang mahukan anak. Sesiapa yang berkahwin pasti mahukan anak. Tapi ada yang diuji tiada anak.
  1. Amanah
Tanggungjawab untuk kita besarkan dan mendidik mereka sebaik mungkin.
  1. Aset
Kalau macam sekarang di dunia bila kita nak bawa emak kita, pasti kita nak bawa pergi tempat yang ‘best’, yang menyeronokkan? Contohnya kita nak bawa emak pergi haji, umrah. Tapi sebenarnya sampai satu ketika tempat terbaik yang kita boleh bawa emak ayah kita adalah syurga Firdaus. Nabi pernah sebut dalam sebuah hadis, bila mana emak ayah ini kehairanan esok macam mana dia boleh dapat masuk syurga Firdaus? Jawab Allah, sebab kamu ada anak, dan anak kamu sentiasa memohon keampunan untuk kamu. Kita nak bawa emak ayah kita tempat terbaik untuk kita pergi, tidak lain tidak bukan syurga Firdaus. Insya-Allah.



Bercakap mengenai anak soleh, kita ada dua dimensi. Pertama kita tengok pada emak ayah kita dan kedua kita tengok kita sebagai emak ayah kepada anak-anak kita pula. Sabda Nabi yang bermaksud: Allah mencintai emak ayah yang dia boleh membantu anak-anaknya bagaimana cara untuk berbakti kepadanya. Caranya? Kita sendiri menjadi anak yang soleh, solehah kepada emak ayah kita.

Dan berbicara mengenai doa ini, apabila emak ayah mendoakan anak-anak mereka bukan sekadar mendoakan dengan air liur. Tetapi mereka mendoakan dengan air mata. Dan benda itu Ustazah sendiri lalui. Kalau doakan anak, tak puas hati kalau tak menitik air mata. Rasa puas hati kalau dapat dibuktikan dengan air mata. Sebab apa? Dulu pun darah kita sudah mengalir sewaktu melahirkan anak.

Bagaimana pula dengan ciri-ciri anak soleh, solehah kalau Ustazah boleh kupas?
Pernah ada yang bertanya kepada Ustazah, kalau emak saya dah meninggal dunia; apakah amalan yang saya buat didunia ini (maksiat atau kejahatan) akan terpalit kepada emak saya? Sebenarnya ketaatan kita sebagai seorang anak, memang akan menjadi jariah kepada emak ayah.
Ustazah nak kongsi pengalaman sendiri ada suatu hari emak Ustazah datang ke rumah. Dan dia tengok ada orang lain yang datang mengajarkan anak-anak mengaji, maklum sajalah Ustazah pun sibuk. Katanya ‘Kak Chik, anak-anak ini jariah kita. Ilmu yang patut kita beri kepada anak-anak kita biarlah daripada kita sebab kita ada kemampuan untuk ajarkan ilmu Al-Quran.



Kisah Nabi Muhammad SAW dengan ibu bapa Baginda agak kurang kita dengarkan. Tetapi, kisah para sahabat Baginda dengan ibu bapa mereka banyak yang boleh kita jadikan panduan. Kalau Ustazah boleh kongsikan?
Kisah Abu Hurairah dengan ibunya. Abu Hurairah melalui satu tempoh yang panjang kerana ibunya belum memeluk Islam. Selama tempoh itu, banyak kata-katanya yang tidak baik keluar dari mulutnya mengenai anaknya Abu Hurairah dan Rasulullah SAW. Abu Hurairah hanya menangis bertemu Rasulullah dan meminta pertolongan Nabi agar mendoakan ibunya. Dan Nabi pun berdoa. Tetapi dalam masa sama, dia tetap berbakti dan berbuat baik kepada ibunya. Hinggalah pada suatu hari, apabila dia pulang ke rumah ibunya sedang menunggu kepulangannya. Dan usai dia tiba, ibunya melafazkan syahadah. Lalu Abu Hurairah membawa ibunya pergi berjumpa Rasulullah SAW memohon maaf atas apa yang pernah diperkatakannya sebelum ini. Pinta Abu Hurairah, “Ya Rasulullah tolong doakan aku dan ibuku supaya seluruh manusia yang mengenali kami, mencintai kami.”

Moralnya, kalaulah dengan ibu yang belum masuk Islam; sahabat Baginda tunjukkan bagaimana baktinya, ketahanannya, kesabarannya dengan kerenah ibu tersebut. Apatah lagi dengan ibu kita yang memperkenalkan Islam kepada kita. Yang mendidik, membesarkan kita. Kalau adalah sana sini sedikit kerenah mereka, maknanya ada kekurangan dan kelemahan itu perkara biasa. Kita tak boleh buka aib emak ayah kita kepada orang lain. Tanggungjawab kita adalah untuk memperbaikinya. Tetapi adab kita dengan mereka tetap perlu dijaga sehabis baik.



Bagi keluarga yang bermasalah, tetapi anak ini memilih untuk menjadi anak yang baik yakni ingin menjadi anak yang soleh dan solehah. Apakah cara terbaik untuk anak ini pulihkan keadaan yang berlaku dalam sesebuah keluarga itu?
Nak pulihkan keadaan perlu ada kekuatan. Dan kekuatan ini, kita lihat pada cara Nabi Muhammad SAW didik anak-anak. Baginda mengajak anak-anak supaya bergantung kepada Allah SWT. Sebab apa? Kekuatan itu datang daripada Allah SWT. Dari sudut tawakal, memang kita kena sandarkan pada Allah SWT.
Bila Saidatina Fatimah jumpa Rasulullah SAW, dia mengadu tentang kepenatannya itu dan ini. Jawab Rasulullah SAW, ‘Apakah kamu tak sanggup menelan kepahitan dunia untuk kemanisan Akhirat? Lalu Baginda bekalkan doa yang bermaksud: "Wahai Dzat yang Maha Awwal, wahai Dzat yang Maha Akhir, wahai Dzat Pemilik kekuatan yang hebat, wahai Dzat yang Maha pengasih bagi orang-orang miskin, wahai Dzat yang Maha Pengasih." Dan menyebabkan Saidina Ali berkata sebentar tadi Saidatina Fatimah keluar rumah dalam keadaan mengharapkan sesuatu (harapkan dunia) tapi balik bawa Akhirat.
Jadi kalau nak ubah apa-apa perlu ada kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT. Hati-hati manusia, hati-hati emak ayah kita, adik-beradik semua dalam genggaman Allah. Ketulusan doa itulah yang boleh mengubahnya.

Keberkatan doa emak ayah itulah sebenarnya yang menjadikan kita siapa hari ini. Pandangan Ustazah?
Ustazah selalu ingatkan anak-anak muda Sebijak manapun, sehebat manapun sekaya manapun, tapi Allah dan menilai bagaimana kita menyantuni emak ayah kita. Itulah masa depan kita. Walau seseorang itu tinggi manapun ilmunya, ketetapannya bagaimana cara dan layanan seseorang terhadap kedua orang tuanya. Ada seorang ulama yang terkenal dan mempunyai ramai anak muridnya. Tetapi Masya-Allah, setiap kali para sahabat mimpikannya; selalu akan bermimpi dia datang dalam keadaan janggutnya ada mutiara, berkilau-kilau. Hinggakan para sahabatnya hairan dan bertanya mengapa setiap kali ulama ini muncul dalam mimpi mereka, demikianlah rupanya. Jawab ulama tadi, janggut ini apabila aku pulang ke rumah janggut ini digunakan bagaikan kain yang mengelap tapak kaki ibuku yang berpasir. Sekali gus menggambarkan dihadapan orang mungkin kita orang alim, ramai yang menjadi anak murid kita. Tapi dirumah, aku nak jadi jiwa yang tawaduk kepada emak ayah. Umpamanya tiada nilai atau tidak segah manapun untuk dibanggakan apa yang dikatakan milik kita itu apabila di luar dan di rumah.



Kita takkan pernah rasa sempurna, takkan rasa cukup apa jua yang kita lakukan terhadap mereka. Benar kalau ada sesuatu yang kecil kita lakukan, keprihatinan yang kita tunjukkan itu yang menggembirakan mereka. Itu yang mereka mahukan. Tetapi masih lagi ada rasa kosong. Komen Ustazah?
Dengan emak ayah untuk kita jadi anak yang soleh, pastikan kita minta tiga perkara ini dengan mereka:
  1. Doa Mereka
Mudah saja, telefon mereka minta mereka doakan kita.
  1. Kemaafan Mereka
Sentiasa mohon maaf dengan emak ayah kita. “Mak, maaf Mak. Mak reda, restu Mak, yang sengaja, tak sengaja”
  1. Nasihat Mereka
Pengalaman Ustazah, kalau anak-anak datang minta nasihat serasanya macam anak-anak tiada dosa dengan Ustazah. Susah untuk Ustazah gambarkan. Jujurnya jiwa seorang anak apabila mereka datang dengan tiga perkara ini.

Pengalaman Ustazah sendiri, sebelum berkahwin Ustazah lalui fasa emak tak setuju. Nak kahwin dengan ore kelate. Jadi emak memang tak nak. Ustazah istiqarah dua tahun tapi tiba-tiba ada penentangan. Dan waktu itu Ustazah hanya serah kepada Allah. “Aku serah jiwa raga pada-Mu Ya Allah” sebab tak mungkin aku nak nak jadi anak yang derhaka. Tapi Allah permudahkan, ayah ambil peranan dan ayahpun buat Istiqarah. Kata abah dua minggu lagi kahwin aje terus. Kata ayah dengan sepotong ayat Al Quran yang bermaksud, “Hendaklah kamu menahan (maksudnya membalas) sesuatu itu dengan cara yang paling baik sehinggalah hubungan kamu dan orang itu menjadi seperti merpati dua sejoli. Lepas berkahwin, memang ambil masa. Ambil hati, cuba itu dan ini. Ya, emak ada justifikasinya. Tetapi moralnya yakin dengan janji Allah.


Caranya, macam mana? Itu adalah ibu kita. Tak perlu berkata kita betul dan ibu salah. Sebaliknya Ustazah lebih tenang mengatakan, “Ya, aku salah Ya Allah. Ya Kak Chik salah Mak” tak perlu tuding jari. Natijahnya, kalau berlaku krisis kita dengan emak, jangan sesekali kita tinggalkan mereka. Kasihan. Dia mungkin pernah melalui pelbagai perkara dan membentuk persepsinya. Kuncinya sabar dalam menempuh ujian Allah.

Ustazah boleh kongsikan cara Rasulullah SAW membesarkan anak-anak?
Baginda Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh dan meluahkan setingi-tinggi rasa kasih kepada anak. Bila Saidatina Fatimah datang ke rumah Nabi Muhammad SAW, Baginda yang pada ketika itu sedang duduk bangun untuk menyambut anaknya. Baginda pegang bahu Saidatina Fatimah dan bawa anaknya duduk ditempat kesukaan Rasulullah SAW. Dan saling ucapkan kebaikan dan doa-doa.

Selami dan ketahui lebih banyak perkongsian menjentik rasa menyentuh jiwa mengenai topik Cabaran Anak Soleh yang didasari dengan pelbagai kisah untuk dijadikan panduan dan rujukan. Setiap Sabtu dan Ahad 9 malam di Astro Ria.