Dia dilihat antara bintang yang bersinar menerusi bakat dan suaranya yang luar biasa. Walaupun tidak bersandarkan rupa, namun hakikat yang semua perlu akui, Aina Abdul mempunyai kekuatan vokal yang sukar untuk dicari daripada penyanyi baru hari ini, apatah lagi yang lahir menerusi media sosial semata.


Nak tahu kenapa Aina memiliki kekuatan itu selain bakat semula jadi? Kerana Aina bermula dari pentas pertandingan nyanyian dan bukan sekadar menyanyi di platform alam maya semata. Kalau kita lihat kebanyakan penyanyi-penyanyi senior dulu ramai yang bermula menerusi pentas pertandingan kerana di situlah bakat mereka dinilai dan diangkat oleh mereka yang profesional, bukan syok sendiri.


“Saya harus berterima kasih dengan Cikgu Shamsiah yang bertanggungjawab membawa saya keluar dari kepompong saya yang duluya pemalu. Ketika saya darjah enam, Cikgu Shamsiah memaksa semua murid untuk menyertai satu pertandingan nyanyian, tidak seorang pun terkecuali. Ituah pertama kali saya mengeluarkan ‘suara’ saya dan terus mampu menyanyi hingga ke hari ini.”






Daripada GIG ke Pentas Pertandingan di US


Ketika di zaman kolej, Aina semakin ligat dengan aktiviti nyanyiannya. Boleh dikatakan setiap malam Aina menyanyi untuk G.I.G di kelab. Walaupun ada yang memandang serong dengan pekerjaannya waktu itu, namun Aina kentalkan hati kerana hanya dia yang tahu niatnya untuk mencari pendapatan dan demi minat yang mendalam.


Pada masa yang sama, Aina banyak menyertai pertandingan nyanyian anjuran dalam dan luar negara. Bagi Aina, dengan cara inilah dia dapat memuaskan perasaannya dan berkongsi bakat yang ada dalam dirinya walaupun perjalanannya sebagai anak seni dilihat agak sukar kerana tiada siapa mengenalinya walau sudah banyak kali memenangi pertandingan itu.


Kemuncaknya, Aina pernah menyertai pertandingan nyanyian di Amerika Syarikat iaitu World Championship of Performing Arts dan berjaya mendapat tempat pertama mendahului 110 peserta lainnya dari serata dunia. Harapan Aina waktu itu sangat besar andai ia menjadi titik mula untuk Aina menyinar.


Malang sekali, Aina rasa tertipu apabila sehingga pulang ke tanah air, hadiah yang dijanjikan tidak dimilikinya. Hanya Tuhan yang tahu perasaan geram dan terkilan waktu itu kerana semua urusan menyertai pertandingan itu, Aina lakukan sendiri. Sejak itu, Aina rasa tawar hati.


Namun, kata orang selagi namanya anak seni dan sudah dianugerahkan bakat nyanyian itu, Aina teruskan juga dengan menyertai pertandingan anjuran sebuah program realiti televisyen. Alhamdulillah, bertitik tolak dari situ, kehadiran Aina mula menjadi intipan dan diterima ramai.


“Bagi Aina, pertandingan nyanyian ini memberi semangat kepada Aina sebagai anak seni untuk terus melangkah dan berkongsi bakat yang kita ada. It’s all about passion!”









Pernah Alami Depresi dan Krisi Keluarga


“Semua orang mempunyai depresinya sendiri dan bagi Aina tekanan Aina banyaknya pada karier. Aina selalu tanya kepada diri Aina, apa sebab itu terjadi? Adakah aku tak cukup bagus? Perkara inilah ada kala membuat Aina stres. Dan, pernah juga Aina mendepaninya ketika di zaman kolej,” imbas Aina.


Menurutnya, dia pernah putus cinta dua kali dengan orang yang sama. Ia pengalaman yang sangat luar biasa, bercintanya tak lama cuma enam bulan tapi sakitnya untuk pulih mengambil masa empat ke lima tahun. Perasaan dia sangat powerful! Waktu itu jugalah Aina banyak menghasilkan karya.


Aina juga sempat berkongsi perihal krisis keluarga yang pernah dialaminya ketika mula-mula menjadi penyanyi dulu. Ketika menceritakan hal ini, Aina tidak mampu menahan sebak beberapa kali air matanya tumpah.


“Aina tak boleh orang mengata keluarga Aina. Seburuk-buruk keluarga Aina, mereka tetap darah daging Aina. Waktu itu memang ada masalah sikit antara pihak pengurusan Aina dengan keluarga. It’s all about money. Betullah kata orang, money can conquers all things!


Waktu itu memang sukar dan Aina keliru, sampaikan Mak cakap disebabkan Aina, mereka semua terpaksa berdepan dengan hubungan keruh masyarakat. Apa pun yang berlaku, Aina tetap akan pilih keluarga. Aina boleh kira berapa kali saja keluarga Aina pernah menonton persembahan Aina, tapi Aina tak salahkan mereka kerana mereka sendiri tak faham dunia seni ini macam mana?” tutur Aina disulami air mata.


Alhamdulillah, kini hubungan Aina dan keluarga kembali jernih. Aina berterima kasih dengan pengurus barunya yang banyak membetulkan keadaan. Aina bersyukur abang Aina boleh mendengar penjelasan kedua belah pihak. Jika hubungan ini tidak pulih, Aina berpendapat dia tidak mungkin berada di sini sekarang meneruskan kerjayanya.








Aina Terus Bangkit Walau Dikecam Teruk


“Daripada 99 komen yang baik, tiba-tiba hanya ada satu komen yag menghentam teruk, serta-merta kita boleh ‘down’ dan hilang semua semangat itu,” ujar Aina perihal netizen yang selalu mengacumnya dengan komen-komen negatif dan berbaur hinaan.


“Memang pernah satu waktu itu, kulit Aina ada masalah yang teruk kerana tak dijaga betul, banyak jerawat timbul. Dan, ada netizen yang komen mengutuk muka dan badan Aina dalam klip video itu. Ada yang suruh buat surgery lah. Memang tak boleh nak katalah perasaan waktu itu.


Tapi sekarang Aina dah boleh handle semua tu. I don’t hate netizen. Either good or bad, they help me, I thank them. Memang tak dinafikan mereka sangat powerful. Apa yang netizen cakap, Aina masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Kerana mereka jugalah Aina di sini dan terus kuat.”