Istilah warganet atau netizen ialah singkatan perkataan internet dan perkataan yang diambil daripada Bahasa Inggeris citizen (warganegara) seperti dalam "warganet". Ia menggambarkan seseorang terlibat secara aktif di talian masyarakat atau internet secara umum. Berdasarkan huraian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka online pula, istilah netizen merujuk kepada dua definisi. Pertama adalah pengguna internet yang mengambil bahagian dalam masyarakat politik seperti bertukar-tukar pendapat, membekalkan maklumat dan mengundi. Manakala definisi kedua adalah pengguna internet yang memberi sumbangan untuk mengembangkan dan menggalakkan pertumbuhan internet, sinonim warga siber.

Kredit Foto: Google

Hakikatnya Kita Adalah Netizen
Segenap lapisan masyarakat berkeupayaan bahkan menggunakan telefon bimbit dengan meluas. Waima untuk apa tujuan sekalipun, kita semua adalah pengguna internet. Melayari, scroll up and down, dari satu laman ke laman yang lain, meninggalkan komen, emoji dan sebagainya. Itu juga menjadi sebahagian rutin kebanyakan daripada kita. Apa yang menarik minat, itulah yang menjadi bahan untuk kita perbahaskan.

Lihat sahaja jika ada isu, kontroversi panas berlaku. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan selebriti, personaliti media sosial mahupun masyarakat sekeliling. Jika ada yang tidak kena, pasti ruangan komen dihujani dan dipenuhi dengan pelbagai kata-kata berbaur negatif. Melihatkan kepada cara, tulisan dan penggunaan perkataan khususnya apabila sesuatu isu hangat diperdebatkan; bagaikan si penulis itu dirasuk serasanya.

Kredit Foto: Google

Fahami Sensitiviti Dan Limitasi
Berlumba-lumba masing-masing membalas satu persatu. Benar tidak salah berselisih pendapat, tetapi janganlah hingga mencemuh, memaki hamun, menggunakan kata-kata kesat yang jelas membuktikan tahap intelektual si penulis. Mana perginya kesantunan dan adab ketimuran kita? Ke mana hilangnya perasaan malu apabila ia dibaca satu dunia? Dan tatkala melihat gambar pada profil, anak-anak muda semuanya.

Jika benar sekalipun pihak yang dikecam itu berbuat salah, tetapi tak perlulah menghentam hingga menyentuh sensitiviti tertentu. Misalnya membabitkan asal usul keluarga, emak ayah, anak yang dikandungkan jika si fulan berbadan dua, keturunan, perkauman, adt resam dan budaya serta banyak lagi. Fikir sedalamnya andai anda berada ditempatnya. Bagaimana perasaan keluarganya, boleh menyebabkan kemurungan, emosi terganggu dan sebagainya. Berpada-padalah dalam memberi komen dan pendapat. Kebebasan bersuara itu perlu tetapi ada limitasi dan batas-batas tertentu yang masih perlu dipegang, dihormati dan difahami. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata atau dalam konteks ini memberi komen; memang buruk padahnya.

Kredit Foto: Google