Teks: Nor Hatina Shuib


Pelakuan menghina rupa paras seseorang di media sosial sebenarnya memperlihatkan peribadi diri pelaku yang negatif.


Hari ini, sudah menjadi ‘trend’ apabila ada segelintir daripada pengguna media sosial gemar mengejek atau mengecam rupa fizikal seseorang terutama bagi mereka yang bertubuh besar atau memiliki rupa paras di bawah ‘expectation’ mereka.


Baru-baru viral kisah seorang wanita bertubuh gempal yang terpaksa melalui cacian dan hinaan masyarakat sehingga memberi tekanan kepada dirinya.


Apa yang sukar difahami, kenapa sifat suka menghina fizikal seseorang ini menjadi satu keterbukaan dan kebiasaan dalam kalangan pengguna media sosial hari ini?


Adakah mereka ini sebenarnya hanya berani di laman sosial tetapi sebaliknya adalah individu bersifat penakut di dunia realiti? Apakah menghina seseorang itu memberikan satu kepuasan tidak terhingga kepada individu ini?

Penganalisis Politik dan Media Sosial, Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy


Berbicara mengenai budaya negatif ini, Penganalisis Politik dan Media Sosial, Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy, berkata body shaming adalah satu perkara yang tidak beretika dalam cara memalukan sesiapa saja dalam media sosial.


Kata beliau, individu yang melakukan body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).


Sekiranya disabitkan bersalah, mereka boleh dihukum penjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.


“Sekiranya mahu membuat laporan, mangsa boleh ke balai polis atau laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Bagi aduan kepada SKMM, mangsa boleh membuat aduan secara atas talian.


“Sekiranya aduan hendak dibuat di balai polis, mangsa digalakkan hadir sendiri ke balai polis berdekatan. Kesedaran berhubung perkara ini masih terlalu rendah kerana masih ramai yang tidak tahu ia adalah satu jenayah sekiranya menghina orang lain menggunakan perkhidmatan aplikasi (secara dalam talian),” tambahnya.


Peruntukan di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sepatutnya mampu menakutkan sekali gus mendidik mereka yang melakukannya.


Katanya, menerusi peruntukan undang-undang, pelaku juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan dalam mengaibkan kehormatan seseorang.

Kredit foto: Google


Alami Masalah Psikologi dan Puas Apabila Dapat Menghina Rupa Fizikal

Ulas Prof Madya Dr Sara, sebenarnya individu yang gemar melakukan body shaming ini mempunyai masalah psikologi iaitu satu kepuasan apabila dapat menghina seseorang atau dipanggil self satisfaction.


“Penghinaan terhadap rupa bentuk diri seseorang atau body shaming yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa berdepan dengan depresi yang teruk.


“Depresi yang teruk itu akan menyebabkan mangsa hilang keyakinan dan boleh menyebabkan mangsa berkeinginan untuk membunuh diri,” katanya.


Terang beliau lagi, depresi akan memberi kesan yang lebih berat. Contohnya seseorang itu dikatakan gemuk dan kesannya akan mencetuskan rasa rendah diri.


Mangsa akan rasa malu untuk ke hadapan dan bercakap dengan orang lain seterusnya menjalinkan hubungan yang positif.
Kredit foto: Google



Perlu Perhatian Semua Pihak, Tangani Bersama

Jelas beliau, ejekan fizikal dan buli siber adalah dua perkara yang berkait rapat dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (b), Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).


Body shaming dan buli siber adalah dua perkara yang berkait rapat. Contohnya ada orang muat naik gambar di Facebook, netizen kemudiannya membuat komen menghina. Ia tindakan yang sangat salah dan keterlaluan.


Beliau berkata, bagi guru dan ibu bapa, mereka perlu menasihati dan melakukan pencegahan jika nampak murid atau anak-anak terlibat dengan perlakuan body shaming yang berlaku di hadapan mereka. Ia sama juga dengan buli siber.


Manakala, setiap individu perlu menanam sifat empati iaitu salah satu elemen kepintaran emosi (EQ) bagi mengelakkan mereka memalukan fizikal orang lain baik di alam maya mahupun alam nyata selain ajaran agama dan didikan moral di rumah.


“Agama Islam melarang umatnya mempersendakan orang lain kerana setiap makhluk adalah ciptaan Tuhan. Malah semua agama melarang perlakuan seumpama ini dalam kalangan masyarakat.


Jika diamati sebaiknya, punca perbuatan mempersenda dan menghina orang lain ini didapati datang daripada sifat sombong dan angkuh yang ada dalam diri pelaku,” katanya.

Justeru, diharapkan mereka yang gemar menghina rupa fizikal dan kelemahan orang lain dapat menjauhkan perkara yang tidak mendatangkan kebaikan ini, malah menyebabkan gangguan emosi teruk kepada individu yang anda sendiri kadangkala tidak kenali.
Kredit foto: Google


Bagi Individu Body Shaming, Pendekatan Di Bawah Boleh Diikuti. Jom Elak Jadi Mangsa Buli.
  1. Elakkan paparkan gambar anda yang berpotensi untuk jadi kritikan kaki buli siber
  2. Apabila dihina, cuba menjadi positif dan luahkan pada mereka yang boleh dipercayai sebagai pemangkin semangat
  3. Cari kaunselor atau pendengar setia yang ada dorongan positif untuk menangani masalah peribadi anda
  4. Diamkan diri daripada media sosial seketika.Tiada apa yang merugikan anda dan dapat semangat baharu kembali sebelum beraksi semula di media sosial
  5. Laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan SKMM jika penghinaan bersifat keterlaluan.
  6. Berdoa dan ubah diri yang menjadi lebih positif supaya tidak alami depresi
  7. Berkawan dalam kalangan mereka yang positif
  8. Lakukan aktiviti berfaedah lain yang boleh melupakan anda kepada media sosial
  9. Jangan berniat untuk melakukan perkara sama kepada pembuli kerana ia akan memanjangkan isu ini
  10. Buktikan kelebihan lain yang anda ada supaya ia mengatasi kelemahan anda