Oleh: Norhaizan Ahmad

Sumber foto: Shutterstock.com

MENGATUR perjalanan majlis perkahwinan bukannya senang waima di pihak lelaki mahupun perempuan. Ada cabaran yang perlu ditempuh jika mahu majlis berjalan lancar dan membuat hati mempelai berasa girang. Namun, kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Meski dirancang rapi mungkin ada di antara kalian berdepan musibah menjelang hari perkahwinan. Bentuk cabaran mungkin datang daripada diri sendiri, faktor sekeliling, hasutan teman-teman dan banyak lagi.

Nasib Badan, Kena Tipu Si ‘Wedding Planner’

Kebanyakan orang sekarang memilih untuk menggunakan khidmat perancang perkahwinan kerana tidak mahu pening kepala memikirkan hal-hal berkaitan baju kahwin, pelamin, katering, khemah dan sebagainya.

Kes ditipu perancang perkahwinan tular dewasa ini kerana ramai yang menjadi mangsa. Antara kes yang berlaku adalah di Rawang apabila pasangan Raja Sehari dikelentong sepasang perunding perkahwinan apabila makanan untuk 400 tetamu tidak kunjung tiba. Sepatutnya mereka dijanjikan dengan bufet nasi minyak, ayam masak merah, dalca sayur dan pelbagai sajian lain, selain dijanjikan kek dua tingkat untuk pengantin. Betapa tebalnya muka mereka dan keluarga mereka apabila berdepan musibah ini.

Akibat kegagalan pihak katering menghantar makanan, ibu bapa pengantin terpaksa menyediakan menu pucuk paku, ayam masak merah serta nasi putih yang dibeli dari tiga restoran berhampiran bagi mengelak tetamu hampa tanpa menjamah hidangan. Bagaimanapun, ada tetamu pulang dengan perut kosong. Lebih malang, bayaran pendahulu RM6,500 daripada kos keseluruhan pakej RM9,000 dibayar kepada perunding perkahwinan beberapa bulan sebelum majlis. Malah pengantin juga perlu membayar kos pemasangan dan sewa khemah bernilai RM1,000 walaupun ia termasuk di dalam pakej yang dipersetujui.

Ada kes yang sama ditipu si ‘wedding planner’ yang melibatkan pihak katering. Namun kali ini, pihak katering menghantar makanan ke rumah pengantin tetapi makanan tidak diturunkan dari lori hanya kerana harga makanan belum dijelaskan oleh perancang perkahwinan. Dalam hal ini, pihak pengantin menjadi mangsa. Mereka sudah pun membayar wang pendahuluan kepada pengurus perkahwinan. Disebabkan pihak lain yang tidak menunaikan amanah, pengantin yang jadi mangsa.

Untuk tidak menghampakan tetamu, keluarga pengantin terpaksa membayarnya kerana mahu hadirin menikmati menu yang disajikan. Malangnya selepas berhabis ribuan ringgit, kualiti makanan yang disajikan sangat-sangat menghampakan. Kuah cair dah macam air longkang! Ini semua terjadi kerana pihak perunding perkahwinan tidak menjelaskan bayaran kepada pihak katering, lantas menjadikan pihak pengantin sebagai mangsa. Jadi, siapa yang harus dipersalahkan?

Sumber foto: Shutterstock.com

Bersanding Atas Pelamin Ala Reban Ayam!

Mendengarnya pun kita dah jatuh kasihan. Pelamin indah yang diharapkan rupa- rupanya umpama reban ayam, buat sekadar melepas batok di tangga. Tidak padan dengan harga yang dikenakan kepada pengantin. Mangsa pelamin ala reban ayam ini terpedaya dengan pakej harga runtuh yang ditawarkan oleh pihak perancang perkahwinan.

Kalau kalian berkesempatan melihat pelamin yang dimaksudkan (pernah dikongsi oleh pengantin di Facebook), memang hati rasa nak meradang! Buat cincai-cincai asalkan ada pelamin walhal gambar pelamin contoh yang dikongsi dengan pengantin ibarat langit dengan bumi. Sekadar dipasang kain berjurai pada dinding, kemudian dihiasi jambangan bunga plastik lalu diletakkan kerusi buat bersanding. Melihat hasilnya orang kampung pun boleh kata, “Kalau macam inilah gaya pelaminnya baik aku buat pelamin sendiri.”

Mekap Bercapuk-capuk di Pelaminan

Orang perempuan mahu dirinya dirias cantik dari hujung rambut hingga hujung kaki pada hari persandingan. Sebab itu mereka akan menempah jurusolek ataupun mak andam supaya seri pengantin lebih terserlah. Untuk menempah khidmat mereka, anda disaran supaya berhati-hati kerana bimbang mendapat khidmat yang tidak seperti yang dijanjikan. Usah percaya 100 peratus dengan hasil solekan si polan yang dikongsi di media sosial. Jika mampu buatlah mekap percubaan dengan jurusolek atau mak andam yang anda pilih sebelum majlis perkahwinan dan lihat sendiri hasilnya. Kalau hati berkenan barulah confirm dengan menempah khidmat mereka.

Ada kes yang terjadi bila mana solekan pengantin perempuan ‘mencair’ kala duduk bersanding dengan pasangan. Muka bercapuk-capuk dah macam ‘hantu siang’. Entah teknik solekan apa yang digunakan sehingga menganiaya orang. Malu si pengantin dengan saudara-mara dan teman- teman. Lebih menyedihkan apabila melihat foto-foto yang diambil, mekap kawan-kawan lagi cantik daripada pengantin.

Melihat pada gambar yang dikongsi oleh mangsa di media sosial, solekan sedahsyat ini tidak sepatutnya terjadi. Macam anak-anak kecil main ‘kahwin-kahwin’. Tepek asalkan boleh. Bila foundation tidak sesuai, maka mekap pastilah ‘cair’ apabila peluh mengalir. Seharusnya mak andam ini kena belajar semula cara-cara asas untuk melakukan solekan buat pengantin.

Sebagai peringatan, kalian juga perlu tahu serba sedikit bab bersolek ini. Jika ada yag tidak kena kala disolek oleh jurusolek mahupun mak andam, anda perlu tegur mana yang tidak betul. Mugkin ada yang nak cepat ataupun mahu jimat dalam penggunaan barang mekap maka hasil solekan sangatlah menghampakan!

Adoi, Ini Pulak Cerita Baju Pengantin

Ada juga pengantin yang kecewa dengan hasil pakaian yang ditemaph khas untuk majis perkahwinan. Pereka fesyen tidak dapat menghasilkan rekaan seperti yang dijanjikan, malah ada yang fabriknya pun bertukar sebab nak jimat belanja. Lebih menyedihkan, ada juga yang pakaiannya tidak siap lalu digantikan dengan baju sedia ada. Cuma dibuat sedikit pengubahsuaian. Walhal harga yang dibayar untuk sehelai baju baru dan bukannya baju kahwin yang disewa.

Disebabkan memakai baju sedia ada, maka ‘cutting’ tidak kena dengan badan, menggelebeh sana sini. Tak cantik dah penampilan Raja Sehari.

Majlis Perkahwinan Macamkan Gaya Selebriti Pujaan

Kisah pertama, apabila bibit percintaan mulai berbunga, hati sudah memasang angan untuk mengadakan majlis perkahwinan gilang- gemilang. Dan kala pinangan diterima, perancangan dilakukan oleh si dara yang mengharapkan majlis perkahwinan gaya selebriti pujaan yang menelan belanja sehinggalah ratusan ribu ringgit! Sudah pasti pihak lelaki tidak bersetuju maklumlah simpanan di bank bukannya banyak mana, cukup sekadar buat majlis sederhana. Namun si dara berubah air muka apabila dikhabarkan sebenar cerita. Dek kerana cinta, si lelaki sanggup berhutang kerana mahu memenuhi impian gadis pilihan hatinya. Hasilnya, majlis perkahwinan serba gah dan membuai imaginasi setiap hadirin dapat direalisasikan.

Namun usai majlis perkahwinan, surat bank memunculkan diri. Si suami tidak punya kemampuan hendak membayar. Dan rasa cinta mula bertukar masam. Ungkit mengukit tentang siapa yang mahukan perkahwinan yang gah dimulakan. Akhirnya, cinta kalah, nafsu mengangkat tangan tanda kemenangan. Perkahwinan umpama sebuah bahtera indah melayari lautan cinta. Namun, dek kerana nafsu untuk memiliki perkahwinan persis artis, akhirnya memakan diri.

Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah artis? Masyarakat? Penaja? ‘Wedding planner’?

Pesan orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri. Buatlah majlis perkahwinan ikut kemampuan. Tidak kira majlis itu kecil, sederhana ataupun besar, yang penting adalah kemampuan dan kejujuran kita dalam menjemput hadirian meraikan hari bahagia kita. Bukannya untuk menunjuk-nunjuk yang kita mampu walhal terpaksa berhutang keliling pinggang.

Ingatlah bahawa kehidupan selepas berkahwin itu lebih penting demi kesejahteraan suami isteri dan seluruh keturunannya.