Soal hukum hakam yang termaktub dalam ajaran agama sama sekali tidak boleh diubah, dipindah milik atau sesuka hati mahu ambil yang itu dan ketepikan yang ini. Ia adalah soal mutlak, ketetapan yang wajib difahami semua. Lantaran itulah jangan dipandang ringan perkara ini. Wajib tetap wajib, maka ilmu dan pengetahuan tentang soal ini hendaklah dijadikan panduan demi manfaat masa akan datang.

Berdasarkan perkongsian seorang Peguam Syariah, Muhammad Syarafi menerusi coretannya di laman Facebook ada menghuraikan secara terperinci mengenai soal ini. Tulisnya, kebiasaannya yang sering berlaku bila isteri sudah mula merasakan suami cuai/culas dalam menafkahinya dan anak-anak disebabkan suami melebihkan bahagian maknya sedangkan kewajipan asal adalah utamakan keluarga sendiri dulu!

Kredit Foto: Google

Sebenarnya nafkah tu apa? Kena faham dulu,
Dari sudut makna ialah : Mengeluarkan atau menghabiskan dan
Dari sudut istilah pula ialah: Semua perkara yang diperlukan oleh manusia seperti Makanan, Minuman, Pakaian dan Tempat Tinggal.

Kenapa kita sebut sebagai nafkah?
Sebab ia dikeluarkan atau dihabiskan dengan tujuan mendapatkan keperluan diatas.

Ada Lima Jenis Nafkah Yang Perlu Kita Tahu:
1. Nafkah manusia kepada dirinya.
2. Nafkah usul (ayah datuk) kepada furu' (anak cucu)
3. Nafkah furu' kepada usul
4. Nafkah suami kepada isteri.
5. Nafkah-nafkah lain.

Yang nak difokuskan adalah jenis nafkah keempat tu iaitu nafkah suami kepada isteri.

Kredit Foto: Google

Suami WAJIB memberikan nafkah kepada isteri dan anaknya mengikut kemampuannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." (Surah At-Talaq: 7)

Selain dari tu ada satu hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Ayat diatas ini terang dan nyata menjelaskan tentang kewajipan seorang suami itu adalah kepada isteri yang mana nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun suami tu tadi jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib JIKA anak mampu. Para ulama’ sepakat wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.

Kredit Foto: Google


Selama mana ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Pada asalnya, para ulama’ sebut furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafaqah kepada usul, iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT, maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)

Begitu juga firman Allah SWT, maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Surah al-Isra’: 23)

Dalam kedua-dua ayat ini, perintah bergaul dengan baik dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa oleh anak-anak tidak dapat dilaksanakan kecuali mereka mengambil tanggungjawab memberi nafaqah kepada mereka berdua ketika diperlukan. Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha: Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik harta yang dimakan oleh seorang lelaki ialah harta yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri. Begitu juga anaknya adalah daripada hasil usahanya sendiri. Baginda bersabda lagi: “Dirimu dan hartamu adalah milik kepunyaan bapamu. Anak-anakmu adalah sebaik-baik hasil usahamu. Oleh itu, makanlah hasil usaha anak-anakmu.” Riwayat Abu Daud (3528) dan al-Tirmizi (1358)


Kredit Foto: Google

Ibn al-Munzir telah menyebut kesepakatan ulama’ tentang kewajiban anak-anak memberi nafaqah kepada ibubapa yang fakir, jelas beliau: “Telah sepakat kesemua ulama (ijma’ ulama) bahawa nafkah dua ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta, adalah wajib dari harta anak.” Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Bersedekahlah.” Seorang lelaki bertanya: “Hai Rasulullah, aku mempunyai dinar.” Baginda menjawab: “Sedekahkan untuk diri kamu sendiri.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai dinar yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada isteri engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.”

Baginda berkata: “Sedekahkan kepada anak engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku mempunyai yang lain lagi.” Baginda berkata: “Sedekahkan kepada hamba engkau.” Lelaki itu menjawab: “Aku masih ada yang lain lagi.” Baginda berkata: “Engkau lebih tahu.” Riwayat Ahmad (2335), Abu Daud (1691) dan al-Nasa’ie (2353)

Begitu juga dalam masalah bapa wajib memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya, ini menunjukkan kewajipan bapa yang memberikan nafkah kepada anaknya adalah LEBIH UTAMA.

Aisyah r.a katanya: Hindun Binti Utbah berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberikan aku harta yang mencukupi untuk aku dan anakku melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya." Baginda s.a.w bersabda: "Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupi untuk kamu dan anak-anak kamu dengan cara yang baik."

Kredit Foto: Google

Berapa Kadar Nafkah Untuk Isteri dan Anak?
TIADA PENETAPAN khusus, hanya ditentukan berdasarkan kepada konsep CUKUP. Cukup ditentukan BERDASARKAN ADAT KEBIASAAN dan kemampuan pemberi nafkah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan." (Surah At-Talaq: 7)
Sumber Rujukan: Kitab Fikah Mazhab Syafie (jilid 4) bahagian Nafkah

Tadi kita tengok dari sudut hukum syarak makanya sekarang kita tengok pula dengan undang-undang sedia ada supaya jelas dan nyata tentang kewajipan menanggung nafkah isteri itu suatu tanggungjawab dari suami kepada isterinya dan bukannya perkara yang BOLEH DIBUAT MAIN ya,

Kredit Foto: Google

Dalam Seksyen 60(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005 pula ada menjelaskan tentang KUASA MAHKAMAH MEMERINTAHKAN NAFKAH BAGI ISTERI sepertimana berikut:
(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

(2) ...

Selain itu juga Seksyen 73 Enakmen yang sama menjelaskan Kewajipan suami menanggung nafkah anak

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Kredit Foto: Google

Dan seksyen ini disokong pula oleh Seksyen 74 tentang KUASA MAHKAMAH memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak didalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005 sepertimana berikut:

(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—
(a) Jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) Jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;

(c) Dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri;

(d) Apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain; atau

(e) ...

(2) Mahkamah adalah juga berkuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak supaya membayar atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.

(3) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang-pemegang amanah bagi anak itu.

Namun begitu, sekiranya suami sudah TIDAK BERKEMAMPUAN untuk menyediakan nafkah sebagaimana menurut dalil yang dinyatakan diatas,

Jadinya tanggungjawab menafkahi isteri dan anak-anak tersebut akan berpindah kepada waris-waris lelaki dan keluarga yang berkemampuan untuk menyara nafkah isteri anak-anak tersebut,

Kredit Foto: Google

Dalam Seksyen 61 Enakmen undang² Keluarga Islam Negeri ada jelaskan Kuasa Mahkamah untuk perintahkan nafkah bagi seseorang tertentu,

"Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian."

Seksyen 73 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Pahang Tahun 2005 pula ada menjelaskan tentang kewajipan seseorang untuk menanggung nafkah anak tersebut sekiranya bapa tersebut tidak mampu untuk menyaranya:
(1) ...
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Bila berlaku situasi seperti ini,
Pembahagian harta nak ikut cara Islam tu BOLEH, tapi bab tanggungjawab pun kenalah ikut cara ISLAM juga. Begitulah.

Sumber: Muhammad Syarafi, Peguam Hipster Patuh Syariah