Sekelip mata wajahnya menjadi paparan media sosial di sana sini. Di mana ada Aafiyah, pasti ada dia. Mereka bagaikan isi dan kuku yang dilihat intim bersama, malah boleh dikatakan pengasuh kepada anak Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau mesra dipanggil Mak Iti oleh Dayah ini menghabiskan banyak masanya bersama Aafiyah, tidak kira di dalam atau luar rumah.


Daripada gadis biasa, kehidupannya dijentik luar biasa. Siapa sangka daripada menjadi jururawat peribadi Aafiyah, Dayah yang membahasakan dirinya Kakak kepada Aafiyah ini bertuah apabila menjadi antara ‘orang penting’ dalam hidup Dato’Siti dan keluarga kini. Satu pengalaman yang pastinya diimpikan kebanyakan peminat Siti Nurhaliza.


Bersama InTrend, gadis berusia 24 tahun yang berasal dari Padang Serai, Kedah ini berkongsi pengalaman bermakna itu.







Pastinya ramai ingin tahu bagaimana Dayah boleh terpilih sebagai jururawat peribadi merangkap pengasuh Aafiyah?

Sebenarnya, waktu itu Dayah bakal menamatkan kontrak sebagai Locum di Hospital Klang. Memang Dayah mencari pekerjaan baru sementara menunggu panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebetulan, selepas tamat pengajian Diploma Kejururawatan pada 2017, berlaku pertukaran kerajaan. Maka, badge kami terpaksa menjalani tempoh menunggu yang panjang. Kemudian, Dayah dapat tahu tentang Dato’ Siti yang sedang mencari jururawat peribadi. Waktu itu, tak tahu pula untuk menjaga Aafiyah. Terdetik di hati untuk mencuba. Dayah terus menghubungi Kak Rozi dan Kak Rozi menyuruh Dayah datang terus ke rumah Mak Iti untuk sesi temuduga.



Bagaimana perasaan kali pertama menjalani temuduga bersama Dato’ Siti?

Ya Allah, Tuhan saja yang tahu, nervous! Dayah beritahu Kak Rozi kegusaran itu, tapi kata Kak Rozi “Tak apa, pergi je.” Kali pertama melangkah masuk ke rumah itu, memang teruja. Dayah ditemuduga oleh Mak Iti dan Datuk K. Sebaik Datuk K melihat resume Dayah, dan bertanyakan beberapa soalan berkaitan penjagaan dan perawatan anak kecil, terus Datuk K bertanya, “Bila boleh mula?” Wah, waktu itu terus hati berbunga, maknanya seperti Dayah dapatlah kerja ni. Mak Iti beri pilihan kepada Dayah sama ada mahu duduk sekali atau balik hari tapi kalau ikut daripada butir bicara Mak Iti, dia lebih mahukan Dayah tinggal bersama kerana Dayah perlu sentiada ada bersama Aafiyah walau ke mana Aafiyah pergi. Jadi, Dayah pun fahamlah. Maka, 21 Mei 2018 bermulalah kerja baru Dayah sebagai pengasuh kepada Aafiyah.








Bagaimana hari pertama memulakan tugasan baru itu? Apa perasaan Dayah?

Pada hari ditemuduga itu lagi, Mak Iti dah bawa Dayah meninjau sekitar rumah, bilik dan menyusukan Aafiyah. Jadi, pada hari pertama masuk kerja tu, memang dah tahu sedikit-sebanyak hal-hal yang berkaitan. Tidak dinafikan, perasaan berampur-baur. Bukan apa, risaulahkan ini bukan tugasan mudah, kita diamanahkan menjaga anak orang, apatah lagi anak kepada orang terkenal. Risau kalau apa yang akan kita beri tidak menepati ‘standard’ yang dimahukan. Namun, perlahan-lahan, Dayah cuba membiasakan diri dengan tugasan baru itu dan semua orang di rumah itu memberi kerjasama yang baik dan memudahkan urusan Dayah.



Kenapa agaknya Dato’ Siti memilih jururawat untuk menjadi pengasuh Aafiyah?

Pastinya kerana mahu memastikan kesihatan dan keselamatan Aafiyah dipantau rapi. Aafiyah memang jarang dibawa ke klinik jika mengalami sakit-sakit ringan kerana selalunya Dayah sendiri yang akan merawat dan memberi ubat kepada Aafiyah. Semua peralatan asas perubatan Dayah ada simpan untuk kegunaan Aafiyah. Jadi, kalau setakat demam-demam biasa, sakit perut, selsema ke, memang Aafiyah dirawat di rumah saja.









Bagaimana rutin kerja Dayah sebagai pengasuh Aafiyah?

Tugasan Dayah bermula sebaik Aafiyah bangun pagi sekitar lapan pagi. Kalau dulu, ketika Aafiyah masih menyusu badan, memang kena pantau kerana setiap dua jam Aafiyah akan menyusu. Kemudian, seperti aktiviti anak kecil lain, Aafiyah akan mandi dan sarapan pagi. Menu Aafiyah pun Dayah yang sediakan agar Aafiyah mendapat porsi dan nutrien sebaiknya untuk seorang bayi. Aafiyah tidur dengan Dayah sehingga berusia tiga bulan. Apabila sudah meningkat usianya, Dayah mula menyusun aktiviti pembelajaran yang sesuai untuk Aafiyah. Sebenarnya, sejak usia Aafiyah tiga bulan lagi Dayah sudah ajar Aafiyah menggunakan flash card. Selepas siap mandi dan sarapan, Aafiyah akan ke bilik Tok (ibu Datuk K) untuk bonding time. Aafiyah dimestikan tidur dua kali sehari. Datuk K memang mementingkan tidur yang cukup untuk Aafiyah. Selebihnya, Aafiyah bermain seperti biasa. Sekitar jam tujuh petang, Datuk K akan balik dan Aafiyah akan beralih kepada Ayahnya. Hari minggu biasanya family time, memang meriah rumah time tu. Kalau Aafiyah dibawa keluar, memang Dayah akan ikut sama, malah beberapa kali ke luar negara menemani Mak Iti sambil bercuti bersama.



Pasti kekok awalnya melalui kehidupan baru bersama Mak Iti dan keluarganya, bagaimana Dayah menyesuaikan diri?

Ya, tak dinafikan pada awalnya memang kekok. Kita tak kenal langsung, kan? Tapi, Dayah fikir mahu atau tak, Dayah kenalah pandai bawa diri, dah ini kerja Dayah. Dayah syukur sangat kerana diberikan majikan baik seperti Mak Iti dan Datuk K. Mak Iti memainkan peranan penting dalam memastikan Dayah rasa selesa dan tidak asing berada di sisi mereka. Alhamdulillah, dengan anak-anak Datuk K dan keluarga Mak Iti pun Dayah sudah mesra dan kami boleh duduk semeja. Mak Iti layan Dayah seperti keluarga sendiri, tidak pernah rasa seperti orang asing.









Sentiasa bersama Mak Iti, pasti Dayah sendiri terkena tempias glamor Mak Iti, kan?

Itulah, segan sebenarnya apabila setiap kali keluar ada orang tegur dan minta bergambar. Dayah selalu cakap yang Dayah bukan artis, Dayah orang biasa. Mulanya Dayah takut juga kalau orang kata Dayah ambil kesempatan atau menumpang populariti Mak Iti, tapi nampaknya tidak pernah pula Dayah dikecam sebegitu. Mak Iti pun selalu pesan supaya Dayah sentiasa positif dan jangan layan kalau ada yang melemparkan tanggapan negatif.



Susah tak untuk memantau Aafiyah apabila berada di tengah khalayak orang ramai? Bagaimana Dayah memastikan Aafiyah dalam keadaan okey, terutamanya apabila ada yang mahu bergambar atau menyentuhnya?

Pada awal dulu memang rasa susah juga kerana Dayah jenis yang tak sampai hati apabila ada orang minta nak mendekati Aafiyah, nak peluk atau cium. Namun, Dayah akan cakap dengan baik kepada peminat yang mahu bergambar supaya tidak sentuh, cium atau peluk Aafiyah. Bukan niat menyombong tapi budak kecil, bimbang akan kesihatannya dan sebarang jangkitan. Rata-rata faham dan setakat ni semua okey saja apabila mendekati Aafiyah.









Bagaimana karekter dan personaliti Aafiyah? Mudah tak menguruskannya?

Aafiyah seorang anak yang manja tapi ada juga sikap ‘tegas’ dan kepimpinan dalam dirinya. Personaliti Aafiyah adalah gabungan sikap kedua Ayah dan Ibunya. Manja seperti Mak Iti dan berkepimpinan lagak Ayahnya. Kalau kita lihat dia bermain dengan anak-anak lain, dia agak ‘dominant’, Hahaha.. Paling buat Dayah cair adalah sikap ‘caring’ dan memahami Aafiyah itu. Walaupun masih budak, dia seakan-akan faham perasaan kita kalau sedih atau stres. Kalau dia nampak Dayah tengah ‘down’, dia akan datang dan tanya, “Kakak okey?” Kemudian, akan suruh kita senyum. Oh, ia sangat menyentuh hati! Dayah syukur sangat Aafiyah seorang yang mudah diasuh dan mendengar kata. Kalau ikutkan, antara Dayah dan Mak Iti, Dayah lebih ‘garang’ tau, Hahaha... Bukan niat untuk bagi dia takut tapi ada ketikanya, anak-anak ini perlu dididik dengan peraturan dan benda yang boleh dan tidak.



Tidak pula Mak Iti ‘heppp’ kepada Dayah apabila marahkan Aafiyah?

Hahaha.. Taklah. Mak Iti pun faham. Dayah akan maklumkan kepada Mak Iti kenapa pada sesuatu perkara kena bertegas? Mak Iti seorang ibu yang lembut, seperti mana yang kita tengok dia di Instagram, begitulah cara dia melayani Aafiyah. Yalah, masa Mak Iti agak terhad bersama Aafiyah, jadi masa yang ada itulah untuk diluang sebaik mungkin menghiburkan Aafiyah. Tapi ada ketikanya, kalau Aafiyah buat sesuatu yang tak betul Mak Iti akan bertegas juga.








Terfikir tak satu hari nanti Dayah pasti akan melepaskan Aafiyah?

Memang ada terfikir. Hari tu pun, Dayah ada terima tawaran dari KKM untuk ke jawatan tetap di Hospital Pulau Pinang. Hati berbelah bahagi. Mak Iti cakap, semuanya terpulang kepada Dayah, Mak Iti tak menghalang dan tidak berkata ya. Fikir punya fikir, akhirnya Dayah tolah tawaran itu. Mujur juga Dayah tak perlu bayar apa-apa atau disenarai hitamkan oleh KKM kerana tawaran itu dibuat selepas tamat tempoh perjanjian. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Apabila Dayah memberitahu Mak Iti keputusan Dayah, Mak Iti senyum gembira dan berterima kasih. Dayah percaya kalau kita buat orang happy, Insya-Allah kita pun akan dapat kebahagiaan itu. Berbalik pada soalan tadi, kalau ditakdirkan satu hari nanti harus melepaskan, Dayah akur tapi Aafiyah sentiasa ada tempat istimewa di hati Dayah. Itu pun mungkin kalau selepas Dayah berkahwin. Kalau tidak melepaskan pun, mungkin cara kerja berbeza. Mungkin menjaga Aafiyah pada waktu kerja sahaja. Apa pun, hanya masa menentukan.



Andai kata Aafiyah dikurniakan adik, adakah Dayah rasa Dayah juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengasuh adik Aafiyah?

Kalaulah kata ada rezeki Mak Iti menimang cahaya mata lagi, Insya-Allah jika khidmat Dayah diperlukan, Dayah akan bantu, bergatung pada keadaan.



Apa nasihat Dayah untuk mereka yang meminati bidang kanak-kanak ini sebagai kerjaya?

Kena ada passion. Kerja ini bukan mudah kerana ia melibatkan anak kecil. Kena ada minat dan sayangkan mereka seikhlas hati. Kesabaran perlu ada dan paling penting ilmu juga perlu dicari agar kita dapat mengasuh mereka dengan betul.