Selalunya menjelang penghujung Syawal suasana tidaklah semeriah seperti sebelum hari raya. Tetapi ternyata tahun ini nyata berbeza sama sekali. Memandangkan tidak dapat balik ke kampung sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan, sungguhpun begitu kelonggaran yang diberi dalam PKPP nyata memberi kelegaan kepada setiap lapisan masyarakat. Lebih-lebih lagi dengan pengumuman rentas negeri dibenarkan, bagaikan pesta lagaknya di sana-sini.


Kredit Foto: Google


Lagu Raya Meriah Berkumandang Di Radio

Selagi belum habis Syawal, maka selagi itulah kita akan mendengar lagu raya dimainkan di stesen-stesen radio. Tetapi lain macam pula rasanya menjelang hujung Syawal ini. Lebih-lebih lagi mendengar lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Seakan bersemangat dan berkobar-kobar rasanya mahu pulang ke kampung halaman. Dan keterujaan itu kian terasa apabila sepanjang perjalanan mendengar lagu-lagu raya diputarkan. Bagaikan baru nak raya pula rasanya.


Kredit Foto: Google


Musim Buah

Kebetulan, sekarang musim buah sedang mengambil tempat di serata pelusuk negara, makanya peluang ini disifatkan bagaikan kena pada masanya. Sejak minggu lalu, ramai warga kota yang mengambil kesempatan balik ke kampung masing-masing. Bahkan lebih meriah dengan kerancakan musim buah seperti durian, manggis, cempedak, rambutan dan banyak lagi di sana-sini.

Tidak hairanlah lebuh raya utama kian sesak terutama pada hujung minggu. Dan menjelang hari-hari terakhir Syawal minggu ini, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang balik ke kampung untuk meraikan sambutan hari raya yang hanya berbaki dua tiga hari sahaja bersama keluarga.


Kredit Foto: Google


Ziarah Raya

Selain itu, tidak kurang juga ada yang memanfaatkan hujung minggu seperti ini dengan mengadakan rumah terbuka berskala kecil. Yakni hanya jiran terdekat, teman rapat dan keluarga sahaja diundang sebagai simbolik meraikan kemeriahan hujung Syawal. Tidaklah semeriah seperti selalunya hingga memasang dua tiga buah khemah atau makan di luar rumah. Tuan rumah pun pasti bimbang jika ada jiran yang prihatin lantas melaporkan kepada pihak berkuasa. Panjang cerita pula nanti.


Kredit Foto: Telegram MKN


Patuhi SOP

Dan biar apa jua yang dilakukan, suka untuk diingatkan agar Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi walau di mana jua anda berada. Baik yang mahu pulang ke kampung atau mahu ziarah raya, pastikan anda peka dengan SOP berikut:
  1. Elakkan mengunjungi tempat yang sesak, sempit dan elakkan juga bersembang pada jarak yang dekat.
  2. Amalkan 3W (wash, wear dan warn)
  3. Terus patuh pada SOP sedia ada
  4. Muat turun aplikasi My Sejahtera untuk membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Memandangkan kes positif Covid-19 semakin menunjukkan penurunan, tetapi ia bukanlah petanda kita boleh bersenang-lenang dan mengambil mudah dalam setiap tindak-tanduk. Jangan sekali-kali menyalahgunakan ‘kebebasan’ dan segala kelonggaran yang diberi pihak kerajaan. Kekalkan penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan, pastikan membawa cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka jika keluar. Insya-Allah, jika masyarakat memberi kerjasama penuh dan berdisiplin; pasti kita dapat tangani penularan Covid-19 sepenuhnya walau tanpa penggunaan vaksin. Malaysia Boleh! Kita pasti menang!