Highlights

“Penuaan? I Am Looking Forward for It!” – Ini Rahsia Penjagaan Wajah Dan Kecantikan Cara Fauziah Latiff.

gempak
Huda Hussain
18/08/2020
08:00 MYT
Sponsor Banner
“Penuaan? I Am Looking Forward for It!” – Ini Rahsia Penjagaan Wajah Dan Kecantikan Cara Fauziah Latiff.
Mengimbas kembali momen kala merakamkan sesi fotografi untuk ruangan Khas Gaya Hidup, namanya InTrend senaraikan sebagai antara selebriti yang ‘tak makan tua’. Masih aktif dan bertenaga, rutin penjagaan wajah dan kecantikan Fauziah Latiff cukup ringkas tetapi konsisten. Mesra disapa Jee, wajahnya juga kerap kali menjadi pilihan produk kecantikan wajah sebagai duta. Mahu tahu rahsianya?
Masih tampak muda biarpun sudah berusia 40-an. Ada petua boleh dikongsi bersama? Terima kasih (ketawa). Pada saya biasa sahaja. Syukur Alhamdulillah dengan segala pemberian-Nya. Pada saya perubahan usia akan dilalui oleh semua orang. Dan saya sentiasa looking forward dengan peningkatan usia. Jika dahulu ketika berusia 20-an, saya tidak sabar menunggu untuk melangkah ke usia 30-an. Begitu juga ketika melangkah fasa 30-an, teruja dan tidak sabar menanti untuk masuk ke peringkat 40-an. Dan seterusnya, harapnya terus dipanjangkan usia agar dapat memasuki fasa 50-an pula. Insya Allah jika diizinkanNya doa saya moga Allah panjangkan umur saya agar dapat merasai dan melangkah ke fasa seterusnya. Bagi saya hidup secara bersederhana.
Kredit Foto: IG Fauziah Latiff
Rutin penjagaan kulit wajah Jee pula bagaimana? Langkah asas seperti menggunakan pembersih, penyegar dan pelembap. Itulah rutin yang saya lakukan sejak mula menceburi dunia seni. Pada saya walaupun ada yang berkata anda mempunyai kulit yang cantik, awet muda dan sebagainya atau atas pelbagai faktor dipilih sebagai duta tetapi sebenarnya ia bergantung kepada amalan penjagaan kulit anda. Hal ini kerana berdasarkan pengalaman saya bersama SKII dahulu, mereka memberi tempoh kepada saya untuk mencuba produk itu terlebih dahulu sama ada ia berkesa atau tidak dengan kulit saya. Malah jika ada yang bertanyakan mengenai tekstur kulit anda dan saya sudah tentu ia berbeza. Bekerja dalam bidang ini menuntut saya keluar masuk atau turun naik pentas, bergerak ke sana sini, mengenakan mekap kadang-kala lebih daripada lapan jam maka pembersihan kulit yang betul itu menjadi rutin yang harus saya lakukan saban hari. Rentetan itu kulit wajah memerlukan perlindungan untuk memastikannya kekal sihat. Sebaiknya dapatkan pemeriksaan kulit wajah untuk mengetahui jika anda mempunyai masalah kulit kerana tidak semua daripada kita mempunyai masalah yang sama. Janganlah pula takut untuk mengetahui keputusannya kerana ia amat penting untuk diri kita. Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan, pada peringkat usia saya lebih baik melakukannya sekurang-kurangnya sekali setahun. Terutamanya kepada kaum wanita kerana zaman ini pelbagai penyakit boleh dihidap walaupun pada usia muda.
Pada pendapat Jee usia berapa patut mula menjaga kulit wajah? Pada saya, anda harus mula menjaga kulit apabila anda memahami dan mengetahui keperluan kulit anda. Mungkin ia harus dilakukan sejak muda lagi tetapi bergantung kepada setiap individu. Bagi saya sendiri, sejak mula menceburi bidang ini banyak membuka pintu untuk saya mempelajari pelbagai perkara. Peluang mengenali pakar kecantikan, jurusolek profesional dan ramai lagi memberi banyak input. Penjagaan wajah dan tubuh sebenarnya menuntut jangka masa yang lama maka sewajarnya ia dimulakan lebih awal kerana perbezaan setiap peringkat usia itu berbeza bagi segelintir orang.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Takut atau tidak dengan isu penuaan? Mengapa? Sejujurnya tidak kerana saya percaya kita semua akan melaluinya. Saya sentiasa look into what’s next. Jika dahulu terfikir juga apa yang akan berlaku, perubahan apa yang akan mula saya rasai ketika melangkah ke usia 30-an dan kini 40-an dan tidak lama lagi 50-an. Saya cuba tanamkan dalam diri agar lebih positif. Dan seperkara yang saya sedari adalah apabila meningkatnya usia kita misalnya daripada 20-an ke 30-an atau 30-an ke 40-an dimensi pemikiran kita berbeza. Cara kita membuat penilaian terhadap setiap perkara itu berlainan. Begitu juga dengan perubahan daripada kesedaran tahap kesihatan. Jika pada usia 20-an dahulu mungkin kita tidak peka dengan apa yang dimakan kerana pada peringkat itu kita masih lagi lincah dan bertenaga serta bersemangat. Almaklumlah, darah muda (ketawa). Dan selepas melalui fasa perkahwinan, mempunyai anak misalnya lain pula caranya. Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita perlu mencorak keseimbangan antara gaya hidup, pemakanan dan kesihatan. Dan itulah yang saya cuba lakukan kini. Apabila mula melangkah ke fasa 40-an, saya lebih peka soal pemakanan. Walaupun sebenarnya saya gemar menikmati apa jua jenis makanan, namun sebagai manusia biasa kadang-kala terbabas juga (ketawa).
Jee seorang yang gym freak? I was! Pernah suatu ketika saya gigih ke gimnasium untuk tone up body. Tetapi dek kerana sudah lama tidak buat, maka nak mulakan balik sukar rasanya (ketawa).
Sejauh mana Jee percaya aktiviti kecergasan dan bersukan boleh kekalkan bentuk tubuh? Betul kerana ia juga membantu. Seperti semua sedia maklum, saya gemar melakukan aktiviti luar dan lasak misalnya berenang, menyelam, menunggang motosikal, menunggang kuda dan sekali-sekala masuk hutan bersama kawan-kawan. Dan terbukti sebahagian aktviti ini memberi manfaat pada tubuh. Aktiviti yang lebih dekat dengan alam semula jadi, itu yang saya gemari. Misalnya ketika aktiviti menyelam di dasar laut kemudian berenang pula di permukaan ia memerlukan penggunaan pelbagai otot. Menunggang kuda pula membantu daripada segi imbangan selain mendapatkan postur badan yang baik.
Kredit Foto: IG Fauziah Latiff
Kepuasan yang dirasai apabila melakukan aktiviti ini? Kepuasan itu ya tetapi lebih kepada melakukannya untuk meningkatkan tahap kesihatan. Bukan apa, kadang-kala peluh yang keluar kerana panas itu lain sifatnya berbanding peluh kerana bersenam atau melakukan apa jua aktiviti kecergasan yang lebih sihat dan bagus untuk kesihatan tubuh.
Punya rutin dan diet yang Jee amalkan saban hari? Demi kesihatan, ya saya perlu melakukannya. Apatah lagi apabila memasuki fasa 40-an, aspek kesihatan adalah sesuatu yang penting untuk saya utamakan. Misalnya kurangkan dan paksa diri untuk kurangkan makanan berminyak. I used to enjoy food tetapi sekarang perlu ‘racunkan’ pemikiran untuk sekat dan kawal makanan atau minuman yang manis, berkalori tinggi. Tetapi apabila makan diluar saya tidaklah pula menyekat atau menghalang daripada mengambil makanan sedemikian. Kadang-kala teringin juga mahu makan chicken wing, crab with salted egg atau butter prawn, it is so yum yum (ketawa). Namun semuanya dimakan sekali-sekala sahaja. Selebihnya apabila di rumah, saya makan dan kawal pengambilannya dalam kuantiti yang sederhana. Contohnya gula, saya gantikannya dengan pengambilan stevia. I am a coffee drinker tetapi kadang-kala terlajak juga minum yang 3 in 1 (ketawa). Daripada segi rutin makan pula, I used to munch, and I love to munch tetapi sekarang saya kawal dan kurangkan. Makan nasi pula sekali sehari dan dalam seminggu lebih kurang tiga ke empat kali saya makan nasi. Kurangkan pengambilan daging dana yam sebaliknya lebihkan makan ikan. Kaedah memasak saya lebihkan kepada teknik mengukus untuk kurangkan penggunaan minyak. Jika minyak pula saya gunakan minyak zaitun dan banyakkan makan sayur-sayuran. Ada yang berpendapat makanan untuk diet ini tidak menyelerakan tetapi sebenarnya jika kita sudah mulakan dan memahami keperluan tubuh, pasti ia jauh lebih mudah sekali gus kita boleh mempelbagaikan kaedah dan menu dalam diet seharian.
Adakah pengambilan suplemen menjadi kemestian bagi Jee? Ya, pada peringkat usia ini saya perlu mengambilnya. Kena paksa diri (ketawa). Misalnya Vitamin E, Vitamin C atau pengambilan suplemen untuk menguatkan tulang,
Punya sebarang petua atau amalan yang masih diamalkan? Saya banyak makan ulam-ulaman, masakan kampung dan sayur-sayuran.
Kerap ke spa dan rawatan yang sering dilakukan jika ke sana? Oh, saya suka ke spa dan mendapatkan rawatan urut badan di spa! Tetapi hanya berkesempatan melakukannya jika masa mengizinkan. Kalau badan terasa lenguh atau sakit-sakit saya akan ke pusat refleksologi untuk mendapatkan rawatan mengurut. Daripada segi rawatan pula, saya memilih sport massage dan kadang-kala saya akan memilih relaxing massage.
Petua Jee menjaga rambut? Saya bukanlah orang yang benar-benar fokus dan spesifik untuk memelihara dan punya masa membelek satu persatu. Semuanya dilakukan secara asas misalnya menggunakan virgin coconut oil untuk melebatkan dan menguatkan tekstur rambut. Benar, di pasaran terdapat pelbagai jenis produk untuk melebatkan rambut, menguatkan rambut dan sebagainya. Pada saya jika menggunakan produk atau bahan berasaskan semula jadi, kita tidak boleh mendapatkan hasil dalam masa singkat. Sebaliknya jika konsisten melakukannya, maka anda akan dapat melihat hasilnya untuk tempoh yang lama. Begitu juga dengan badan, kulit wajah dan apa yang kita makan untuk memastikan anggota dalaman kekal sihat.
Sejak bila mula menjaga kecantikan wajah dan tubuh? Boleh dikatakan sejak mula melangkah ke dunia seni tetapi jika diteliti satu persatu, saya lebih suka menyatakan ia dilakukan secara berperingkat. Saya percaya setiap fasa dan perubahan yang berlaku mengajar saya mengenai sesuatu yang baru. Misalnya apa yang saya lalui ketika peringkat 30-an dahulu berbeza dengan apa yang saya alami kini dan ia disesuaikan dengan setiap peringkat usia.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Jika Jee bukan bergelar selebriti, adakah masih memelihara susuk tubuh, menjaga kecantikan dan sebagainya? Sudah tentu saya menjaganya biarpun bukan bergelar artis kerana saya cintakan kecantikan. Beauty reflects in everything. Contohnya melihat orang yang cantik membuatkan saya tumpang gembira. Melihat pasangan suami isteri yang tua masih lagi berpegangan tangan atau wanita tua yang masih menjaga penampilan cukup cantik pada pandangan mata saya. Ataupun apa yang berlaku di sekeliling kita, melihat panorama alam semula jadi ia membangkitkan aura positif dan memberi inspirasi kepada saya.
Penampilan Jee di luar bagaimana? Kadang-kala tidak bersolek langsung! Tetapi secara asasnya adalah loose powder, mascara, blusher dan lip balm.
Antara produk penjagaan kulit dan mekap, yang mana lebih diutamakan? Sudah semestinya skin care kerana jika alat solek, saya cuma beli warna-warna selamat seperti earth tone dan natural serta celak. Jika ada sesi penggambaran berkonsepkan sesuatu yang berbeza sama sekali serta mengubah keseluruhan look, I would love to do it.
Berpengalaman luas bergelar duta pelbagai produk, apa yang sebenarnya harus seseorang selebriti ambil tahu sebelum menandatangani hitam putih? Pada saya fahami setiap klausa yang terdapat dalam kontrak baik daripada segi undang-undangnya juga patuihi setiap syaratnya. Selain daripada itu fahami juga produk itu terlebih dahulu, kenali pengurusan pemasaran dan ambil tahu juga soal strategi pemasaran. Jika dilihat daripada sudut duta produk kecantikan pula, anda perlu mengambil kira faktor produk ini akan diaplikasikan pada wajah. Justeru ambil masa untuk mencubanya. Jika tidak serasi dengan kulit anda, berbincanglah dengan baik kerana sebagai selebriti anda juga perlu menjaga nama baik anda. Komunikasi dan perbincangan antara kedua-dua pihak amat penting untuk mengelakkan sebarang salah faham.
Kredit Foto: IG Fauziah Latiff
Falsafah kecantikan Jee? Mulakannya sebelum terlambat atau paling tidak pun mulakan di mana anda berhenti untuk apa jua yang anda lakukan. Dan jika dilihat daripada sudut kecantikan dalaman pula, bersihkan hati dengan bersikap ikhlas dan seboleh mungkin sematkan aura positif kerana sesungguhnya kecantikan dalaman itu akan terpancar jua pada wajah anda. Jika cantik bersolek tetapi hati di dalam yang merana, menderita pun susah juga. Justeru berlapang dada dan bersederhanalah dalam setiap segi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live