Pernah Hidup Merempat, Ditipu Kawan, Anak Hidap Jantung Berlubang! — Transformasi Lan Untuk Ubah Nasib Keluarga
Public Anonymous User
18/06/2019 07:07 MYT
18/06/2019 07:07 MYT
Oleh: Huda Hussain
NIATNYA melangkahkan kaki ke ibu kota mahu mengubah nasib. Mencari pekerjaan yang lebih baik demi membantu keluarga dan kelangsungan hidup.
Dan atas makluman rakan, Mohd Roslan Awang, 22 tahun berasal dari Rembau, Negeri Sembilan tiba di Kuala Lumpur dengan harapan menggunung.
Kata rakannya ada tawaran pekerjaan untuk diisi. Usai tiba di KL Sentral, dia menghubungi rakannya itu. Namun demikian panggilan tersebut tidak dijawab. Berkali-kali Lan cuba menelefon rakannya itu tetapi kawannya itu terus menghilangkan diri.
Dalam keadaan diri mundar-mandir keseorang di kota besar ini, Lan buntu. Ditambah dengan kelaparan dan kehausan, tidak tahu mana harus dituju. Hinggalah seorang lelaki yang tidak dikenali datang bertanya seraya mempelawa Lan untuk makan.
Dan mereka ke Medan Tunku untuk mendapatkan makanan. Bimbang dikenakan bayaran (kerana ketika itu Lan tidak punya banyak wang) tetapi selepas dimaklumkan ia adalah tajaan NGO, berlapang dadalah anak muda ini. Dapat juga menjamah sesuap nasi.
Mungkin dek kerana malu mahu pulang ke kampung, Lan tetap meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur seperti niat awalnya meninggalkan kampung halaman.
Pernah hidup merempat, tidur di kaki lima, di bawah jambatan dan sebagainya.
Lan masih tercari-cari destinasinya. Bukan tidak pernah mencuba nasib mencari pekerjaan lain tetapi rezeki tidak berpihak kepadanya ketika itu. Rentetan itu, Lan cuba mencari rakan baru.
Dan atas usahanya sendiri, dia berkenal-kenalan dengan rakan gelandangan lain yang membantu mencari dan mendapatkan bilik sewa. Bilik yang disewa RM25 sehari dimanfaatkannya sebaik mungkin.
Tidak besar dan tidak sempurna, tapi cukuplah sekadar tempat untuk melepaskan lelah dan menguruskan diri.
Syukur, Di Gelandangan Rezeki Melimpah…
Tidak boleh jadi, wang semakin susut. Perut harus terus diisi. Sewa bilik perlu dibayar. Tidak lama selepas itu, Lan memperoleh pekerjaan sebagai pembantu jualan di sebuah kedai menjual beg.
Semuanya atas hasil bantuan rakan-rakan baru yang dikenalinya sekitar Jalan Chow Kit. Berbekalkan pendapatan RM1,200 terbukti ia bukanlah jumlah yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup di kota metropolitan ini.
Mana lagi mahu membayar sewa bilik, pulang ke kampung menziarah ibu dan menghulurkan wang buat keperluan ibu, mengalas perut itu dan ini, ya tidak semudah yang disangka.
Mujurlah ada bantuan makanan dihulur oleh NGO juga beberapa individu untuk golongan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit.
Dan Di situlah dia mengalas perut. Setidak-tidaknya, belanja makan sudah boleh dijimatkan. Sepanjang bulan Puasa yang lalu, rezeki Lan dan kawan-kawan di gelandangan bagaikan air laut kerana ada sahaja NGO dan pihak dermawan yang menyantuni mereka dengan pelbagai juadah berbuka dan bersahur.
Banyak juga dapat dijimatkan ketika Ramadan.
Bertemu jodoh dengan Anis, seorang gadis dari Kota Bharu, Kelantan tidak lama selepas itu sedikit sebanyak menceriakan hidupnya.
Walaupun berkahwin di usia muda, Lan bersyukur kerana sekurang-kurangnya Lan belajar erti tanggungjawab dan komitmen seabagi seorang suami dan ini yang menjadikan Lan lebih matang berbanding teman-teman yang lain.
Namun demikian, Allah tetap hadirkan ujian buat pasangan muda ini.
Anak Kecil Diuji dengan Masalah Kesihatan
Sejak dari dalam rahim Anis lagi, doktor mendapati bayi dalam kandungannya mempunyai masalah buah pinggang bengkak. Hinggalah selepas dilahirkan, bayi mereka dimaklumkan berhadapan dengan masalah jantung berlubang dan bengkak di kedua-dua belah buah pinggang.
Dek kerana kesempitan hidup, diserahkan anak itu kepada sebuah keluarga angkat yang belum dikurniakan zuriat (ketika itu). Dan dalam masa sama mereka masih berhubung juga bertanya khabar.
Lan dan Anis sedang berusaha untuk mengumpul duit bagi menampung kos perubatan buat anak mereka itu. sungguh besar ujian Tuhan buat mereka. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.
Inisiatif #InTrendInsani
Kami dekati Lan yang ditemui di sekitar Jalan Chow Kit sekitar minggu ketiga Ramadan pada malam Jumaat. Ya, kawasan kaki lima di sekitar Jalan Chow Kit bagaikan berpesta. Sana-sini riuh-rendah dengan hilai tawa anak-anak kecil tidak kurang juga golongan warga emas dan dewasa yang menanti bekalan untuk juadah bersahur.
Di situlah mereka berkumpul beramai-ramai mendapatkan makanan. Hinggalah hajat kami diusulkan kepada Lan untuk membantu melakukan transformasi dan mencari pekerjaan sesuai.
Biarpun pada mulanya agak gusar dan bimbang ditipu, namun naluri si isteri banyak membantu. Kata Anis, “Arwah ibu saya pernah berpesan. Kalau kita nak tahu orang itu ikhlas nak menolong, kita sendiri dapat rasa” dan rentetan itu mereka bersetuju lantas memberi kerjasama baik demi merealisasikan usaha murni ini.
Ada yang beranggapan penampilan fizikal tidak penting dalam mengemudi hidup ini.
Namun, hakikatnya dalam pecutan kehidupan di kota raya ini dengan saingan yang kian sengit, penampilan diri juga harus dititikberatkan untuk memudahkan kita diterima dalam masyarakat terutamanya jika mahu mencari pekerjaan baru dan memajukan diri.
Kemasi Dandanan Rambut oleh Chez
Di Chez Hair Studio, kami mulakan sesi transformasi Lan yang mahu mencari pekerjaan yang lebih baik. Pengasas Chez Hair Studio dan jurudandan profesional, Chez Hamdan sudi menaja penataan rambut untuk Lan hari itu.
Kata Chez potongan rambut yang kemas adalah penting untuk meyakinkan orang yang mahu ditemui Lan nanti. Sesuai dengan misi dan objektif untuk melalui sesi temu duga, potongan rambut pada bahagian atas diselarikan agar kelihatan lebih kemas.
Begitu juga pada bahagian sisi, Chez rapikan potongan rambut.
Dandanan dimulakan dengan potongan asas rambut. Kemudian, Lan dibawa ke sudut pencucian rambut untuk membersihkan kulit kepala dan memberi kesegaran kepada rambut.
Akhir sekali, hair styling dengan kemasan akhir dan sisipan rapi yang membuatkan Lan tampil lebih ‘wow’!
Sebagai lelaki, menurut Chez bahagian rambut adalah aset penting untuk dikemasi agar ketrampilan diri lebih unggul di khalayak masyarakat. Tidak perlu yang terlalu ekstrem untuk Lan, cukuplah agar Lan nampak kemas dan segar.
Temuduga Untuk Kerja Baru
Selesai sesi transformasi dari rambut ke baju, kami bawa Lan ke pejabat Maukerja.com, sebuah agensi yang menjadi penghubung antara majikan dan pencari kerja.
Di sini, pihak Maukerja.com memberi konsultasi daripada penyediaan resume juga temu duga asas bagi mengetahui bidang dan cabang kerja yang sesuai dengan minat Lan. Bersama Pengurus Besar Maukerja Malaysia, Azwan Faiz; banyak yang dapat dipelajari Lan.
Malah beberapa pekerjaan yang sesuai dengan minat Lan dapat dikenalpasti khususnya dalam bidang kulinari.
Lan pun nampaknya gembira dan berpuas hati dengan hasil transformasi yang kami lakukan kepadanya. Lan juga nampaknya lebih yakin ketika sesi temu duga.
Berbeza dengan kali pertama InTrend menyapanya tempoh hari. Dia kelihatan takut-takut dan malu.
Semoga inisiatif dan usaha murni #InTrendInsani dapat memberi panduan dan bantuan untuk Lan melangkah ke peringkat seterusnya demi mengejar impian dan membantu keluarga ke arah mencapai taraf kehidupan yang lebih baik.