Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pernikahan PKPB, “Walaupun Ayah Tidak Dapat Walikan, Syukur Majlis Lancar. Kenangan Buat Anak Cucu,” – Syaheera.

Afiza Kamarulzaman
08/06/2020 06:44 MYT


Pelbagai cerita terungkap sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung sejak Mac yang lalu. Apatah lagi setelah ia bersambung ke Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga ke hari ini. Dan, kisah masyarakat tidak pernah berhenti, ada saja ragam dan warna yang melingkari sekitar kita yang pasti akan dikenang sepanjang hayat.


Tidak terkecuali bagi pasangan Farah Syaheera Binti Azli, 27 yang berasal dari Johor dan Zettrial Bin Candra, 29 dari Kuala Lumpur ini. Mereka sepatutnya mengadakan majlis walimatul urus pada 30 Mei yang lalu di Ali Grand Ballroom Star Avenue, Subang Selangor. Mengikut rancangan awal, pasangan ini akan bernikah pada pagi dan bersanding waktu tengah hari, hari yang sama.


Namun, kita hanya mampu merancang dan Tuhan juga penentu segalanya. Setelah diumumkan PKP ini dilanjutkan dari minggu ke bulan, akhirnya rancangan itu terpaksa dibatalkan. Walaupun banyak persiapan sudah diatur dan kebanyakan bayaran pun sudah dibuat, namun Ara (nama samaran) dan suami tekad untuk mengubah plan asal mengikut SOP yang digariskan kerajaan. Maka, terjadilah pernikahan PKP ini.



Kredit Foto: Google


Bila dan kenapa Ara memutuskan untuk teruskan pernikahan ini?

Ikutkan kami mahu postpone pada 8 Ogos nanti. Tetapi apabila difikirkan balik, perkara baik, lebih elok dipercepatkan. Jadi kami, sepakat untuk teruskan saja mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Kebetulan pula, PKPB diumumkan dan banyak peraturan dilonggarkan termasuklah hal pernikahan. Tok kadi pun kata tak perlu ditangguhkan. Lagi pula, semua persiapan sudah sedia.



Bagaimana persiapan pernikahan PKP ini diatur?

Agak ringkas dan lebih mudah sebenarnya. Disebabkan kami mesti patuh dengan SOP yang telah ditetapkan, maka jurusolek pun Ara tidak ambil. Ara mekap sendiri untuk teruskan social distancing. Pelamin pun pelamin bajet sahaja, yang kos hanya RM500, ditempah dari butik pengantin berdekatan rumah. Baju nikah pula memang dah ditempah awal, tinggal sarung saja. Kosnya pun RM500 juga. Untuk makanan para tetamu, Ara tempah bungkus sahaja.



Kredit Foto: Google


Bagaimana proses dan prosedur dengan juru nikah?

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dan, ia menjadi lebih muda kerana Ara dan pasangan tinggal sama daerah. Rumah Ara pula berhadapan Masjid Kariah, lebih senanglah berurusan. Majlis pernikahan yang kami lakukan ini adalah kaedah terbaik selepas mendapat nasihat daripada juru nikah kami. Malah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sendiri tidak menggalakkan pernikahan secara online, maka kami laksanankan secara terus.



Bagaimana SOP diaplikasikan sepanjang majlis berlangsung?

Kami pastikan jemputan tidak melebihi 20 orang yang terdiri daripada keluarga terdekat dan individu penting sahaja. Ketika akad nikah pun, hanya ibu bapa, saksi, wali dan Tok Kadi saja dibenarkan hadir. Kalau pengantin biasa pening memikirkan tentang atur cara majlis, kami pula sibuk memikirkan tentang SOP sepanjang majlis. Hahaha… Sebelum masuk ke rumah, kami pastikan setiap tetamu cuci tangan terlebih dahulu dan mereka sihat.



Kredit Foto: Google


Sedih tak apabila terpaksa mengadakan majlis nikah ketika PKP ini?

Mestilah sedih sebab tidak dapat nikmati suasana pernikahan seperti orang lain dan seperti apa yang kami impikan bersama sebelum ini. Dan, yang lebih sedihnya kerana Ayah Ara tidak dapat mewalikan Ara kerana tidak dapat merentas negeri. Walaupun sudah memohon surat kebenaran dari balai berdekatan tetapi tidak diluluskan. Tengok-tengok hari Isnin tu, barulah pengumuman kebenaran merentas negeri dibuat. Nak buat macam mana, tiada rezeki Ayah walikan Ara. Jadi, Ara pakai wakalah wali. Mulanya, Ara mahu sahaja membatalkan majlis ini tetapi Ayah suruh teruskan juga. Apa pun, kami tetap bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan kami pun selamat mendirikan masjid.



Akan adakah majlis lain selepas ini?

Insya Allah, kami akan mengadakan majlis bersanding juga nanti kerana banyak bayaran tempahan yang sudah kami jelaskan seperti dewan, jurufoto, baju dan sebagainya. Apa pun, kami tunggu pengumuman rasmi jika kenduri sudah boleh diadakan. Doakanlah ya tahun depan dapat kami selesaikan semuanya. Amin. Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis pernikahan PKP kami tempoh hari.



Kredit Foto: Google

#Perkahwinan #Pernikahan #PKPB
;