Highlights
“PKP Selamatkan Rumahtangga Kami. Syukur, Alhamdulillah.” – Pengakuan Farah Tentang Besarnya Hikmah Ujian Ini.
Kalau diikutkan perancangan awal, tanggal 20 Mac lalu Farah dan Borhan akan ke mahkamah bagi menghadiri prosiding berhubung permohonan lafaz cerai. Ia susulan kemelut rumahtangga mereka yang kian berantakan hujung tahun lalu angkara orang ketiga. Farah yang banyak berusaha untuk pulihkan hubungan mereka tetapi biasalah Borhan, tetap dengan egonya yang tinggi melangit. Farah jugalah yang cuba ubah diri, ambil hati dan lakukan semua sehabis baik tetapi tetap dipandang sepi.
Kredit Foto: Google
Semuanya bermula gara-gara Borhan bertemu semula dengan bekas kekasihnya, Julia. Pertemuan mereka ketika menghadiri majlis perkahwinan salah seorang teman rapat sewaktu di universiti dahulu bagaikan menggamit semula memori silam. Biarpun tahu Borhan sudah berumahtangga, namun atas dasar ‘kawan’ Farah tetap bersangka baik terhadap suaminya. Sejak daripada itu, mereka kerap berhubung. Bertukar nombor, meninggalkan komen di media sosial dan sebagainya hinggakan bagai wujud keserasian sesama mereka. Lantas mulalah terimbau kisah lalu, ketika hangat bercinta. Sebelum kehadiran Julia, bahagia saja kehidupan mereka. Walaupun belum dikurniakan cahaya mata tetapi baik Borhan mahupun Farah tidak melihat ia sebagai sesuatu yang mendesak. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau belum ditakdirkan bergelar ibu ayah, mereka tetap setia berusaha dan menanti. Malangnya selepas beberapa bulan, hubungan intim mereka tidak lagi hangat seperti dulu. Hinggakan Farah bertindak menebalkan muka membuka jalan, cuba menarik perhatian suaminya namun kesudahannya hampa. Dan Farah mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
Betapa Kuatnya Naluri Isteri
Tingkah laku Borhan semakin hari mula menampakkan perubahan ketara. Lebih banyak mendiamkan diri dan berkepit dengan telefon bimbit. Alasan diberi, banyak hal berkaitan urusan kerja perlu dikemaskini. Namun, Farah bukanlah terlalu naif untuk menerima saja perubahan suaminya tanpa bersemuka. Apabila diajak berbincang apa yang tidak kena, kata Borhan semuanya okey saja. Sedangkan ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan Farah.
Farah cuba bersangka baik namun naluri seorang isteri menidakkannya untuk berfikiran begitu. Hinggakan dia dapat hidu sikap suaminya yang mula berubah laku. Mula menipu, mengelak dan bermacam-macam alasan diberi. Dan sangkaannya selama ini benar. Borhan dan Julia semakin intim. Hinggalah suatu hari, Farah mengekori Borhan. Telahannya tepat. Alasan Borhan mahu keluar bertemu klien malam itu sebenarnya dusta belaka. 'Klien' yang dimaksudkan Borhan adalah pertemuannya dengan Julia disebuah kafe hotel. Tidak dapat dipastikan sejauh mana hubungan mereka namun bisikan makhluk halus bernama syaitan iblis itu terus-terusan berbisik ditelinga Farah. Dan tatkala mereka sedang mesra berbual seraya Borhan merangkul jari-jemari Julia, mereka tersentak melihat kelibat Farah dihadapan mata.
Kredit Foto: Google
Entah dari mana datangnya keberanian Farah, disimbahnya kopi ke muka Julia dan suaminya. Dan kata dua terus diberi. Sama ada Julia atau dirinya yang menjadi pilihan. Borhan terpinga-pinga. Bagaikan hilang arah dan buntu membuat pilihan. Sama ada bekas kekasih yang kembali bertaut dihati atau si isteri yang sudah halal baginya sejak tiga tahun lalu.
Pulang ke rumah, kedua-duanya masam mencuka. Tidak bertegur sapa. Seorang ke utara, seorang ke selatan. Bagaikan terasing di rumah sendiri. Namun Farah menginsafi perbuatannya sebentar tadi. Hilang kewarasan akal fikirannya apabila masalah rumahtangganya jadi tumpuan mata yang memandang di kafe tadi. Ditambah pula dengan bisikan syaitan yang bersorak gembira melihat pertelingkahan mereka menambah penyesalan yang menyesakkan dada. ‘Ya Allah, malunya aku’, ujarnya seraya menangis.
Lama dia mengunci diri di bilik. Begitu juga Borhan. Dan keesokan hari, Borhan nekad mengajak Farah ke mahkamah untuk meleraikan kemelut yang melanda antara mereka. Tidak mahu bertangguh lagi kata Borhan kerana tiada lagi rasa sayang dan cinta terhadap isterinya. Yang ada cuma keinginan meluap-luap untuk melepaskan isterinya. Namun keinginan itu tertangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus tidak mengizinkan Borhan meneruskan niatnya. Hasrat Farah untuk balik ke kampung juga terhalang. Mahu membawa diri ke hotel juga terbantut dek kerana bimbang jika ditahan polis dan tentera. Kesudahannya mereka terperangkap dalam situasi yang tidak memihak kepada diri masing-masing.
Tetap Lunaskan Tanggungjawab
Sungguhpun begitu, Farah tetap menjaga makan, minum dan pakai Borhan. Baginya, selagi lafaz keramat itu tidak keluar dari mulut Borhan, selagi itulah dia masih isteri yang sah. Dan kehidupan dilalui seperti biasa. Walaupun tinggal sebumbung, mereka makan berasingan dan tidur juga dibilik yang berlainan. Dan keadaan ini berlarutan sepanjang tempoh PKP. Sungguhpun begitu, Farah tidak henti-henti merintih dan merayu kepada Allah agar dibukakan jalan untuk meleraikan masalah yang mereka alami. Malam-malam yang berlalu dipenuhi dengan solat taubat, hajat dan tahajud. Memohon petunjuk agar ada penyelesaian terbaik buat mereka suami isteri.
Kredit Foto: Google
Hinggalah satu malam, terdetik hatinya untuk melihat apa yang Borhan lakukan di dalam bilik utama. Pintu tidak berkunci, lalu Farah membuka perlahan-lahan. Terlihat susuk tubuh sasa Borhan sedang mengaji. Mengalunkan lafaz kalimah ayat suci Al-Quran. Entah mengapa hati Farah tenang melihat momen itu. Baraan hatinya sebelum ini bagaikan lenyap begitu sahaja. Dia mahu berlalu meninggalkan Borhan tetapi mata Borhan dapat menangkap kelibat isterinya itu.
Pintu yang cuba ditutup perlahan sebentar tadi kembali dibuka Borhan. Tidak membiarkan isterinya lama diluar, Borhan terus memeluk erat tubuh isterinya itu. Menangis yang bersungguh-sungguh bagaikan tangisan anak kecil. “Abang minta maaf Farah. Selama ini abang yang berdosa dengan Farah. Abang tak nampak kebaikan Farah,” Borhan meluahkan hasrat hatinya. Tembok ego yang selama ini menjadi benteng diri akhirnya runtuh. Mereka berpelukan erat sambil keduanya menangis bagaikan menginsafi perbuatan dan kekurangan diri selama ini. "Apa yang buatkan Abang rasa serba salah? Kenapa baru sekarang sedar?" soal Farah inginkan kepastian.
"Abang takut tak tunaikan tanggungjawab sebagai suami. Kalau ditakdirkan abang mati sebelum bertaubat pada Allah dan minta maaf pada Farah macam mana? Abang takut dengan dosa-dosa abang selama ini" hurai Borhan menceritakan duduk sebenar apa yang membelenggu dirinya. Dari lubuk yang paling dalam, Farah menitipkan syukur. Segala doa dan ikhtiarnya selama ini Allah balas dengan ketertiban suaminya. Bagaimana suaminya boleh berubah, semuanya dengan takdir Allah. Dia mendengar apa yang didoakan hamba-Nya selama ini.
Kredit Foto: Google
Dan hari-hari PKP yang berlalu selepas itu diisi dengan pelbagai aktiviti bersama. Memasak bersama, solat berjemaah, mengaji, mengikuti siaran langsung ustaz-ustazah dan ilmuan agama di Instagram dan Facebook menjadikan ikatan mereka semakin utuh dan kuat. Kasih sayang dan cinta kembali berputik malah bertambah kukuh apabila masing-masing memahami fungsi diri dan mengapa mereka perlu terus bersama meneruskan kehidupan suami isteri. Dan inilah hikmah PKP yang paling besar ertinya bagi mereka. Yang telah mampu mengawetkan hubungan suami isteri, menyatukan hati dan menemui cinta sejati.
Must-Watch Video