Highlights

RAKYAT MALAYSIA Buka Mata – Bantu Barisan Hadapan Ini, Kita Bimbang Mereka Lumpuh, Kemudian?

gempak
Afiza Kamarulzaman
18/03/2020
09:36 MYT
Sponsor Banner
RAKYAT MALAYSIA Buka Mata – Bantu Barisan Hadapan Ini, Kita Bimbang Mereka Lumpuh, Kemudian?
Memang Malaysia jarang-jarang dilanda situasi meruncing dan kritikal seperti sekarang ini, dan menyebabkan rakyat Malaysia seolah-olah hilang punca sehingga membuat tindakan yang langsung tidak membantu mencegah wabak ini daripada terus membiak dengan rakusnya. Ya, diakui juga tindakan kerajaan amat penting dalam memerangi wabak Covid-19 ini daripada terus mencatatkan peningkatan kes.
Namun, kita juga sedia maklum kerajaan terpaksa melalui banyak prosedur untuk mengumumkan sesuatu pelan tindakan dan virus ini tidak mungkin akan menunggu walau sesaat untuk menyerang. Ada peluang, Covid-19 akan terus berkuasa mensasarkan sesiapa sahaja yang berkenaan. Ditambah dengan sikap degil dan tidak memberi kerjasama oleh rakyat kita meluaskan lagi peluang wabak ini untuk bermaharajalela.
Terlalu ‘Bodohkah’ Kita Untuk Memahami?
Kata Dr. Zaqrul, Pakar Perubatan dari Mawar Medical Centre, pihak kerajaan dan media harus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dengan pantas. Dan, setiap individu itu sendiri perlu memberi kerjasama. Dalam waktu kritikal seperti sekarang, setiap orang perlu berfikir dan bertindak dengan bijak. Jika arahan kerajaan tidak menyeluruh, gunakan akal yang cerdik dan maklumat yang ada untuk membuat tindakan bijak. Matlamatnya sekarang untuk tidak meningkatkan potensi virus bercambah.
Dalam erti kata yang mudah, jangan lagi menghadiri sebarang acara yang mempunyai hubungan rapat dengan seseorang atau lebih senang nak faham, duduk sahaja di rumah diam-diam, jangan ke mana-mana apatah lagi keluar dari zon tempat tinggal anda sekarang ini. Bukan lama pun, dua minggu sahaja untuk membolehkan rantaian virus ini dilumpuhkan, sementara belum ada vaksin yang ditemui yang dapat memerangi wabak ini. Hanya inilah langkah terbaik yang boleh dijalankan. Masih sukarkah untuk difahami dan dilakukan?
Bantulah Barisan Hadapan Kita
Menurut Dr Yazeed Hairi menerusi lama blognya dryazeedhairi.com, antara sebab kerajaan mengumumkan Kawalan Pergerakan ini adalah untuk memastikan Barisan Hadapan Pekerja Kesihatan negara tidak lumpuh. Tahukah anda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai dana dan staf yang mencukupi untuk menangani wabak ini? Jika terdapat peningkatan kes hari demi hari, maka barisan ini akan semakin letih dan akhirnya lumpuh. (Maaf ketika artikel ini ditulis, bulu roma penulis pun meremang).
Andainya wabak ini terus menular tanpa batasan, seperti yang berlaku di negara Itali, tidak mustahil negara akan diistihar darurat. Bukan sekadar staf, malah alatan sokongan seperti disposable items, ubat-ubatan, ventilator, bilik icu juga tidak mencukupi untuk menampung pesakit Covid-19 yang semakin meningkat. Ini belum dikira pesakit lain yang sedang nazak, yang perlu dibedah segera, pesakit jantung dan sebagainya yang pastinya menambah beban hospital.
Betapa ‘havoc’ nya keadaan hospital waktu itu dengan jumlah doktor dan jururawat yang limited, agak-agak siapa yang akan diberi keutamaan? Bolehkah anda bayangkan? Yang paling kita takuti adalah risiko pesakit berjangkit ini tidak dirawat amatlah tinggi. Kakitangan dan peralatan tidak lagi mencukupi untuk menyelamatkan mangsa. Jadi, adakah mereka ini akan dibiarkan ‘mati’ begitu sahaja? Anda fikirkan sendiri. Ia sudah berlaku pada negara-negara terdahulu yang berdepan situasi panik ini. Dan, ia memang berlaku apabila ada mangsa yang dibiarkan mati tanpa rawatan.
Ikut Arahan Yang Betul, Bertanggungjawablah
Kasihanilah barisan hadapan yang kini sedang berjuang habis-habisan tanpa mengenal erti penat, keluarga dan keselamatan diri. Mereka juga seperti kebanyakan kita yang punya keluarga, kampung halaman dan keinginan untuk bercuti. Namun, bukan sekarang! Virus ini tiada erti simpati. Ia menyerang selagi ada peluang, tidak akan bertangguh walau sesaat. Panik, boleh tetapi biarlah pada tempat dan tindakan yang betul.
Jangan menjadi punca dan asbab kepada kemusnahan orang lain. Jika tidak membantu dari segi merawat, cukuplah untuk menjadi penduduk dunia yang prihatin, tidak degil, mematuhi arahan dan bijak membuat keputusan yang tidak menyusahkan seluruh umat dunia. Tolong, mohon kerjasama semua.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024