Tidak semua. Namun, dengan cabaran kerjaya dan pecutan hidup yang semakin memacu laju, kebanyakan wanita hari ini berasa amat lelah setiap kali memanjat tangga pejabat. Usai kerja, pulang ke rumah memikirkan urusan anak-anak dan suami pula. Tugasan dan bebanan tidak pernah susut dari pejabat sampailah ke rumah. Siang bawa ke malam.


Walaupun ya, mungkin benar ada sesetengah wanita memang memilih untuk bekerja walaupun suami mampu untuk ‘menaja’ keperluannya dan seisi keluarga. Faktor seperti suka pegang duit sendiri, gemar bekerja keras atau sayangkan sijil yang dimiliki membuatkan ada segelintir wanita tidak mahu hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Itu cerita lain.


Isu artikel ini adalah membentangkan perihal isi hati seorang wanita bekerjaya yang terpaksa bekerja demi membantu ekonomi keluarga walau hati menjerit mahu sepenuh masa membesarkan anak-anak dan melayan suami. Rasa begitu rugi apabila terlepas banyak kenangan bersama anak-anak yang tidak akan dapat diulangi lagi selepas ini.




Kredit Foto: Google



Kehidupan Setiap Orang Berbeza

Itulah realitinya. Memang ada kala kita rasa tersentuh apabila melihat kawan kita itu diizinkan suami untuk berhenti kerja dan duduk sahaja di rumah. Suami mampu menanggung segala komitmen di rumah dan isteri hanya perlu menguruskan hal-hal di rumah. Sambut kepulangan suami. Hantar dan ambil anak-anak sekolah. Siapkan makan minum mereka. Dan punya masa untuk mengajar anak-anak.


Namun, rezeki orang lain-lain. Rezeki daripada segi kewangan terutamanya pastinya tidak sama dalam sebuah keluarga. Tidak hanya tentang kewangan, malah komitmen dan tanggungan pun berbeza. Ada orang gajinya memang banyak, tetapi tanggungannya juga tidak kurang hebat. Perlu menanggung mak ayah, adik-beradik di kampung dan sebagainya yang menjadikan isteri turut terpaksa berkorban untuk berbagi porsinya.


Justeru, adalah tidak adil untuk kita menghakimi nasib seseorang itu. Lain orang, lain rezeki dan ujiannya. Maka, sebagai isteri, kita juga harus bijak mengukur kemampuan suami. Jangan kerana kemahuan kita yang ingin duduk rumah kerana melihat orang lain begitu, merosakkan keharmonian keluarga.





Kredit Foto: Google



Buat Persiapan Sebelum Berhenti

Jika sampai satu tahap, ssungguhnya kamu sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan perjuangan dalam kerja itu, berbincanglah dengan suami dari lubuk hati yang dalam. Benar, mencari nafkah itu adalah tanggungjawab suami, namun pada zaman sekarang ini, rasanya mengharapkan suami sahaja tidak mencukupi jika isteri mahu hidup ‘selesa’ atau ‘mewah’.


Andainya suami bersedia untuk mengizinkan kamu meletakkan jawatan, maka fikirkanlah persediaan selepas itu. Kata pakar ekonomi, ketika memutuskan untuk berhenti kerja, di dalam akaun seseorang itu seharusnya mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 24 bulan gaji! Inilah jaminan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.


Kata orang, tawakal kepada Allah itu paling penting. Betul. Namun, Tuhan juga menyuruh umat-Nya untuk berusaha dan berikhtiar. Maka, setiap keputusan yang dilakukan itu haruslah dengan persediaan rapi, bukan hanya untuk diri kita sendiri, malah anak-anak juga yang pasti terkesan dengan keputusan kamu itu.


Berhenti kerja dengan pendapatan tetap, bukan bererti kamu tidak boleh terus menjana pendapatan dari rumah. Pada zaman teknologi sekarang ini, banyak peluang membuat duit yang boleh dilakukan secara santai dengan anak-anak masih berada di hadapan mata. Dan, tugasan di rumah juga dapat disempurnakan.





Kredit Foto: Google



Lapangkan Hati, Bijak Bahagi Komitmen

Andainya, ditakdirkan untuk kamu terus bekerja, maka lunaskanlah dengan sesempurnanya. Inilah amanah yang sudah kamu persetujui untuk pikul tatkala gaji dibayar sebagai imbuhan. Dan, jadikan gaji itu lebih berkat untuk disalurkan kepada anak-anak menerusi usaha kerja yang setimpal dengan apa yang telah dibayar oleh syarikat.


Lapangkan dada dan panjatkan doa setiap kali melangkah ke tempat kerja bahawa apa yang kamu lakukan ini sebagai satu ibadah untuk membantu keluarga. Mohon kepada Tuhan diberi ketenangan dan keikhlasan dengan setiap yang kamu lakukan di tempat kerja nanti. Laksanakan dengan ketabahan dan disiplin diri.


Pada masa yang sama, jangan abaikan suami dan anak-anak di rumah. Bijaklah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga agar ianya seimbang dan membawa impak yang baik dalam kehidupan kamu dan orang di sekeliling. Jika punya masa banyak pun tidak berharga juga, jika hidup dihimpit masalah kewangan yang kritikal. Maka, fikirlah masak-masak sebelum memutuskan sesuatu itu. Hanya kamu yang tahu apa yang kamu lalui bersama suami dan anak-anak.


Semoga terus berjaya dan bahagia.




Kredit Foto: Google