Buat julung kalinya, penyampai radio Sinar Pagi dan pelawak terkenal Rahim muncul di skrin televisyen bertemankan kedua-dua isterinya. Wah… Tak bercakarankah Kolin dan Lily ketika adegan sketsa dalam Rasa Nostalgia Ramadan episod malam ini?



Entah kenapa dan bagaimana kedua-dua isterinya bersetuju untuk tampil secara eksklusif dalam rancangan masakan istimewa ini. Tak pernah dibuat orang hoi! Hahaha… Apa-apapun, sepanjang 30 minit bersiaran, baik Kolin dan Lily kedua-duanya dilihat profesional dan ‘sporting’ memenuhi kehendak program masakan berkonsepkan sketsa dan muzikal ini.

Tidak kurang juga ada ketikanya kedua-duanya dilihat agak canggung maklum sajalah, mereka bukanlah pelakon yang dikurniakan bakat berlakon yang berupaya untuk tampil secara bersahaja. Namun demikian, usaha dan kredit harus diberikan kepada kedua-duanya. Mungkin tiada skrip khusus, cuma garis panduan serba sedikit jadi panduan. Dan gelak tawa serta aksi sakat menyakat ditambahkan pula dengan forte Rahim yang sememangnya menjadi makanannya dalam jenaka bagaikan menambah perisa dan sesesap rasa seadanya.



“Kedai Limah Janda ‘Complete’, Saya Belum Cakap Dia Dah Tahu Saya Nak Beli Apa” Hahaha…
Sketsa bermula apabila Kolin beria-ia mahu mengikuti suaminya membeli barang keperluan untuk memasak puding truffle dan ayam masak merah gula melaka. Bermacam helah diberi Rahim yang tetap mahu ke kedai Limah janda. “Kedai Limah janda complete, saya belum cakap dia dah tahu saya nak beli apa” ujar Rahim meyakinkan isteri pertamanya Kolin. “Saya nak ikut” pintas Kolin pula seakan dapat menghidu fiil suaminya.
Berpergianlah pasangan suami isteri ini ke kedai Limah. Dan usai mencari barang, kehairanan juga dek Kolin kerana tuan empunya kedai tidak muncul hinggalah dia memanggil “Limah, Ooo Limah”. Saat kemunculan wanita bertudung hitam dengan rona pakaian sedondon muncul, ketawa besar Rahim tidak lagi mampu dikawal. “Eh Kak Lin, lawanya akak hari ini” tutur Lily mahu mengambil hati. “Tiba-tiba rasa macam tak ada barang pula kedai ni,” kata Rahim dengan sisa ketawa masih kedengaran jelas menggamatkan suasana. Dan ketiga-ketiga mereka pun seakan tidak mampu lagi membendung tawa tatkala masing-masing memandang antara satu sama lain.



Puding Buah Triffle, Ayam Masak Merah Gula Melaka Menu 'Favourite' Rahim
Mengimbas saat mula lepas berkahwin dahulu, rupanya puding buah Triffle adalah antara hidangan pemanis mulut yang disediakan Kolin untuk suaminya. Dan nostalgia itu dikembalikan semula semasa pasangan suami isteri ini saling membantu menyediakannya. Tidak kekok beraksi di dapur, suasana di dapur memang tak pernah sunyi. Mungkin inilah senarionya apabila mereka dirumah. Saling tolong-menolong dan diserikan dengan pelbagai jenaka yang menghiburkan hati.



Menu kedua yang disediakan Kolin pula adalah Ayam Masak Merah Gula Melaka. Ramuan menu ini menggabungkan resipi yang dipelajari hasil pemerhatiannya lalu diadunkan dengan cara tersendiri. “Saya tak reti nak beri ukuran nak letak berapa ml, banyak mana semua bahan-bahan tu. Saya masak aje ikut hati. Itu yang kalau tak sedap tu ikut hati juga nak marah tu,” hurai Kolin lagi. Bagi Rahim, masakan isterinya ini tidak kurang hebatnya. Bahkan tidak keterlaluan bagi Rahim yang mengatakan ia seakan menyamai apa yang pernah dimasak ibunya. “Awak ada lah sentuhan macam Mak saya masak tu. Ada rasanya. Bila awak masak tu, secara tak langsung hilanglah kerinduan kat Mak saya sikit,” luah Rahim pula. Itulah istimewanya air tangan isteri dan ibu. Tiada tolok bandingnya dan masing-masing punya keistimewaan tersendiri.



Saksikan lebih banyak adegan menarik, aksi spontan yang menggandingkan Rahim dan isteri-isterinya, Kolin dan Lily dalam Rasa Nostalgia Ramadan yang menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat 7.00 malam di Astro Prima.