Ketika kita muda, memang banyak masa dan tenaga tapi duit pula yang tiada. Kemudian, ada duit tapi diuji pula dengan ketiadaan masa akibat sibuk bekerja. Dan apabila sudah tua, duit dan masa sudah banyak tapi yang jadi kekakangan pula adalah tenaga. Alahai, macam serba tak kena kan? Walau apapun helah kita, pastikan anda meluangkan masa dengan anak-anak. Waktu kecil mereka bukannya lama. Sekejap saja. Pejam celik dah mula sekolah. Tahu-tahu dah masuk sekolah menengah dan universiti. Dan sepanjang masa kecil mereka, apa usaha kita untuk mencipta kenangan buat tatapan mereka kelak? Hargai apa yang ada dan usahakanlah untuk membawa anak-anak pergi bercuti. Nak tahu kenapa? Ini sebabnya:


Kredit Foto: Google
  1. Eratkan Hubungan Sesama Ahli Keluarga
Rutin kita bersama anak-anak sepanjang hari bekerja sebenarnya memang terhad. Lebih-lebih lagi kalau anak sudah mula bersekolah. Sekitar lapan ke sembilan jam mereka peruntukkan untuk belajar di sekolah harian dan sekolah agama. Pada sebelah malamnya pula perlu siapkan kerja atau tugasan yang diberi cikgu. Alahai… macam tak cukup masa aje kan nak berbual dan pantau juga mengajar anak-anak sepanjang hari persekolahan. Dan hujung minggu saja yang ada untuk kita manfaatkan sebaik mungkin. Lantaran itulah, ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak melancong, berlibur atau beraktiviti ketika musim cuti. Bukan sahaja dapat menggantikan masa yang sebelum ini berlalu begitu sahaja, tetapi dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Tak percaya? Cubalah bawa anak-anak pergi bercuti. Tak perlu jauh-jauh pun. Asalkan jauh sedikit dari rumah pun okey.
Kredit Foto: Google
  1. Tingkatkan IQ Anak
Benarlah kata pepatah, banyak berjalan luas pemandangan dan tambah pengalaman. Bukan sahaja membuka minda kepada kita yang dewasa, tetapi anak-anak juga. Apabila anak-anak keluar dari ruang terhad mereka sebelum ini, secara tidak langsung mereka akan terdedah dengan persekitaran baru. Malah menurut satu kajian, kepelbagaian persekitaran ini menjadi sumber interaksi kepada anak-anak daripada aspek fizikal, sosial, sentuhan dan pemikiran. Anak-anak akan peka dan dari situ mereka akan banyak bertanya mengenai apa yang dilihat juga apa yang berlaku di sekeliling mereka. Seterusnya ia akan meningkatkan daya tumpuan juga secara tidak langsung menghasilkan anak-anak yang lebih bijak jika dibandingkan dengan mereka yang terperap di rumah.


Kredit Foto: Google
  1. Mencipta Memori Zaman Kanak-Kanak
Anda masih ingat kenangan pergi bercuti ketika zaman kanak-kanak dulu? Ya, walaupun baru berumur lingkungan lima ke enam tahun pasti kita dapat imbas semula kenangan bercuti bersama keluarga. Dan begitulah juga yang harus dicipta untuk anak-anak kita. Sekurang-kurangnya anak-anak akan ingat, “Oh, mama papa pernah bawa kakak pergi Langkawi naik cable car. Kakak nangis sebab takut”. Duit boleh dicari tetapi masa yang berlalu kalau tidak diisi dengan aktiviti atau perkara yang menyeronokkan, apa lagi yang ada untuk dikenang?
Kredit Foto: Google
  1. Kesihatan Fizikal Anak-Anak Lebih Baik
Menghirup udara segar itu memberi banyak kebaikan kepada kita. Lebih-lebih lagi mereka yang sakit. Mungkin anda tidak menyedari apabila ada yang jatuh sakit dalam keluarga, cuba bawa mereka keluar bersiar-siar. Walaupun sekejap, cuba perhatikan mood dan tahap kesembuhannya. Pasti tubuh berasa segar dan kembali ceria juga bertenaga. Dan bayangkan pula manfaat ini kepada anak-anak. Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana daya ketahanan fizikal terhadap anak-anak.
Kredit Foto: Google
  1. Anak Lebih Ceria, Positif dan Gembira
Siapa yang tak suka bercuti kan? Kerana sememangnya percutian itu menyeronokkan dan menggembirakan apabila ia melibatkan seisi keluarga. Berdasarkan kajian, ia akan menghasilkan pengeluaran bahan neurokimia yang mempunyai kebaikan daripada otak anak anda. Antaranya adalah oksitoksin, dopamine dan opioid yang tercetus ketika percutian dapat melahirkan rasa gembira dalam diri anak-anak. Secara tidak langsung, ia akan dapat mengurangkan tekanan dalam minda dan memberi ketenangan kepada mereka. Semakin kerap anda membawa anak-anak pergi bercuti, maka semakin berkembanglah daya pemikiran juga sel-sel otak berhubung dengan lebih baik. Bukan saja memberi impak dari segi kepintaran anak-anak, malah mereka lebih ceria, positif dan gembira.

Benar, pasti kita sebagai ibu bapa perlu membuat pertimbangan dari pelbagai sudut untuk membawa anak-anak bercuti. Kewangan adalah antara perkara pokok dalam soal ini. Justeru itu, peruntukkan sejumlah wang dari gaji bulanan kita atau paling mudah sediakan tabung khas untuk percutian. Lebih mudah jika ia dimulakan lebih awal supaya kita tidak terbeban dengan sejumlah wang yang besar untuk dikeluarkan dari dompet kan?


Renyah mahu membawa anak-anak kerana bimbang mereka tak duduk diam semasa bercuti? Bersabarlah ya kerana sememangnya itulah sifat anak-anak yang mahu membesar. Lari sana sini, melompat dan sebagainya sudah sebati dalam jiwa mereka kerana didorong dengan keterujaan selain sifat ingin tahu dan mahu mencuba. Justeru itu, manfaatkan peluang ini ketika mereka semakin membesar. Percayalah, pasti ada sesuatu yang manis untuk dikenang oleh anak-anak kita suatu hari nanti.