Dalam Islam sendiri, meletakkan taraf ibu mertua itu sama dengan ibu kandung. Jadi, selayaknya juga ibu mentua itu dilayan dan dikasihi sama seperti ibu sendiri. Namun, adat manusia. Bagaimana untuk kita biasakan diri dengan seorang insan yang hanya kita kenali melalui anaknya dan selepas diri bergelar isteri. Duduk lain-lain rumah, tiba-tiba disatukan dalam sebuah keluarga, pasti terasa canggungnya.


Maka, ada kala hubungan itu tidak semudah yang disangka. Ada kala tercalar dek perasaan celaru. Jiwa kacau kerana banyak yang tidak sehaluan. Cara hidup berbeza. Peraturan seharian juga tidak sama. Kita dibesarkan dengan acuan ibu kita dan dia pula membesarkan anaknya dengan cara dia. Jika tidak dilalui dengan bijak, banyaklah hati yang terluka dan sengsara menjelma.




Kredit Foto: IG Tengku Zawyah




Sayang Suami, Sayanglah Juga Ibunya

Itulah hakikatnya. Kalau kita sayangkan suami kita kerana sikapnya yang baik, maka haruslah diingat sikapnya itu telah dibentuk oleh ibunya. Maka, berterima kasihlah dengan Mak Mentua itu kerana melahirkan suami yang kita kasihi itu.


Apabila sudah kita ambil anaknya menjadi suami kita, jangan pula direnggangkan hubungan ibu dan anak itu. Seharusnya, kita sebagai isteri menjadi pemahat yang mengukuhkan lagi hubungan mereka. Jika, hadir kita disambut baik di dalam keluarganya, maka berbudilah dengan cara terbaik.


Kita bukan ambil barang yang boleh ditukar ganti tetapi anaknya yang menjadi hartanya dunia akhirat. Maka, jangan bersikap pentingkan diri atau ‘tamak’. Suami bukanlah hak kita seorang tetapi juga milik ayah dan ibunya yang tidak mungkin berakhir walau sampai di akhirat nanti. Berkongsilah kasih dengan aman.





Kredit Foto: IG Umi Kalsom




Mak Mertua Kawan Baik

Bagaimana untuk menjadikan Mak Mentua itu kawan baik? Anggaplah dia seperti ibu sendiri. Kalau suami sayangkan Maknya, maka mengapa tidak kita menumpang sayang yang sama. Itu lebih baik kan daripada suami sayang perempuan lain pula?


Layanlah apa hobi dan kesukaan Mak Mentua itu. Ketahui minatnya. Kalau dilayan pasti dia gembira walaupun mungkin kita terpaksa bersikap ‘hipokrit’ tetapi tidak salah demi untuk kebaikan semua. Kalau hobinya bercucuk-tanam, bawalah dia ke nursery untuk melihat tanaman baru.


Kalau Mak Mentua kaki membeli-belah, luangkan sedikit masa di hujung minggu untuk menemaninya membeli-belah. Kalau punya wang lebih, tidak salah untuk belanja sehelai baju atau sebuah beg tangan buatnya. Cakaplah, Mak Mentua mana yang akan menolak kalau diberi hadiah yang disukanya.





Kredit Foto: IG Umi Kalsom




Mak Mentua Pula Jangan Ambil Kesempatan

Untuk menjaga keharmonian dalam sesuatu hubungan itu, ia harus dilakukan secara dua hala. Jika hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha, manakala pihak yang sana acuh tak acuh, pasti tiada kesepakatan mampu dicapai.


Sebagai orang yang lebih tua, seharusnya Mak Mentua menunjukkan contoh dan teladan yang lebih baik. Jangan ada rasa aku mak, dialah kena ikut cakap aku. Untuk dihormati, kita tidak perlu menjadi ‘sombong’ sehingga mahu orang tunduk kepada kita. Tiada istilah ‘jangan bagi muka’.


Sebagai Mak Mentua yang mula-mula membuka pintu kepada menantu, maka janganlah ditutup dengan hentakan maut. Bukalah pintu itu dengan ikhlas. Jangan sesekali ada perasaan untuk ‘test’ menantu. Ada Mak Mentua sengaja mahu menguji menantu dengan pelbagai rancangan tidak baik. Jangan dimulakan, kelak tiada pengakhiran.





Kredit Foto: IG Umi Kalsom



Mak Mentua Pun Pernah Jadi Menantu

Pasti Mak Mentua pun tahu bagaimana perasaan seorang menantu? Semua menantu yang baru masuk ke dalam sebuah keluarga pasti mengharapkan kehadirannya disenangi dan disayangi. Tiada menantu mahu menjadi racun dan diracuni. Jadi, berilah menantu peluang untuk menjadi anak perempuanmu.


Jika ada perkara yang dilakukan menantu tidak kena di mata kamu, cubalah tegur dengan bahasa paling manis dan tidak menyakitkan. Perbetulkan kesilapannya dengan niat memang untuk membetulkan dan membuka mencari silap menantu. Seorang menantu akan hormat kepada Mak Mentua yang juga menghormati maruahnya dan menjaga aibnya.





Kredit Foto: IG Shiera Ijoy




Elakkan Duduk Serumah

Sebaik mana pun hubungan ibu dan anak itu, selepas berkahwin carilah kehidupan dan rumah sendiri. Elakkan tinggal sekali. Kalaupun dengan niat mahu menjada orang tua yang mungkin uzur, carilah rumah berdekatan, atau mungkin rumah berasingan dalam satu laman. Asal sahaja tidak sebumbung. Itulah sebaiknya.


Pernahkah mendengar peribahasa; ‘waktu jauh bau bunga, bila dekat bau tahi’. Begitulah perumpamaannya dengan kehidupan ibu, anak dan menantu. Kalau yang dekat itulah yang selalu menjadi mangsa perkelahian. Manakala anak menantu yang jauh itu yang selalu dipuji melangit.

Maka, jauhkan sedikit jarak untuk membina hubungan yang sentiasa mewangi. Bukan mahu lepas tangan sebagai anak menantu tetapi sekadar belajar berdikari dan mendidik diri untuk sentiasa bertanggungjawab walaupun tidak duduk sekali dengan mak ayah.