Personaliti
Rita Rudaini Imbas Momen Tolak Rakan Artis Dalam Kolam Dan Banyak Lagi Dalam Media Hiburan Throwback
Minggu ini Media Hiburan Throwback (MHT) mengimbau momen dan zaman kegemilangan selebriti yang pernah menyertai Dewi Remaja 1998/1999, tidak lain tidak bukan Rita Rudaini. Saat Raden menunjukkan keratan artikel bertajuk ‘Penyakit Disiplin Artis Sengaja Atau Tidak Sengaja’ terbitan Ogos 2002, berdekah-dekah ketawa Rita melihatkan foto ketika zaman remajanya. Tetapi isu itu masih berbekas diingatannya hingga hari ini. “Zaman kami masih baru lagi dulu, ingatkan tak apalah lambat sikit saja. Tapi lama-kelamaan bila kita terpaksa menunggu orang sebenarnya kita menyusahkan kerja semua orang tau! Kemudian barulah kami sedar diri” ujarnya dalam dialek utara sambil mengenang kembali ‘attitude’nya waktu mula menceburi bidang seni.
Kredit Foto: Astro Prima
Seterusnya MHT membawa kenangan waktu Rita menjalani penggambaran filem Mistik. Terbukti ingatannya masih segar kala membaca semula petikan artikel bertajuk ‘Rita Rudaini Kena Rasuk?’. Ujar Rita lagi “Kalau dulu main ambil aje. Apatah lagi dapat watak dalam filem. Seronoklah, tak tengok watak, tak ‘study’ karakter macam mana. Yang fikir cuma, keluar filem ni kampung aku riuhlah” ceritanya sambil sesekali tertawa. Apatah lagi ketika mengimbas waktu kemunculan pertama dalam filem Mendam Berahi yang disifatkannya cukup mencuit hati. “Rasa macam nak jalan tutup muka, hahaha” ulasnya seraya terhibur mengenangkan waktu itu.Kredit Foto: Astro Prima
“Hampa Saja Ja Kan”
Dan tatkala Raden menunjukkan bingkai artikel seterusnya bertajuk ‘Bedak Sejuk Pilihan Rita’ kedua-duanya ketawa besar. “Ya Allah seksinya kami dulu,” ulasnya sambil membelek keratan artikel itu yang mengabadikan aksi Rita berpakaian skirt dengan but. Sambil berkongsi cerita dia sememangnya mengamalkan rutin menggunakan bedak sejuk sebagai rejim kecantikan wajah, namun kini tidak punya masa lagi untuk melakukannya.Belum sempat Raden throwback artikel seterusnya dia terlebih dahulu mempamerkan reaksi teruja sambil berkata ‘Uii…huhuhu…’ lantas Rita berdebar mahu menatapnya. Dan usai bingkai artikel bertukar tangan, kedua-duanya berdekah-dekah ketawa. “Tudia… Tak mau tunjuk. Ya Allah seksinya,” komen Rita sambil beristighfar melihat fotonya bersama Rusdi Ramli dan Nadia Mustafa dengan artikel bertajuk ‘Rita & Nadia Buat Rusdi Jadi Berani’. Mengulas mengenai penampilannya yang berani berpakaian sedemikian ujar Rita, “Zaman dulu memang macam ni. Seolah-olah tiada apa. Tapi kalau sekarang memang kena kecam. Tapi sebagai artis perlulah ikut peredaran fesyen,” ceritanya lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
Petikan artikel ‘Rita Diganggu Siang Dan Malam’ pula mengimbau momen Rita diganggu dengan kiriman SMS daripada ramai peminat selain insan yang tidak dikenalinya. “Dulu jenis nombor yang tak kenal pun main agkat aje. Layan saja. Tapi sekarang tidak lagi. Maklum sajalah tengah ‘hot’” kongsinya lagi sambil tertawa sekali gus banyak beri pengajaran untuk Rita lebih berhati-hati. Sesekali Raden cuba juga ‘provoke’ mahu bertanya jika ada sesiapa yang menaruh hati atau cuba memikat Rita. “Line dah putus” jawab Rita seraya ketawa.
Artikel bertajuk ‘Luahan Hati Dua R’ pula cukup mencuit hati. Foto Rita Rudaini dan Remy Ishak menggamatkan suasana. “Tudia Remy…” tuturnya seraya disambut dengan hilai tawa Raden. Dan mengulas mengenai gosip yang mampu menaikkan nama artis, ibu tunggal ini tidak percaya dengan pandangan sedemikian. Dan mengulas mengenai penampilan serta bakat lakonan Remy Ishak, akui Rita dia selesa dan menghormati figura pelakon lelaki ini. Percaya bakat yang ada pada Remy membuatkan dia juga selesa jika digandingkan dengan hero pujaan ramai ini jika diberi peluang sekali lagi.Kredit Foto: Astro Prima
Kontroversi hangat dan gosip panas yang satu ini pastinya tidak dapat dilupakan Rita juga semua yang mengikuti perkembangan industri hiburan sekitar awal tahun 2000. Petikan bertajuk ‘Jangan Burukkan Rekod Bersih Saya’ membuntangkan mata Rita kala mengingati semula momen itu. “Waktu itu saya dan Lisdawati memang sama-sama tengah naik. Tapi tiba-tiba entah dari mana timbul isu bermasam muka dan ada yang berkata saya cemburu apabila Fauzi memilih Lisda. Sebenarnya memang tiada langsung. Semua itu tipu saja. Saya memang tiada masalah dengannya.” Hurai Rita lanjut. “Boleh dikatakan itulah pergaduhan sesama selebriti paling epik” ulas Raden seraya keduanya tertawa.Nak tahu siapa selebriti yang akan mengimbas momen juga zaman kegemilangannya? Jangan lupa saksikan Media Throwback yang bersiaran setiap Rabu 9 malam di saluran Astro Prima.
Must-Watch Video