gaya hidup

Saat Kamu Mengimpikan Kehidupan Orang Lain, Ada Insan Yang Teringin Berada Ditempat Kamu. Bersyukurlah…

gempak
Huda Hussain
17/06/2021
09:24 MYT
Sponsor Banner
Saat Kamu Mengimpikan Kehidupan Orang Lain, Ada Insan Yang Teringin Berada Ditempat Kamu. Bersyukurlah…
Pernahkah terlintas dalam fikiran kamu perihal ini? Tatkala kamu melihat kehidupan dan apa jua yang dimiliki dan dilalui seseorang menjentik rasa di hati. Bukan dengki atau cemburu tetapi lebih kepada keterujaan untuk merasai secebis daripadanya. Umpamanya kalaulah diberi peluang dapat duduk seketika ditempatnya, alangkah indahnya rasa. Serba-serbi ada.
Kredit Foto: Google
Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu adalah individu yang kamu angkat sebagai idola mahupun ikutan. Mungkin terdiri daripada selebriti, personaliti mahupun sesiapa sahaja yang diikuti di laman sosial misalnya. Yang sering diikuti segala perkembangannya. Apa jua yang disarungnya, kamu pun teringin mahu miliki yang sama. “Bestnya hidup dia. Nak apa beli aje. Dahlah rumah besar, anak-anak pun comel aje,” fikir singkat dalam kepala.
Benar, itu semua bukan didorong atas sifat hasad dengki ataupun iri hati mahupun mengikut nafsu; tetapi dek kerana keinginan yang bersifat sementara untuk merasai walau sekejap cuma. Tetapi, tahukah kamu apabila itu semua terlintas dalam fikirmu, ada juga mata yang memerhati dan memendam rasa lantas punya kenginan untuk berada di tempat kamu pula? Kerana lumrah sifat manusia, sukakan kecantikan, keindahan pada pandangan mata. Sedangkan kita sendiri tidak pernah terfikir bagaimana pula keringat, susah payah yang harus ditempuhi insan itu untuk berada ditempatnya kini. Berapa banyak air mata yang tumpah atau mungkin bergolok gadai untuk sampai di destinasi itu.
Kredit Foto: Google
Natijahnya, waima besar atau kecil; sedikit mahupun banyak tetaplah bersyukur dengan setiap inci yang kamu ada hari ini. Apa yang berada dalam genggaman, apa yang masih mampu untuk dimakan, dipakai, bergerak ke sana sini, belajarlah erti menghargai apa yang ada. Mahal atau murah, marhain atau kayangan kita semua perlu realistik. Beg apa yang dijinjit, pakaian apa yang disarung, kereta apa yang dipandu, jenama telefon bimbit yang diguna dan seumpamanya semua bersifat sementara sahaja. Ukur baju dibadan sendiri, lihat kemampuan diri.
Kredit Foto: Google
Benar tak salah menyimpan angan-angan tetapi andainya itu dilihat sebagai dorongan dan motivasi untuk lebih berusaha, tingkatkan keupayaan dan kemahiran; mengapa tidak kan? Selain bersyukur, perlu seiring juga dengan usaha supaya ada keseimbangan antara keduanya. Jadikan ia sebagai motivasi dan pembakar semangat untuk kamu menjadi insan yang lebih baik dan positif.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live