gaya hidup
Saat Mereka Sibuk Dengan Majoriti, Nak Lompat Parti; Kita Terkedu Tengok Angka Orang Yang Mati.
Seperti yang pernah diuar-uarkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Februari lalu, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 20,000 jangkitan pada Mac. Dan melihat kepada angka itu, tidak mustahil ia akan berlaku kerana semalam sahaja sejumlah 19,819 kes positif baharu direkodkan. Walaupun hanya berbeza empat bulan, tetapi realitinya kita semakin menghampiri angka tersebut.
Kredit Foto: Google
Ikut SOP, Dah Ambil Vaksin, Tapi Kes Naik Lagi
Entah dimana silap dan pincangnya. Setelah berbulan lamanya PKP 3.0 dilaksanakan, vaksin diambil, kekal duduk rumah tetapi kes positif masih mencanak naik. Lebih memburukkan keadaan apabila ramai dalam kalangan rakyat mengeluh kilang masih dibenarkan beroperasi. Dan ekoran itu, kes masih tidak menunjukkan penurunan seperti yang diharapkan.
Ditambah pula dengan lonjakan kluster juga varian Delta yang mampu menjangkiti dalam tempoh yang singkat membuatkan fasiliti kesihatan hampir lumpuh. Selain itu, krisis politik yang melanda juga membangkitkan kemarahan rakyat yang sememangnya tidak berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen.
Kredit Foto: Google
Perhimpunan Jalanan Memburukkan Lagi Keadaan
Jika Sabtu lalu rakyat keluar berarak menunjukkan protes sekitar ibu negara sebagai tanda menentang kerajaan, situasi yang sama berlaku dalam kalangan ahli politik dua hari lalu. Bukan sekadar membangkitkan kemarahan sedia ada, ia benar-benar mengecewakan semua lebih-lebih lagi dalam situasi genting yang berlaku ketika ini.Kredit Foto: Google
Benar, setiap warganegara berhak untuk bersuara dan menyuarakan pendapat. Tetapi jujurnya bukanlah satu tindakan bijak untuk melakukannya di jalanan pada waktu ini. Tatkala hospital sesak, wad penuh dan padat dengan pesakit Covid-19, para doktor, jururawat dan petugas kesihatan kian penat; semestinya apa jua yang mampu mencetuskan ledakan kes dan penularan baharu bagai membunuh barisan hadapan yang bertarung dalam senyap.Rakyat Lebih Prioriti
Nyawa, keselamatan dan kesejahteraan rakyat seharusnya menjadi keutamaan para pemimpin ketika ini. Bukan masanya nak bertelagah sesama sendiri, berebut jawatan tertinggi mahupun memegang ‘kuasa’. Menuding jari dia salah, aku betul. Selesaikan yang terbengkalai. Fokus kepada mencari solusi untuk menangani pandemik ini terlebih dahulu. Rangka strategi dan pelan tindakan susulan untuk melandaikan lengkuk juga unjuran kes Covid-19. Peka dengan situasi genting yang berlaku di hospital seluruh negara. Perbetulkan apa yang tidak kena.
Kredit Foto: Google
Fahami dan dengari keluhan rakyat yang kian muak dengan apa yang dipamerkan ahli politik. Tak habis-habis dengan retorik sedangkan yang perlu diperjuangkan adalah hak rakyat yang selama ini memangkah undi untuk kalian.Ketepikan seketika ideologi parti masing-masing. Pikul tanggungjawab dengan penuh hemah dan bermaruah. Jangan disalah guna mandat dan kepercayaan yang diberi rakyat untuk membantu dikala susah. Sudahlah rakyat tersepit, ditambah pula dengan keadaan yang menghimpit membuatkan semuanya kian sulit. Semoga apa yang berlaku hari ini dijadikan iktibar dan pengajaran. Bersatu hati membantu rakyat yang diuji dengan pelbagai kesusahan. Jangan dirumitkan lagi keadaan.
Must-Watch Video