Highlights
“Saya Akur Jika Tiada Jodoh Lagi dan Akan Terus Jaga Ibu” – Fizo Omar Titip Doa Buat Mawar Depan Kaabah.
Kisah penceraian mereka agak menggemparkan semua kerana mereka boleh dikatakan antara pasangan yang dilihat agak ‘intim’ dan kurang cerita sensasinya. Apatah lagi, pada ketika mereka sedang mengulit bahagia bersama cahaya mata yang ditunggu selepas empat tahun berkahwin.
Ketika hadir sebagai tetamu jemputan di program Currhat semalam, Fizo Omar begitu tenang membicarakan tajuk ‘Tabah Hadapi Penceraian’. Banyak yang beliau kongsikan rasa hatinya dan ternyata Fizo nampak matang dan tabah menghadapi kehidupan sekarang sebagai bapa tunggal. Dan, masih menjaga hubungan baik dengan bekas isteri, Mawar.
Kredit Foto: Astro Prima
Bagaimana perasaan Fizo sebagai seorang lelaki saat melafaz cerai kepada Mawar?
Terdapat dua moments paling besar dalam hidup saya saat menggalas tanggungjawab sepanjang hidup ini iaitu ketika melafazkan akad nikah dan menjatuhkan talak kepada wanita yang sama iaitu – isteri. Apa yang boleh saya katakan waktu itu, perasaan bercampur-baur. Namun, inilah ketentuan yang telah ditakdirkan untuk saya. Cuma, saya berasa tenang saat melafazkannya.
Bagaimana Fizo boleh mendapat ‘ketenangan’ pada situasi yang tegang ketika itu?
Saya tidak nafikan penceraian itu memang memberi kesan kepada saya sendiri. Tambahan pula, selepas kami sudah memiliki anak yang sangat kami nantikan selama ini. Namun, siapa saya untuk menolak takdir yang telah Tuhan tentukan. Tiada siapa pun yang berkahwin mahukan kesudahan seperti ini. Baik saya atau Mawar, kami sendiri tidak mahukan penceraian ini. Tetapi, inilah takdir kami. Saya mencari tenang itu dengan mendekatkan diri kepada Allah dan pergi kepada circle yang betul untuk mendapatkan nasihat dan kekuatan. Prof. Muhaya antara insan yang banyak memberikan saya kata-kata semangat.
Bagaimana perancangan Fizo selepas bercerai?
Paling penting adalah masa depan anak kami. Justeru, saya memilih untuk berpindah ke rumah baru yang hanya 10minit saja perjalanan ke rumah Mawar. Supaya, kalau apa-apa berlaku, biarlah saya orang pertama yang akan sampai untuk membantu. Jujurnya, tipulah kalau selepas penceraian itu tidak timbul sebarang isu. Namun, bagi saya dan Mawar kami cuba atasi dengan cara terbaik demi anak kami. Kami masih berhubungan baik. Bagi saya, tolak-ansur itu penting. Jika orang di sana beremosi lebih, saya akan ambil sikap sebaliknya, saya cuba bertenang.
Tidak lama selepas bercerai, Fizo dijemput-Nya menunaikan haji, apa agaknya doa Fizo di depan kaabah?
Sekiranya ada jodoh baru untuk Mawar nanti, saya tidak hanya berharapkan lelaki itu dapat menjadi suami yang baik buat dia tetapi juga saya mengharapkan bakal suami Mawar dapat juga menjadi bapa yang baik kepada anak saya. Buat saya, andainya ditakdirkan ada pengganti yang sesuai, saya sedia untuk memulakan hidup baru. Namun, jika Allah kata tiada lagi jodoh saya selepas ini, saya redha untuk terus begini dan memberikan fokus kepada ibu. Bagi saya, apa pun yang terjadi, ibu adalah keutamaan saya sebagai anak lelaki. Saya sudah ada anak dan pernah pun diberi peluang sebagai suami, saya bersyukur dengan semua rezeki ini.
Jika ditakdirkan Mawar sudi untuk menerima Fizo sebagai suami semula, adakah Fizo akan kembali kepada perkahwinan itu?
Saya tidak boleh kata ya atau tak. Saya bersikap sangat natural dalam hal ini. Siapa saya untuk menolak ketentuan Allah? Bak kata Prof.Muhaya, sebab itulah Islam membenarkan tiga kali penceraian. Yang pertama itu untuk memberi pengajaran kepada pasangan. Dan, mungkin inilah pengajaran yang akan kami ambil untuk muhasabah diri. Menjawab kepada soalan tadi, jika benar ia terjadi, ya saya tidak menolak.
Akhir sekali, bagaimana Fizo membina ketabahan menghadapi penceraian?
Bukan kata saya nak cakap besar, tetapi saya tidak menangis meratapi penceraian ini. Selalu orang kaitkan penceraian sebagai sesuatu yang tidak baik dan negatif. Bagi saya, yang penting adalah action kita dalam menghadapi sesuatu situasi itu. Jika situasi negatif, ia perlukan action yang positif. Berdosa untuk kita menganggap penceraian itu satu bala sedangkan ia tertakhluk kepada qada dan qadar Allah.
Must-Watch Video