Highlights

“Saya Menangis Semasa Memotong Kain Dan Menjahit, Teringat ‘Frontliners’ Kita.” – Melinda Looi Kongsi Cerita Siapkan Sut PPE.

gempak
Huda Hussain
02/04/2020
15:55 MYT
Sponsor Banner
“Saya Menangis Semasa Memotong Kain Dan Menjahit, Teringat ‘Frontliners’ Kita.” – Melinda Looi Kongsi Cerita Siapkan Sut PPE.
Dia tidak menyangka sejauh ini mereka mampu membantu. Daripada perbualan santai bersama rakan-rakan pereka ketika duduk dirumah semasa tempoh PKP, kini masing-masing sibuk bekerja. Menabur khidmat berbekalkan bakat dan kemahiran yang dimiliki. Daripada mereka cipta ribuan helai busana gah dan glamor, tetapi bagi Melinda Looi menghasilkan sepasang sut PPE tetap paling mahal harga dan nilainya. Selaku Presiden MODA (Malaysian Official Designers’ Association) dia dan team tampil menggerakkan misi MODA For Frontliners – PPE Fundraising yang disokong oleh Fashion Valet dan IMARET. Ikuti coretan pengalamannya.
Kredit Foto: IG Melinda Looi
Bagaimana timbulnya idea dan ilham untuk tampil mengeluarkan sut Personal Protective Equipment (PPE) Ketika minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya dan beberapa rakan pereka fesyen berbual santai dalam group chat kami. Apa yang kami boleh lakukan selain daripada duduk diam-diam dirumah? Melihat doktor, jururawat dan petugas kesihatan hanya menggunakan plastik untuk dijadikan sut PPE, hati kami tersentuh dan terpanggil untuk menggerakkan kutipan dana. Jadi kami mula mengutip dana dan rakan-rakan mula menderma dan menyumbang. Waktu itu kami berjaya mengumpul RM6,000 dan membeli sut PPE. Tidak lama selepas itu, ramai yang mula peka dan posting kami tular di media sosial. Kami meraih lebih daripada RM10,000 dan selepas itu saya berkata kepada mereka mengapa tidak kita buat (jahit) sendiri? Memandangkan kami punya skil dan boleh dilakukan dari rumah. Hinggalah beberapa hari lalu, kami putuskan untuk meluaskan skala misi ini dan menjahit sut PPE dalam kuantiti lebih banyak. Serentak itu saya terima banyak panggilan daripada pelbagai pihak yang tawarkan diri untuk turut serta. Dan dua hari lalu FashionValet (Vivy Yusif) menelefon saya untuk jalinkan kerjasama dalam misi ini bersama-sama IMARET (IMAM Response & Relief Team) sebuah NGO perubatan. Kami baru menggerakkan usaha mengumpul dana kelmarin dan kini sudahpun menerima sumbangan sebanyak RM30,000.
Kredit Foto: MODA
Selain anda, siapa lagi pereka fesyen yang turut sama dalam misi ini? Dato Radzuan Radziwill, Khoon Hooi, Alia Bastamam, InnaiRed, Melinda Looi, Celest Thoi, Jimmy Lim, Key Ng, You Sheng, Keith Kee, Kit Woo, FiziWoo, Mimpikita, Nurita Harith, Brian Khoo, Justin Yap, Michael Ooi, SML Fashion School, Dwen Raha, Eleusis Bridal dan ramai lagi sukarelawan tukang jahit yang sudi membantu merealisasikan misi ini.
Kredit Foto: MODA
Material yang digunakan untuk menjahit PPE, adakah dibeli dari pembekal atau ia disumbangkan oleh penderma atau bagaimana? Pada peringkat permulaan kami membeli sut PPE. Tetapi selepas meraih sumbangan, dana itu kami gunakan untuk membeli material dari Pulau Pinang dan menjahitnya sendiri. Salah satu elemen penting dalam pemilihan material untuk menjahit sut PPE adalah ia perlu kalis air untuk melindungi pakaian dan tubuh frontliners. Ada juga material yang kami peroleh terus dari hospital. Dari situ, kami membuat pembahagian kepada semua pereka fesyen untuk proses pemotongan dan jahitan. Semua dilakukan secara berpasukan. Ada sesetengahnya dijahit dari bengkel atau rumah pereka fesyen dan selebihnya dijahit dari rumah oleh sukarelawan. Dan sut PPE yang kami hasilkan adalah 100 peratus dari Malaysia.
Berapa banyak kuantiti PPE yang dihasilkan setiap hari dan tempoh kalian bekerja untuk menyiapkannya? Secara purata kami boleh hasilkan sebanyak 800 sut sehari untuk disumbangkan kepada hospital-hospital sekitar Lembah Klang manakala sebanyak 80 sut kami berikan untuk penggunaan klinik-klinik kesihatan. Kami perlu hasilkan lebih banyak kuantiti kerana kita sedia maklum sut PPE tidak boleh diulang pakai. Konsepnya pakai buang, jadi memang banyak kuantiti diperlukan. Dan bagi saya ia adalah proses pengeluaran tanpa henti kerana pemintaan yang tinggi dan kegunaannya amat diperlukan dalam situasi sekarang. Kami bekerja setiap hari dari pagi hingga lewat petang. Tetapi bagi mereka yang menjahit dirumah sudah pasti masanya tidak terhad. Malah saya sendiri menjahit hingga jam 4 pagi dan masih menerima kiriman WhatsApp daripada ramai orang yang bertanyakan bagaimana mahu menyumbang dalam misi ini.
Kredit Foto: MODA
Apa pula prosedur atau standard piawaian yang ditekankan dalam proses menyiapkan sut PPE? Aspek kebersihan dan kekemasan jahitan amat dititikberatkan. Kami pastikan semua tenaga kerja mematuhi SOP seperti membersihkan tangan menggunakan sanitizer sebelum menjahit dan memotong material. Selain itu, pemakaian penutup kepala dan topeng muka juga ditekankan semasa proses menjahit. Malah material yang dihantar kepada kami sebelum itu di disinfeksi dan dinyah cemar juga apabila sampai ke pihak hospital, prosedur sama turut dilakukan.
Antara hospital yang menerima sut PPE ini adalah? Hospital sekitar Lembah Klang seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan lain-lain. Selain itu kami turut menghantar sut ini untuk kegunaan hospital di Melaka. Permintaan yang tinggi turut kami peroleh dari hospital di Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Kami sentiasa mencuba sedaya upaya untuk hasilkan sebanyak yang mugkin supaya dapat menampung permintaan daripada hospital-hospital yang lain juga.
Kredit Foto: MODA
Bagaimana pula ia dihantar untuk kegunaan hospital dan klinik terpilih? Bagi kegunaan hospital, pihak IMARET yang bertanggungjawab mengedarkannya. Manakala bagi kegunaan klinik dan lain-lain kami menghantar menerusi grab car.
Kredit Foto: MODA
Adakah MODA hanya hasilkan PPE sahaja atau kelengkapan lain? Buat masa sekarang kami hasilkan sut PPE, sarung kaki dan penutup kepala. Untuk mask, agak sukar untuk dihasilkan kerana ada gred tertentu yang sesuai digunakan untuk frontliners misalnya mask N95, 3 lapisan, 4 lapisan. Saya juga ada menerima panggilan daripada Alam Flora yang bertanya sama ada kami boleh hasilkan jumpsuit untuk kegunaan pekerja mereka . Hati saya tersentuh mendengarnya kerana mereka juga tergolong dalam frontliners yang membantu. Mungkin kami akan hasilkan lebih banyak jumpsuit untuk mereka pula nanti tetapi buat masa kami fokuskan kepada sut PPE terlebih dahulu.
Kredit Foto: MODA
Daripada aspek saiz, adakah kalian membuat rekaan sendiri atau mempunyai template khusus yang digariskan pihak hospital? Kami dapatkan ukuran saiz, patern dan butiran terperinci daripada pihak hospital terlebih dahulu. Selepas membuat sampel sut PPE kami hantar ke hospital untuk dapatkan kelulusan. Hanya selepas pihak hospital bersetuju barulah kami mula menjahit. Dan kerja-kerja menyiapkan sut PPE ini masih baru lagi dilakukan, lebih kurang empat hari lalu.
Perasaan anda ketika menjahit sut PPE? Sudah pastinya ia sesuatu yang berbeza kan? Saya terharu dan menangis semasa memotong kain dan menjahit. Menangis bukan kerana penat atau letih tapi memikirkan frontliners kita yang sedang berjuang untuk kita dana pa yang berlaku kepada semua hari ini. Bayangkanlah, bagi frontliners mereka perlu bekerja untuk pastikan keselamatan dan kesihatan kita. Terlalu besar pengorbanan para doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain sekarang.
Kredit Foto: MODA
Kalau diikutkan pada waktu ini kebanyakan pereka fesyen sibuk menyiapkan koleksi raya bukan? Tapi berbeza dengan situasi sekarang. Bagi Melinda sendiri bagaimana berhadapan dengan situasi ini? Sejujurnya saya akui agak tertekan. Mana lagi perlu fikirkan koleksi baju raya, soal perniagaan yang perlu ditangguhkan buat sementara waktu dan banyak lagi. Tapi situasi seperti ini bukannya berlaku selalu. Ini masanya kami sebagai pereka fesyen berganding bahu, bersatu dan bekerjasama sebagai satu keluarga besar untuk sama-sama menyumbang dan membantu negara. Ia hanya sumbangan kecil kerana berbekalkan kemahiran dan bakat yang kami ada, ini saja yang termampu dilakukan. Fokus kami buat masa ini adalah untuk mengutip sebanyak mungkin dana yang diperlukan supaya dapat terus salurkan sumbangan kepada frontliners kita. Ia suatu pengalaman yang amat berharga dan bermakna buat kami.
Kredit Foto: MODA
Kata akhir daripada Melinda untuk semua rakyat Malaysia yang ingin membantu dan menyumbang kepada misi ini? Sejujurnya saya terharu dengan sokongan dan bantuan yang diberi. Dan saya hargai segala bentuk bantuan yang dihulurkan. Bertalu-talu panggilan dan Whtasapp saya terima. Ada yang sudi membantu untuk menjahit, ada yang mahu menderma material, ada yang sukarela untuk membantu memotong material dan lain-lain. Ada juga yang repost posting kami di media sosial hingga tular dan secara tidak langsung ia membantu untuk menyebarkan misi ini dengan lebih meluas, pantas dan mudah. Sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan pereka yang sudi menjayakan misi ini. Terima kasih kepada rakan-rakan sukarelawan tukang jahit yang banyak membantu. Sikap perikemanusiaan, keprihatinan dan ingatan yang ditunjukkan daripada masyarakat Malaysia benar-benar membuktikan bahawa kita sememangnya 1 Malaysia dan bagaikan satu keluarga. Walaupun diuji, kita tempuhnya bersama. Teruskan sumbangan dan derma anda untuk MODA For Frontliners – PPE Fundraising. Butiran lanjut, anda boleh follow Instagram MODA Malaysia, FashionValet dan IMARET. Terima kasih Malaysia!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024