Ramai mengenalinya sebagai jurusolek berbakat besar, sangat loud dan penampilannya sentiasa menarik perhatian ramai. Walau bertumbuh gempal, Bosco sangat yakin dan seringkali tampil dengan gaya stylish dan lain dari yang lain. Selama-lamanya dia sudah terbiasa dengan susuk tubuh begitu, tiba-tiba sesuatu menyedarkannya untuk berubah.


“Tahun depan saya akan berusia 40 tahun. Saya mula memikirkan tentang kesihatan dan gaya hidup saya. Mungkin sekarang belum ada penyakit kronik, tapi akan datang? Kalau dah sakit nanti, siapa pula nak menjaga? Saya juga suka berfesyen, mungkin itu juga dorongan kuat saya untuk mengubah bentuk badan saya mencapai berat badan ideal,” ujarnya.



Katanya, setiap kali melihat baju-baju yang dia teringin untuk gayakan tapi ‘tak mampu’, membakar semangatnya untuk turunkan berat badan. Dan, setiap kali rasa ‘down’, dia akan lihat kembali baju-baju ini untuk memastikan misinya itu diteruskan walau apa pun godaan yang datang.








Bermula Pada Hujung Tahun 2020


Bosco memulakan misi menurunkan berat badannya pada Disember tahun lalu. Dia tidak sangka usahanya itu membuahkan hasil apabila ada kawan-kawan yang mula menegur bentuk badannya yang mengecil dan raut wajah yang sudah cengkung selepas beberapa bulan. Daripada berat badan 174 kg, kini Bosco boleh tersenyum bangga dengan berat badan 96kg yang dimilikinya.


“Saya mula perasaan usaha saya berhasil apabila melihat muka di cermin. Saya ni jenis suka ‘feeling’ depan cermin. Ketika saya senyum di depan cermin itu, saya dapat lihat gusi bahagian dalam mulut saya. Bermakna saya sudah cengkung apabila rahang pun sudah jelas kelihatan,” kongsinya lagi.


Dan seperti dijangka, hasil ini bukan datang bergolek. Bosco mengakui bekerja keras untuk memiliki berat badannya sekarang. Seperti yang kita tahu proses menurunkan berat badan bergantung pada 70 peratus melalui pemakanan dan selebihnya melalui senaman. Jadi, Bosco melakukan kedua-dua itu secara konsisten.















Diet Ketat, Makan Sekali Sehari Saja


“Pada enam bulan pertama saya langsung tak ambil sumber karbohidrat. Nasi, roti, kuih, mee, semua itu saya tak sentuh langsung. Malah, minyak pun tidak termasuk minyak zaitun. Gula dan garam apatah lagi, memang saya jauhi. Saya tidak ambil sarapan. Saya hanya makan sehari sekali saja.


Menu saya seperti oat atau epal hijau dua biji. Kalau yang lebih berat seperti sayur, telur atau ayam, saya akan masaknya secara rebus saja tanpa garam. Cukup renjisan lada hitam sebagai perasa. Daging merah pun saya tak ambil. Begitulah ketatnya pemakanan saya.”


Walaupun dikenali sebagai seorang yang ‘kaki masak’ satu masa dulu, Bosco tegar untuk bertahan tidak makan walaupun sesekali dia memasak untuk kawan-kawannya. Semua itu terletak pada kawalan psikologi kita katanya.





Jogging 8km Sehari


Tidak hanya mengawal pemakanan, untuk memastikan dia kekal ‘fit’ dan bentuk badannya ‘firm’, Bosco turut turun padang melakukan aktiviti fizikal seperti berlari. Hari-hari dia akan jogging sejauh 8km. Kemudian, balik ke rumah sambung workout. Bosco sentiasa pastikan badannya selalu berpeluh.


“Kalau tidak berpeluh, saya jadi resah. Saya suka apabila badan basah dengan peluh kerana saya rasa sihat. Kalau dulu, kawan ajak bersenam saya mula rasa nak marah kerana tak mampu nak bawa badan. Sekarang, jadi seronok pula. Dan ya, saya pun sedar sejak badan dah ringan, emosi jadi lebih positif dan kurang nak marah,” tambah Bosco.







Nasihat Untuk Yang Selalu ke Laut


Bosco hanya ketawa kecil apabila diminta memberi nasihat kepada mereka yang selalu ke laut apabila mahu berdiet? “Mental kena kuat. Kita perlu tahu matlamat kita. Jangan buat sebab terikut-ikut orang. Buat kerana kita memang mahukannya. Itu semua bergantung pada kekuatan psikologi bukan fizikal.”

Bosco turut menambah, ada kala dia juga pernah rasa give up tapi lekas-lekas diatasi dengan melihat ke dalam cermin apa yang dimiliki sekarang ini. “Setiap kali rasa nak makan benada tak sihat, saya akan cakap pada diri sendiri, tak rasa rugi ke dengan usaha keras sebelum ini hanya untuk sepinggan makanan itu?”


“Percayalah, apabila kita berjaya mendapatkan berat badan yang diimpikan, ia satu kepuasan yang tak terhingga. Gembiranya lain macam. Saya sendiri berasa sangat seronok apabila dapat menyarungkan semula baju-baju lama yang dah tak kuat tu. Paling penting kena selalu positif, okey! Saya target nak dapat berat 65kg hujung tahun ni. Insya Allah,” akhirinya.