Personaliti

“Saya Sentiasa Rasa AYAH Tak Suka Saya, Kami Tak Mesra Tapi Lepas Arwah Dikebumi, Kawannya Cerita...”

gempak
Afiza Kamarulzaman
19/06/2021
02:46 MYT
Sponsor Banner
“Saya Sentiasa Rasa AYAH Tak Suka Saya, Kami Tak Mesra Tapi Lepas Arwah Dikebumi, Kawannya Cerita...”
Dalam program Rumah No 107 episod 3 siaran Astro Warna setiap Jumaat (9 malam), Zul Huzaimy sempat bercerita perihal arwah Ayahnya yang banyak mempengaruhi hidupnya daripada kecil sehinggalah ke hari ini. Tidak mungkin dapat dilupakan susuk itu, walau kini arwah sudah tiada.
Sempena Hari Bapa ini, kita soroti kisah menyayat hati Zul dan Ayahnya yang boleh kita jadikan pengajaran terutama buat mereka yang masih mempunyai figura bernama Ayah.
Secara kebetulan ketika host bertanyakan kepada Zul apakah detik paling ‘down’ yang pernah dilalui Zul sepanjang hidupnya? Zul tanpa berselindung menceritakan bagaimana hubungannya dengan Ayah dan detik yang menjadi sejarah paling hitam dalam hidupnya dan bagaimana Ayah membentuknya menjadi orang yang kental?
Ayah Kecewa Saya Mahu Jadi Orang Muzik
“Saya masih ingat sekitar tahun 1997, di stesyen bas Kuala Kangsar, saya mahu ke Kuala Lumpur melanjutkan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dalam bidang muzik. Saya membawa dua beg. Ayah menghantar saya. Saya tahu Ayah tak ada duit tapi waktu itu Ayah bagi saya sekeping Money Order bernilai RM620 untuk saya bayar duit yuran.
Selepas itu, Ayah terus pergi tinggalkan saya. Saya terpinga-pinga. Dalam hati, nak saya tanya macam mana dengan duit belanja? Tapi saya diam sebab saya tahu Ayah sangat kecewa waktu itu. Tuhan je tahu perasaan saya ketika itu. Berkali-kali, driver bas bunyikan hon. Saya berbelah-bahagia nak pergi atau tak?
Saya pelik kenapa arwah tak restui saya belajar muzik sedangkan arwah sendiri guru muzik. Yang saya tahu Ayah kecewa kerana saya tidak terus menjadi pemain bola kerana waktu itu saya pemain bola sepak terkenal di kampung saya,” cerita Zul mengundang sebak.
Sampai Kuala Lumpur, Menjadi ‘Homeless’
Zul menyambung cerita, sebaik sampai di ASK, mereka menjalani sesi orientasi selama seminggu. Selepas selesai sesi itu, semua beredar membawa haluan masing-masing. Baru Zul sedar yang mereka tidak disediakan tempat tinggal atau hostel. Maka, buat pertama kali dalam hidupnya menjadi gelandangan.
“Air paip menjadi makan minum saya seharian kerana memang saya tak ada duit belanja langsung. Saya termenung sendiri, apalah nasib saya waktu itu...”
Itulah detik paling mencabar buat Zul saat mula tiba di kota Kuala Lumpur. Namun, dia bersyukur kerana pengalaman itulah, dia kini menjadi insan yang mampu berdikari di atas kaki sendiri dan kuat mendepani apa jua cabaran hidup.
Hubungan Tak Pernah Mesra Dengan Ayah
Berbalik kisah Ayahnya, Zul mengakui hubungannya dengan Ayah memang agak ‘panas’, tidak mesra dan jarang sangat bertegur sapa. Zul sendiri berasa seperti dipingirkan dan menganggap antara 12 adik-beradik, dialah anak paling degil dan tidak disukai oleh Ayah.
“Nak dijadikan cerita, satu hari tu saya ke Holland kerana mengikuti satu penggambaran. Tiba-tiba, satu pagi tu saya mendapat panggilan memberitahu yang Ayah sudah meninggal dunia. Saya tahu kalau saya balik pun mesti tak sempat nak tengok Ayah.
Selepas pulang dan menjenguk ke kuburnya, datang seorang hamba Allah ini menyapa saya. Dia sempat bercerita yang Ayah ni kalau di kedai kopi, asyik sebut nama saya, hanya cerita saya yang selalu dia kongsi dengan kawan-kawan. Kalau dapat surat khabar, dia akan cari berita tentang saya. Ya Allah, barulah saya tahu Ayah sayang saya...” tutur Zul dalam suara tersekat-sekat.
Nak Sambung PHD, Dapat Doktor Untuk Banggakan Ayah
“Saya sedang menyambung pengajian dan cuba habiskan PHD kerana saya mahu bergelar Doktor. Saya pasti kalau saya berjaya lakukannya, saya akan buat Ayah bangga dengan anaknya ini. Sayalah anak yang paling disayangnya...”
Dengan segala yang dilaluinya selama ini, Zul tidak sedikit menyalahkan Ayahnya. Malah, bersyukur kerana dianugerahkan Ayah seperti arwah.
“Ayah dibesarkan tanpa seorang bapa. Sebelum Ayah dilahirkan, Atuk saya telah dibawa lari oleh tentera Jepun. Dia lahir tanpa pernah mendapat kasih-sayang seorang Ayah. Panggilan Ayah pun, dia tak pernah dapat sebut. Jadi, di situlah saya rasa kenapa saya juga dididik dengan tegas dan bukan dimanja dengan kasih-sayang,” akhiri Zul dalam wajah bersisa kepiluan yang hanya dia yang tahu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live