Personaliti

“Saya Takut Sangat Orang Kata Berlagak Ke Apa Ke. Sebab Tu Saya Tak Nak Share” – Nabil Ahmad

gempak
Huda Hussain
08/03/2021
15:50 MYT
Sponsor Banner
“Saya Takut Sangat Orang Kata Berlagak Ke Apa Ke. Sebab Tu Saya Tak Nak Share” – Nabil Ahmad
Mungkin masih ramai yang belum mengetahui kisah penghijrahan hos, pelawak dan usahawan terkenal Nabil Ahmad. Seboleh mungkin dia mahu menyembunyikannya daripada pengetahuan umum kerana bimbang ia mengundang kata-kata tajam yang mampu menggugah kesabaran.
Jika ada yang menyedari tutur kata Nabil dalam Muzikal Lawak Superstar 2 yang dihoskannya bersama Elly Mazlein; rata-rata menyifatkan hos terkenal itu banyak berubah. Tiada lagi unsur jenaka yang menyindir, memerli dan sebagainya. Bahkan, ketika mengingatkan penonton untuk sentiasa mematuhi SOP; kalimah Masya-Allah sering meniti dibibir. Tak lekang menyebut salah satu kalimah mulia yang mengagungkan kebesaran-Nya. Selain itu, tatkala Elly Mazlein atau mesra dengan panggilan Kak Lina menyatakan perlu amalkan 3W (Wear Your Facemask, Wash Your Hand and Watch Your Distance). Lantas Nabil menambah “1 W lagi Kak Lina. Wudhuk. Pastikan sentiasa berwudhuk”, terangnya. Dalam jenakanya kini terselit unsur dakwah yang mungkin bukan menjadi ‘makanannya’ sebelum ini.
Kredit Foto: Google
Dan lebih menjentik rasa juga emosi adalah kesudiannya berkongsi menerusi sesi LIVE di Facebook bersama Prof Dr Muhaya dan KK Talib. Bersiaran secara langsung jam 7 pagi, pada mulanya Nabil belum bersedia untuk berkongsi kisah apa yang dilaluinya sebelum ini. Dengan topik ‘Bermimpikah Aku’, isterinya Zira turut ada bersama sesekali berkongsi luahan hati.
Dalam sesi Live itu, Nabil memberitahu ada khuruj tiga hari sebelum ini. Khuruj bermaksud meluangkan waktu untuk secara total berdakwah. Siapa sangka kan, kelibatnya, aksi dan telatahnya serta lincahnya mulutnya berkata-kata diatas pentas sebelum ini berubah sedikit demi sedikit. Itulah indahnya hidayah Allah. Dicampakkan kepada insan yang benar-benar terpilih, pada waktu dan ketika yang tepat dan sesuai. Dan sesekali Nabil menangis, tak tertahan air matanya mengalir menginsafi dan bimbang dikatakan menunjuk-nunjuk bahawa dia kini sudah berubah dan berhijrah. Umpamanya, Nabil yang dulu bukan Nabil yang sekarang. Bagi Nabil, dia terlalu takut andai ada yang mengata dia berlagak baik, acah-acah alim dan sebagainya.
Kredit Foto: Google
Geng Motor Rupanya Mendoakan Nabil Selama Ini Betapa benar hidayah itu milik Allah. Rupanya, geng motosikal yang disertainya selama ini ahlinya terdiri dari kalangan jemaah tabligh. Dan dalam kalangan mereka, tiada seorangpun yang pernah memandang serong, menghukum Nabil berdasarkan kapasitinya sebagai selebriti. Malah, mereka juga tidak pernah mengajak Nabil untuk keluar tiga hari dan dalam masa sama, dia juga tidak tahu-menahu bahawa rakan-rakannya itu semua khuruj. Lebih indah, dia tertarik dengan akhlak yang dipamerkan. Juga kumpulan jemaah ini tidak pernah berhenti mendoakannya. Masya-Allah, Tabarakallah.
Rumahtangga Bermasalah Ujar Nabil dalam sesi Live itu, seperti pasangan suami isteri lain dia dan isteri juga tidak lari daripada berhadapan dengan masalah. Kerap bergaduh dan walaupun solat tetapi masih ada yang kurang. Akuinya jujur, “Solat empat waktu dapat, cuma Subuh aje yang selalu tinggal. Solat malam memang jarang” terangnya lagi. Dan apabila dia memaklumkan kepada Zira untuk khuruj tiga hari, mulanya Zira berat hati untuk merelakan kepergian suaminya itu. Tetapi usai pulang ke rumah, suasana yang sebelum ini tidak pernah dirasai menghiasi segenap jiwa. Lebih tenang dan memandangkan sebelum ini mereka tidak bernah berenggang, perpisahan sementara itu kembali memekarkan hubungan mereka. Rasa rindu kembali bertaut sekali gus lebih menghargai keberadaan masing-masing.
Cerita Nabil lagi, suatu hari ketika dia mahu membawa isteri dan anak-anak ke masjid tunaikan solat Subuh, AJK masjid tidak membenarkannya masuk. Hanya jawatankuasa masjid sahaja yang dibenarkan. Ujar Nabil, “Padan muka aku Ya Allah. Dulu masa masjid ni boleh masuk, aku tak pernah pun nak masuk bawa anak bini. Sekarang dah tak boleh masuk masjid. Padan muka aku Ya Allah,” terangnya seraya menangis.
Dan apabila ditanya Talib selaku moderator adakah Nabil akan meninggalkan dunia artis, dia menyifatkan ini akan menjadi tanggungjawabnya untuk teruskan dakwah dalam kalangan artis. Kerana cabang seni ini adalah antara lubuknya mencari rezeki. Selain memohon agar Allah ampunkan segala salah silapnya, bagi Nabil terlalu banyak kekhilafan yang dilakukannya dalam usaha menuntut ilmu dan mencari cinta-Nya. Moga apa yang dilakukan Nabil akan dipermudahkan dan dipayungi rahmat juga kasih sayang Allah. Syukur Allah ‘menarik’nya pada ketika usia masih muda, bertenaga dan belum terlewat untuk memulakan semula. Moga terus istiqamah Nabil, kami titipkan doa setulus ikhlas untuk anda dan keluarga.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live