Setelah selesai Misi Kemanusiaan Gaza dan di Egypt sebelum itu, delegasi rombongan akhirnya pulang semula ke kota Mesir. Mereka selamat tiba jam 10 malam di Hotel Staybridge Suites, Kaherah, Mesir. Bagi salah seorang sukarelawan Hamizey Ismail, “Kami dah anggap macam tanah air kami,” tuturnya singkat sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang mendoakan misi tersebut berjalan dengan lancar dan selamat. Bagi Mohd Tarmizi Mohd Nordin @ Sudin pula, “Kami pun dah rindukan anak-anak, emak ayah kami,” kongsinya ketika delegasi berada di dalam bas menuju ke Lapangan Terbang Kaherah. Dari Kaherah, penerbangan transit di Istanbul sebelum meneruskan perjalanan tiba di KLIA setelah 55 hari melaksanakan misi.

Kredit Foto: Astro Prima

Tiba di KLIA mereka terus dibawa oleh Pasukan NADMA ke Hotel Furama, Kuala Lumpur untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari. Setibanya di tanah air, mereka perlu melakukan swab test walaupun telah menjalani ujian saringan sama di Mesir bagi mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan KKM. Swab test pertama, syukur kesemua delegasi menunjukkan keputusan negatif. Sejak hari pertama hingga ke 10 juga hari terakhir kuarantin, kesemua mereka juga memperolehi keputusan negatif Covid-19 hasil daripada swab test yang dilakukan.

Kerja Dan Usaha Dakwah Tidak Berhenti
Kongsi Ustaz Ebit Lew, “Walau kita balik dari Gaza, kerja dakwah, kerja bantu orang ini takkan berhenti. Sampai bila? Sampai kita mati. Jadi bila kita berhenti hari yang kita doa dengan Allah ‘Ya Allah ambillah nyawa saya ketika mana Engkau sedang reda pada saya. Apa yang kita nak daripada semua ni? Cuma satu, kita nak Allah sayang kita. Itu beri harapan kepada semua orang dalam dunia, jangan mereka putus asa. Kepada pendosa, kepada yang rasa kurang, yang rasa hina bahawa Allah sayang dia. Kita nak beritahu kepada orang miskin, anak yatim, orang cacat, yang putus asa bahawa kita ada Tuhan yang sayang kita,” hurainya sebagai peringatan buat semua.

Kredit Foto: Astro Prima

Misi Bantuan Bendera Putih
Menurut salah seorang sukarelawan Pertubuhan Kasih Umat Malaysia, Kamariduan Mohd Nor pula, lebih kurang hari ketujuh dan lapan semasa delegasi ini berkuarantin, DM Ustaz Ebit Lew dipenuhi dari seluruh negeri memohon bantuan dan pertolongan pek makanan. Kongsi Ustaz Ebit, “Kita beli barang lebih kurang muatan 10 buah lori termasuk yang di KL dan mula edarkan ke seluruh Malaysia. Seorang lagi sukarelawan, Muhammad Amal Mukamil Abu Hasan pula berkongsi, “Saya diberi arahan daripada Ustaz supaya menghantar atau menyiapkan 200 pek makanan mewakili setiap negeri. Tapi saya hanya mewakili kawasan sekitar Lembah Klang sahaja. Memandangkan ramai yang kuarantin waktu tu, memang saya tak menang tangan. Saya panggil kawan-kawan dan team muda PKUM untuk bantu.” Hurainya terperinci. Antara yang disumbangkan team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia adalah barang keperluan asas seperti tepung, mee segera, susu, sardin dan sebagainya serta beras Faiza yang menaja.
Kredit Foto: Astro Prima


Misi Mengedar Bantuan Makanan Sekitar Selangor
Selain barisan sukarelawan muda Pertubuhan Kasih Umat Malaysia, turut membantu untuk mengedarkan makanan adalah rider yang melakukan servis penghantaran barang. Senarai nama mereka yang memerlukan diberi kepada rider untuk dihubungi lalu dihantarkan barang keperluan. Rider sendiri yang hubungi mereka untuk pengesahan alamat sebelum semua pek makanan diserahkan.

Bantuan di Kelantan
Menerusi khidmat sukarelawan di Kelantan, Raja Anita Raja Mukhtar bantuan terus disalur kepada yang memerlukan. Ada yang terputus bekalan makanan ekoran tidak dapat bekerja, suami ditimpa sakit serta pelbagai ujian dilalui.

Kredit Foto: Astro Prima

Ada yang terpaksa berkorban menjaga abang yang terlantar sakit, menjaga suami dan ujian lain. Kesusahan mereka turut menjadi perhatian Ustaz Ebit walau tidak mampu untuk turun ke lapangan menghulurkan sumbangan seperti kebiasaaan. Banyak atau sedikit, semuanya sama dirasai asbab tempias ujian ini. Doa dan ingatan dititipkan buat mereka juga kita semua yang diuji waktu ini.