Highlights

“Semestinya Akan Terkesan Tapi Kami Tak Boleh …” – Fiziwoo Luah Rasa Impak Covid-19 Terhadap Industri Fesyen.

gempak
Huda Hussain
01/04/2020
14:05 MYT
Sponsor Banner
“Semestinya Akan Terkesan Tapi Kami Tak Boleh …” – Fiziwoo Luah Rasa Impak Covid-19 Terhadap Industri Fesyen.
Jika mengikut perhitungan, dalam sela-sela masa ini banyak jenama dan label fesyen berlumba-lumba memperagakan koleksi raya masing-masing di sana sini. Variasi konsep, tema dan kreativiti dipamerkan untuk tatapan umum sekali gus melonjakkan kegirangan penggemar fesyen untuk membuat persiapan raya lebih awal. Rancak dan meriah hingga rambang mata mahu membuat pilihan. Tidak ketinggalan, ada yang mula membeli secara online kerana tidak mahu lepaskan peluang miliki koleksi ready-to-wear pereka fesyen kegemaran untuk dipakai di pagi raya. Namun, ironinya itu tidak berlaku ketika ini.
Sebaliknya hari yang bersilih ganti ketika ini dihantui kebimbangan dan kerisauan segenap lapisan masyarakat. Memikirkan pelbagai perkara dan cabaran mendatang. Dan impak Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan fasa selepas PKP turut dirasai oleh pemain industri kreatif antaranya pereka, jenama, label dan penggiat industri fesyen. Masakan tidak, industri fesyen turut menyumbang kepada ekonomi negara menerusi peluang pekerjaan ditawarkan yang secara tidak langsung meningkatkan produktiviti individu yang menceburi bidang ini. Sungguh, ia tidak mudah malah memberi cabaran tentang bagaimana mereka perlu kekal relevan dan bertahan dalam tempoh sukar ini. Namun demikian, segala kegusaran diketepikan seketika. Lantas kempen yang menggabungkan nama-nama besar pereka fesyen untuk memberi kesedaran agar menyokong industri kreatif digerakkan. InTrend berkesempatan mendapatkan pandangan dan komentar pereka fesyen Fiziwoo, Hafizi Radzi Woo dan Izree Kai Haffiz.
Kredit Foto: IG Fiziwoo
Boleh kongsikan dan jelaskan dengan terperinci mengenai #onepurchasemakesadifference #nobrandwillsurvivethisalone adakah ia sebuah kempen dari jenama Fiziwoo atau bagaimana? #onepurchasemakesadifference #nobrandswilsurvivethisalone merupakan kempen yang kami dipanggil untuk turut serta. Ia dimulakan oleh Jovian Mandagie dan kami merasakan ia adalah sangat penting sebagai pemain industri untuk sama-sama berganding bahu, bukan sahaja pereka fesyen tetapi juga kepada semua penggiat kreatif Malaysia dalam menjayakan kempen ini yang akan membantu industri kreatif Malaysia secara tidak langsung.
Mesej yang ingin disampaikan Fiziwoo mengapa kita perlu bersama dalam berhadapan dengan cabaran Covid-19 (daripada perspektif fesyen) Cabaran Covid-19 ini adalah tentang bagaimana kita saling berhubung dan menjaga satu sama lain. Seperti mana virus ini merentasi sempadan tanpa mengira siapapun kita, perbezaan etnik, kelas, bangsa, jantina dan lain-lain. Dan begitu jugalah kami perlu berkumpul sebagai membentuk satu penyatuan bagi menyokong sesama kita khususnya dalam berhadapan saat-saat getir ini. Pada ketika ini, kami sedia tahu ramai yang tidak berani ke tempat awam atau berinteraksi secara fizikal dimana sektor peruncitan amat terkesan. Jadi sebagai pereka fesyen yang menyediakan perkhidmatan retailing dan custom made, kami sentiasa harus mengeluarkan produk baru untuk memenuhi kehendak pelanggan. Walaupun dalam keadaan kritikal begini, kami harus sentiasa bergerak. Industri fesyen sangat fragile dan sentiasa berubah. Oleh itu kita harus menyokong dan mengangkat satu sama lain dengan memberi sokongan kepada artisans tempatan. Bagi kami di Fiziwoo, fashion is what brought us together and bonded us so that’s how it should be. The act of togetherness!
Kredit Foto: IG Fiziwoo
Belum sempat penggemar jenama FiziWoo melihat koleksi busana raya untuk tahun ini. Jadi, mungkin boleh kongsikan buat masa kini, apa perancangan kalian untuk promosikan koleksi busana raya? Sejujurnya ini adalah waktu yang amat sukar untuk promosikan koleksi kami. Akan tetapi bisnes harus berjalan seperti biasa dan ketika ini setiap daripada kita di seluruh dunia sedang menyesuaikan diri dengan corak gaya hidup sosial yang baru di Instagram, Facebook, Twitter dan lain-lain. Oleh itu, salah satu perancangan kami adalah pengurusan media sosial yang memberi impak untuk menguar-uarkan dan menghasilkan idea kreatif baru. Semua ini dilakukan untuk memasarkan koleksi busana raya kami iaitu melalui platform media sosial dan pemasaran digital dalam talian seperti menerusi laman web. Perancangan promosi amat terhad, akan tetapi kami percaya platform media sosial di Malaysia ini cukup kuat.
Kita semua terkesan dengan pandemik Covid-19 yang pastinya akan berlarutan impaknya dalam jangka masa panjang. Bagi Fiziwoo sendiri, mungkin boleh kongsikan apa antara langkah yang diambil untuk ‘sustain’ dalam tempoh ini? Pada pendapat kami, semua usahawan sedang menghadapi masalah dan impak yang sama. Semasa krisis kewangan misalnya, peranan kerajaan dan penglibatan perniagaan seiring untuk melakukan apa yang diperlukan. Dalam tempoh ini, gunakan penyelesaian alternatif untuk mengekalkan operasi harian dan melaksanakan peningkatan teknologi untuk memastikan komunikasi sentiasa berjalan antara kami dan pelanggan. We have to sustain minimally. Kemungkinan besar kami akan berbalik kepada core bisnes kami untuk reset our aim.
Pandangan tentang nasib industri fesyen beberapa bulan akan datang. Terkesan atau tidak dan bagaimana untuk survive? Semestinya akan terkesan tetapi kami tidak boleh berputus asa untuk tawarkan dan berikan yang terbaik kepada pelanggan kami. Kalau boleh diumpamakan, fesyen adalah seperti perasaan; walaupun anda cuba, anda tidak boleh menghentikannya. Tubuh anda secara fizikal mungkin dalam kuarantin, tetapi idea kreatif anda tidak. It has to keep flowing and get back up once this is over. Take one day at a time and keep moving.
Kredit Foto: InTrend Malaysia
Dengan cara bagaimana penggemar fesyen boleh membantu untuk memberi sokongan dalam situasi sukar ini? Dan bagaimana pula industri fesyen boleh membantu negara? Kepada penggemar fesyen, mereka boleh membantu dengan memberi sokongan bukan sahaja dari pembelian tetapi juga sokongan moral kepada industri fesyen. Terus menyokong industri fesyen lokal dan insya-Allah apa yang kita lakukan, bisnes yang diusahakan akan kembali pulih seperti sedia kala. Slowly but surely.
Ada atau tidak kemukakan petisyen, rayuan atau permohonan bantuan kepada kerajaan untuk membantu industri fesyen? Buat masa sekarang platform yang kita gunakan adalah melalui media sosial sahaja. Pertamanya sebab kami faham dengan situasi sekarang, kerajaan sedang cuba sedaya upaya dan sibuk untuk membasmi kes Covid-19. Lantaran itu, pihak kerajaan mempunyai keutamaan lain yang lebih penting. Oleh itu buat masa ini, kita perlu berkorban sedikit. Salah satu langkah supaya suara industri fesyen boleh didengar adalah dengan mewujudkan kempen ini. Untuk memberi kesedaran supaya industri ini jangan terkubur kerana pandemik ini. Namun begitu, jika keadaan ini berlarutan dan tiada perubahan yang lebih baik dalam masa tiga hingga enam bulan, mungkin kami akan mula mencari inisiatif atau alternatif lain untuk terus bertahan.
Harapan dan mungkin ‘positive vibes’ yang ingin dikongsikan kepada semua penggemar fesyen dan masyarakat Malaysia amnya? Sokonglah industri kreatif Malaysia. Pembelian kecil yang anda buat hari ini atau esok memberikan kami harapan untuk meneruskan perniagaan kami dan boleh menyelamatkan seseorang daripada kehilangan pekerjaan mereka. Sokongan anda bukan untuk perniagaan kami semata-mata, tetapi ia adalah untuk semua komuniti dalam cabang perniagaan ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live