Anak tanpa mengira jantina, adalah anugerah dan rezeki daripada Allah sekali gus menjadi harta kita untuk dunia dan akhirat. Lebih-lebih lagi sekiranya kita berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Tetapi menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita apabila melihat senario seperti ini berlaku. Pertama jika dilihat ada saudara-mara atau sahabat handai yang punya anak lelaki kesemuanya. Lalu ditanya, “Muda lagi, boleh cuba mana tau dapat anak perempuan lepas ni?”. Atau mungkin jika si fulan dianugerahkan anak perempuan kesemuanya, lalu disoal “Tak teringin nak tambah lagi ke? Mana lah tahu ada rezeki dapat anak perempuan,”.

Dan dalam hati atau fikiran pasti terdetik, bagaikan ada saja yang tidak kena. “Menyibuk saja diaorang ni. Apa salahnya kalau semua anak perempuan? Ingat senang ke nak jaga anak zaman sekarang ni?”. Ya, itu adalah andaian singkat bagi mereka yang dianugerahkan Allah dengan zuriat sama jantina kesemuanya. Tetapi berpegang teguhlah kepada hadis ini.

Kredit Foto: Google

Ada Hikmahnya Dikurniakan Anak Perempuan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan karenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-Nya untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Sabda Baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w menjawab, “Juga untuk seorang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim).

Bahkan terdapat juga hadis yang menceritakan bersamanya tentang kelebihan memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi).

Kredit Foto: Google

Didikan Paling Penting
Ibu bapa yang dikurniakan anak perempuan kesemuanya tidak perlu khuatir bahkan perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allah rezekikan kalian menimang cahaya mata. Berbanding dengan ramai lagi pasangan suami isteri di luar sana yang diuji Allah belum dianugerahkan zuriat sekalipun. Juga tidak kurang ada yang diduga dengan anak yang menderita akibat penyakit dan sebagainya. Justeru itu pertamanya perlu bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan untuk kalian.

Kedua adalah didikan dan asuhan. Asas agama yang kukuh perlu dijadikan benteng dalam jiwa anak-anak kita. Perempuan itu lembut sifatnya, merajuk lumrahnya, sensitif kebiasaannya. Tetapi itu tidak menjadi alasan atau halangan untuk kita kobarkan jiwa mereka agar tidak mudah putus asa, kental nalurinya dan kuat mentalnya mendepani apa yang mendatang. Tidak mudah tunduk dengan bisikan syaitan umpamanya perlu mula diasuh sejak kecil lagi. Bagaimana perlu difahamkan mengapa menutup aurat itu menjadi kewajipan bagi kaum perempuan perlu ditekankan agar minda mereka jelas tentang perihal ini. Tentang menjaga kehormatan dan maruah itu hendaklah menjadi pegangan walau ke mana mereka pergi atau sejauh mana sekalipun mereka berada amat dituntut.

Sungguh, tidak mudah dan mencabar untuk membesarkan anak perempuan. Namun demikian untuk menentukan jantina anak bukan kuasa kita kerana ia telah ditentukan Allah SWT. Kita hanya mampu berdoa mahu anak lelaki atau perempuan. Bagi sesiapa saja yang mempunyai anak, yang pentingnya ialah zuriat yang soleh-solehah ini bisa menjadi penyejuk mata penyeri hidup di dunia ini. Dan menjadi amalan berterusan yang menambahkan pahala setelah kita mati nanti Insya-Allah.