Berpantang selepas bersalin, masih ramai lagi generasi muda era kini yang berpegang kepada amalan ini. Sama ada mengikut cara moden ataupun mengekalkan prinsip berpantang secara tradisional, banyak pakej dan agensi yang menjadikannya sebagai sumber perniagaan. Lebih-lebih lagi buat wanita yang tinggal di ibu kota. Banyak faktor perlu diambil kira.


Kalau dahulu menjadi kelaziman berpantang di kampung usai melahirkan bayi, tetapi kini ada yang berhadapan dengan pelbagai masalah. Paling ketara adalah faktor usia dan kesihatan ibu atau ibu mentua yang tidak lagi kuat dan sihat seperti dahulu. Maklum sajalah, kederat emak-emak kita, sudah pasti takkan sama dan bertenaga sepanjang masa.

Kredit Foto: IG Sari Yanti

Selain itu, ia juga terdorong kerana sebab musabab anak sulung yang sudah mula bersekolah. Maka si ibu perlu mencari alternatif lain untuk menjaga anak dan dalam masa sama berpantang. Sama ada berpantang sendiri dengan bantuan suami ataupun memilih pelbagai pakej rawatan berpantang untuk ibu selepas bersalin yang banyak ditawarkan di media sosial. Beruntunglah kalau suami sudi ambil berat dan mahu bantu isteri berpantang kerana soal berpantang ini tidak boleh diambil ringan. Kerana ia memberi kesan kepada kesihatan dalaman ibu dan juga mempengaruhi emosi dalam masa yang sama.

Kredit Foto: Google

Beza Berpantang Zaman Dahulu

Tidak seperti zaman emak-emak kita dahulu. Bidan kampung yang tersohor boleh ditempah perkhidmatannya kerana sudah mengenali antara satu sama lain. Dipercayai khidmatnya kerana ramai yang sudah mencuba dan terbukti keberkesanannya. Berurut, bertangas, bertunku dan sebagainya memerlukan seseorang yang arif mengendalikannya. Dan ia perlu melalui satu tempoh atau diwarisi oleh mereka yang benar-benar berpengalaman.

Kredit Foto: Google

Seperkara lagi, zaman dahulu juga mudah untuk mencari dan mendapatkan bekalan atau sumber bahan yang diperlukan untuk berpantang. Daun-daun herba, akar kayu untuk dijadikan minuman, pucuk itu dan ini, batu sungai umpamanya sememangnya mudah diperoleh terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan perkampungan. Ia hanya berada disekitar kawasan rumah yang mudah didapati. Tetapi berbeza kini, ia lebih terhad dan tidak kurang juga ada yang sukar diperolehi.


Kini, Semua Di Hujung Jari

Bagi wanita era kini yang masih berpegang dan mempercayai amalan berpantang jauh lebih mudah untuk membuat pilihan. Mungkin sukar untuk mencari makcik urut yang datang rumah ke rumah. Tetapi kini tidak lagi. Tinggal di bandar-bandar besar misalnya, banyak alternatif boleh dipertimbangkan. Sesetengah perkhidmatan atau pakej berpantang kini menawarkan pilihan sama ada berpantang di tempat yang disediakan khas atau boleh juga mencuba perkhidmatan confinement lady tinggal bersama keluarga untuk pilihan tempoh tertentu. Malah ada juga yang datang mengikut waktu atau durasi mengikut pakej yang ditempah.

Kredit Foto: IG Inai Confinement

Pendek kata, semuanya jauh lebih mudah. Ibu-ibu tidak perlu pening kepala mencari makcik untuk berurut. Kerana lazimnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap entiti berpantang hampir sama. Antaranya bagi ibu, apa yang ditawarkan adalah urutan badan, mandi herba, bertangas, tungku, param dan pilis, memakaikan bengkung, memasak, mengemas rumah basic, mencuci baju ibu dan bayi.


Manakala bagi bayi pula, ada yang memberikan khidmat memandikan bayi, tungku, urutan, cuci pusat selain lulur, rendaman faraj dan mencuci rambut bagi ibu. Harga pula bergantung kepada setiap pakej yang dipilih.

Kredit Foto: Facebook

Mengapa Mahal Harganya?

Kebanyakan agensi berpantang menawarkan khidmat confinement lady terlatih. Malah kebanyakannya terdiri daripada orang kita yang berpengalaman luas dalam menjaga kesihatan ibu-ibu selepas bersalin. Dek kerana terlatih dan profesional, maka sudah pastilah harganya bukan calang-calang. Banyak faktor perlu diambil kira dari aspek logistik selain kepakaran dan kemahiran yang dilengkapi bagi setiap confinement lady.


Maklum sajalah, kos bahan dan perkhidmatan mereka juga tidak murah dan mudah dilakukan. Semuanya memerlukan kudrat dan tenaga serta dalam masa sama, mereka juga perlu sentiasa sihat untuk menjaga kebajikan ibu-ibu yang sedang dalam tempoh berpantang. Lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu yang memilih pakej memasak untuk ibu berpantang. Sudah pasti ada harga yang perlu dibayar untuk mereka menyediakan bahan-bahan mentah dan memasak. Maklum sajalah, barang-barang semua sekarang ‘boleh tahan’ harganya.

Kredit Foto: Facebook

Jadi buat ibu-ibu yang mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat agensi berpantang, pastikan membuat persediaan dan persiapan lebih awal. Misalnya, tetapkan peruntukkan atau bajet tertentu jika mahu memilih pakej berpantang yang disediakan. Pilihan di tangan kita kan? Luangkan sedikit masa dan selidiki terlebih dahulu agensi mana yang sesuai dan bertepatan dengan bajet anda. Jika bukan soal wang yang menjadi ukuran, maka luangkan masa untuk membaca testimoni daripada pelanggan-pelanggan sebelumnya untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan kesukaran. Bincang terlebih dahulu dengan suami. Kerana soal kesihatan tiada nilai mutlak atau ukuran spesifik. Bak kata orang, ‘badan nak pakai lama’ jadi perlulah sesekali dapatkan ‘servis’ terbaik. Tak gitu ibu-ibu?