Penulis tidak berkesempatan melihat siaran langsung pertandingan berprestij itu tempoh hari. Namun, sebaik membelek laman sosial dan terlalu gambar Naim Daniel dengan solekan tersebut, sangka penulis ia benar-benar sebuah potret. Berkali-kali penulis merenung imejan tersebut.

Terkesima dengan efeknya. Sangat bagus dan hampir sempurna semuanya. Melihat pula siapa pemilik hasil solekan tersebut, ia dimuatnaik oleh Daniey Junaedy. Namanya sebagai jurusolek mungkin tidak segah ‘jurusolek Instagram’ yang lain tetapi tidak sangka, beliau punya hasil karya yang ‘super’.

Bertanya saya kepadanya bagaimana hasil kerjasama ini tercetus? Cerita Daniey, ia bermula daripada sahabatnya yang juga Pengarah Kreatif untuk persembahan Naim Daniel ini iaitu, Shaffiq Erwin pemilik Sevoce Studio yang memperkenalkan beliau kepada penyanyi bersuara emas ini.

“Saya mengenali Shaffiq sejak zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi. Kemudian, kami sama-sama mengajar vokal dan kebetulan Naim mendapat tunjuk ajar daripada beliau. Saya mengenali Naim ketika kelasnya bersama Shaffiq. Dan, dari situlah, Syafiq menawarkan saya untuk merealisasikan solekan efek ini kerana dia juga tahu yang saya ada membuat kerja solekan juga.”




Kredit Foto: Daniey Junaedy



Bagaimana dan siapa yang menerajui konsep asal solekan ini?

Ia bermula dengan konsep Pengarah Kreatifnya sendiri yang datang kepada saya dengan idea grayscale makeup. Ia kemudian dicambahkan dengan idea saya dan Naim juga. Kita duduk bersama berbincang berkali-kali sejak tiga bulan lalu. Memang banyak research yang saya lakukan bagi memastikan solekan ini mampu memberi efek yang dibayangkan di atas pentas.



Bagaimana ia dijayakan dengan begitu efektif?

Daripada konsep grayscale makeup itu tadi yang menggunakan hitam dan putih sebagai tunjang utama, kita inovasikan pula menjadi comic makeup. Naim memberitahu yang dia mahu imejnya di atas pentas nanti mempunyai kesinambungan daripada look Naim ketika dalam klip videonya yang dulu. Tugasan saya adalah merealisasikan look dalam klip video itu dibawakan ke pentas dengan sedikit penambah baikkan dan pastikan ia menjadi pada setiap sisi mata yang memandang.



Kredit Foto: Daniey Junaedy



Sukarkah untuk merealisasikannya?

Jujurnya, memang susah kerana saya sendiri tidak punya pengalaman yang banyak dalam solekan efek atau body paint mahupun mekap eksperimental seperti ini. Saya berterima kasih kepada Jurusolek Senior, Eva Shahrul yang diketahui memang sudah biasa dengan solekan sebegini. Jadi, saya meminta beliau untuk menjadi co-makeup artist pada hari tersebut. Eva banyak memberikan tips dan menerangkan produk yang bagus untuk digunakan. Saya juga bertanyakan pendapat teman jurusolek lain selain banyak menonton klip video Naim dan yang berkaitan di Youtube.



Berapa lama untuk merelisasikannya?

Saya melakukan uji kaji untuk solekan ini sebanyak tiga kali dalam masa tiga bulan ini. Kali pertama menggunakan wajah saya sendiri mengambil masa satu jam dan 30 minit. Kemudian, menggunakan model lain, mengambil masa satu jam dan 20 minit. Dan, untuk makeup trial pada wajah Naim memakan masa satu jam dan 10 minit. Pada hari pertandingan, siap keseluruhan mekap ialah satu jam 30 minit. Agak lama kerana saya tidak mahu melakukannya dalam keadaan stres, saya mahu Naim berada dalam keadaan selesa. Setelah siap mekap, Naim disiapkan pula oleh team Hatta Dolmat. Saya rasakan, kejayaan ini bukan tentang solekan saya sahaja, ia merangkumi the whole look termasuklah baju dan kasutnya.




Kredit Foto: Daniey Junaedy




Apakah produk yang digunakan?

Rata-rata memuji solekan tersebut, apa perasaan Daniey?

Pada permulaannya, saya memang gementar dan hampir saja saya berkata tidak. Namun, galakan daripada Shaffiq sendiri menguatkan semangat saya. Semakin dekat harinya, saya semakin tenang dan harus berasakan ia bukanlah masalah besar. Syukurlah, ramai yang memuji terutamanya daripada jurusolek senior, netizen dan teman-teman. Namun, ia bukan bermakna solekan itu sudah sempurna. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki seperti colour palette, pembacaan warna kulit Naim dan sebagainya.



Dan, bagaimana perasaan selepas tamat tugasan berat itu?

Rasanya seperti cepatnya masa berlalu, rasa sekejap saja siap tugasan saya itu. Sebaik siap solekan itu, saya terus bertanyakan kepada Naim, “Jadi ke solekan ini?”Jawab Naim, “Jadi!” Membuatkan saya lega. Tambah Naim lagi, solekan itu membantu menyampaikan mesej lagu tersebut dengan lebih baik tanpa dia perlu beria-ia menonjolkan mimik wajahnya sendiri. Saya rasa berbesar hati dapat bekerja dengan Naim dan team yang lainnya.



Kredit Foto: Daniey Junaedy