gaya hidup
Siapa Cakap ‘Tailong’ Tak Pandai Masak? Sekali Masuk Dapur, Kari Kepala Ikan Merah Dia Bagi. Merecik Habis!
Jarang sekali kita lihat di skrin televisyen Datuk Rosyam Nor tampil bersama anak-anak kan? Istimewa untuk episod 16 Rasa Nostalgia Ramadan, Datuk Rosyam Nor ditemani anak keduanya, Anis bakal membawa penonton menelusuri nostalgia menu yang dihidangkan untuk tatapan semua.
Menariknya episod kali ini juga, Imam Muda Asyraf tampil sebagai cameo yang melengkapkan lagi sketsa dua beranak ini. Wah, imam pun boleh tahan juga aksi lakonannya. Selamba dan bersaja walaupun ada sesekali cuba menahan ketawa. Sementelahan adanya imam sebagai cameo, maka sudah tentulah ada pengisiannya yang mahu disampaikan untuk pengetahuan penonton.
Soal Anis, jika seseorang itu susah lalu meminjam wang daripada kawannya dan dengan duit itu digunakan untuk membayar zakat, apakah ia dibolehkan atau tidak? Jawab Imam Muda Asyraf yang memegang watak sebagai Rahim Tiger, “Kalau dia susah, dia tak perlu bayar zakat kerana dia seorang asnaf. Tapi kena tengok susah itu susah yang bagaimana. Sebab itu dalam negeri ada had kifayah. Contohnya kalau seseorang itu tinggal di Kula Lumpur, tapi gaji RM2,500, ada anak yang bersekolah dan anak OKU, isteri pula tak kerja, jadi anda layak menerima zakat kerana tak mampu,” jawab Imam Asyraf dengan huraiannya panjang lebar.
Nostalgia Di Sebalik Kari Kepala Ikan Merah Dan Sambutan Ramadan
Tidak kekok beraksi didapur, rupanya sejak dibangku sekolah lagi Datuk Rosyam sudah mula serasi memegang senduk dan kuali. Dibesarkan dalam keluarga yang terdiri daripada anak lelaki kesemuanya, maka tidak hairanlah mengapa Datuk Rosyam punya bakat dalam memasak.
Ujar anaknya Anis, papanya handal memasak kari dan asam pedas. Dan bakat memasak itu hadir secara tidak sengaja tanpa dipaksa. “Dari umur papa 13 tahun sampai 17 tahun papa yang masak. Tiap-tiap hari memang makan masakan papa. Sebab nenek kerja. Dan nostalgianya kari kepala ikan merah ni, dulu kalau nak beli di kedai mahal. Seekor kepala ikan boleh cecah RM100. Jadi bila ada duit sikit barulah beli bahan-bahan dan masak sendiri,” kongsi Datuk Rosyam Nor lagi.
Melihatkan warna dan tekstur Kari Kepala Ikan Merah air tangan Datuk Rosyam Nor ini bikin kecur liur pun ada juga. Seperti emak dan nenek kita dahulu yang cuma mengagak sahaja memasak, tiada sukatan khusus. Tahu-tahu, habis sudah lauk pauk yang dimasak, tersandar kekenyangan usai berkali-kali tambah nasi. Itulah istimewanya sentuhan air tangan orang tua, yang lebih makan garam daripada kita.
Dalam pada itu, dua beranak ini turut berkongsi kenangan ketika menyambut Ramadan. Bagi Anis sendiri, kenangan menyambut bulan mulia ini semasa kecil meninggalkan 1001 memori yang sentiasa terpahat dihati. “Masa dulu berbuka puasa ramai-ramai kat rumah nenek sempit pun tak apa. Duduk bersila atas lantai, makan itu yang buatkan rasa best sangat. Lagi satu dulu papa selalu pastikan kita akan berbuka di rumah nenek Subang dan nenek di Pantai,” ujarnya singkat.
Mementingkan ikatan kekeluargaan dan silaturahim, bagi Datuk Rosyam Nor sememangnya ia dijadikan sebagai budaya dalam keluarganya. Sejak anak-anak kecil lagi, dia akan membawa seisi keluarga menziarahi rumah saudara-mara kerana itulah yang diajarkan orang tuanya.
Mango Sago
Usai Datuk Rosyam memasak Kari Kepala Ikan Merah, giliran Anis pula menyediakan juadah pemanis mulut sebagai pelengkap hidangan berbuka puasa. Kisahnya, sejak kecil lagi dia menggemari sagu mangga yang dijual di kantin sekolah. Dan resipi ini diolah mengikut cita rasanya tersendiri istimewa untuk penonton Rasa Nostalgia Raya.
Jangan ketinggalan menonton Rasa Nostalgia Ramadan yang dibawakan khas oleh LG bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, 7.00 malam di Astro Prima.
Must-Watch Video