Ikan di laut, asam di darat dalam kuali bertemu juga – Antara pepatah Melayu yang cukup sinonim menggambarkan tentang soal jodoh. Itulah dia antara ketentuan-Nya nan satu ini. Kalau dah jodoh tak ke mana juga antara yang sering kita dengar apabila berbicara soal ini. Dan penulis yakin pasti semua maklum mengenainya. Kerana bahawasanya soal jodoh, ajal, maut dan rezeki bukan dalam genggaman tangan kita. Semuanya dalam genggaman-Nya lalu dilepaskan pada saat dan waktu yang tepat untuk setiap hamba-Nya.
Semua itu telah tertulis sejak azali lagi, atau yang sering kita baca telah tersurat di loh mahfuz. Yakni satu ketetapan yang telah Allah takdirkan dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kuasa dan izin-Nya untuk menidakkannya.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya siapakah agaknya yang sudah ditakdirkan sebagai jodoh kita. Ada yang berkelana membawa diri nun di negara orang tetapi pulang ke tanah air tetap bertemu jodoh dengan orang disini. Ada juga yang ‘bercinta bagai nak rak’ tetapi tetap tak berpanjangan hingga ke jinjang pelamin. Tak kurang juga ada yang baru sebulan dua berkenal sapa, tetapi apabila dirasakan itulah orangnya maka bersatulah dua jiwa dengan ikatan yang sah disisi agama. Lalu bagaimana nak tahu bahawa si dialah orangnya?
Kredit Foto: Google
  1. Memiliki Keimanan Serta Sifat yang Hampir Sama
Ketika seseorang bertemu dengan orang yang memiliki tingkat keimanan serta sifat yang hampir sama, bisa jadi ia adalah petanda dari Allah bahawa orang yang ditemui itu adalah jodohnya. Seperti yang terkandung dalam Surah An-Nuur ayat 26 yang antara lain membawa maksud bahawa wanita yang baik maka akan dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik.
  1. Jiwa Terasa Tenang dan Tenteram
Ketika berinteraksi dan berkomunikasi, akan ada satu perasaan yang tenang lagi nyaman saat mendengar si dia melontarkan kata-kata dan buah fikirnya. Bisa jadi apa yang terungkap dibibirnya cukup memberi inspirasi sekali gus mendamaikan hati. Bahkan saat dilanda masalah dan kepadanya kita mengadu, meluahkan perasaan terasa lega dan hilang segala gundah.
  1. Berterus Terang dan Jujur
Walaupun apa yang diluahnya itu adalah satu kenyataan yang pahit untuk ditelan, tetapi dek kerana sifatnya yang berani berterus terang dan jujur; maka usah sia-siakannya. Kerana sikap berterus terang dan jujur itu amat perlu sebagai asas mendalami ilmu rumahtangga.

Kredit Foto: Google
  1. Restu Keluarga
Doa dan restu keluarga juga memainkan peranan yang penting. Lebih-lebih lagi ibu bap akita yang terlebih dahulu makan garam. Sekilas di pandangan mereka, pasti sudah mampu menebak bagaimana sifat dan keperibadian si dia. Yang mana elok pada pandangan mata, tutur kata dan butir bicara yang bisa mengemudi dan menentukan sejauh mana sesuatu perhubungan itu mampu dilanjutkan.

Buat yang masih belum bertemu jodohnya, banyakkan bersabar dan memanjatkan doa. Pohon pada-Nya agar perjalanan kalian untuk mengakhiri ikatan sah disisi agama dipermudahkan. Ujian itu ada kalanya mahu menduga sejauh mana kuatnya sabar kita. Justeru, jangan pernah jemu dan berputus asa. Ikhtiar selagi terdaya, selebihnya serahkan saja pada Yang Maha Esa kerana Dialah penentu segalanya.