gaya hidup
“Siapa Yang Buat Baik Dengan Mak Ayah, Tuhan Bayar ‘Cash’. Ingat Tu,” – Ustaz Abdullah Khairi
Keberkatan hidup kita sebagai manusia juga sebagai anak tergantung kepada banyak perkara. Antaranya adalah kerana makbulnya doa kedua ibu bapa (selagi hayat mereka masih ada). Lantaran itu, kita selalu mendengar peringatan demi peringatan tentang mengapa pentingnya berbuat baik kepada ibu bapa.
Menerusi salah satu ceramah Ustaz Abdullah Khairi yang dimuat naik di Instagram Ceramah Ustaz Ustazah dan membuatkan penulis terpanggil untuk berkongsi adalah tentang pentingnya pemahaman amalan ini.
Kata Ustaz Abdullah Khairi, “Siapa yang buat baik dengan emak ayah, Tuhan bayar ‘cash’” ujarnya sebagai mukadimah. Lalu ia membawa kepada kisah yang diceritakan oleh seorang agamawan, Ustaz Zulkifli yang dipetik Ustaz Abullah. Kongsinya lagi, “Ustaz Zulkifli cerita ada seorang lelaki datang kepadanya. Katanya, Ustaz saya ada empat orang anak. Anak saya, saya didik dengan agama tapi anak saya, hormat saya pun tidak. Anak saya cium tangan saya pun tak. Makan sekali pun tak. Ustaz, apa salah saya Ustaz? Sedangkan saya ada emak, saya hormat emak saya. Saya minta maaf dengan emak saya. Emak saya selalu sebut aku maafkan kamu. Saya selalu cium tangan emak saya tapi kenapa anak saya tak cium tangan saya?
Kredit Video: IG Ceramah Ustaz Ustazah
Jawab Ustaz itu, cuba fikir. Dan lelaki ini pun balik ke rumah dan renung semula seraya berdoa, ‘Ya Allah, apa salah aku Ya Allah dengan emak aku Ya Allah?’ Selepas difikir, rupanya lelaki ini ada dosa dengan emaknya. Dan Ustaz Abdullah mengingatkan, “Abang siapa sini kalau ada anak, anak tak hormat dia, cuba renung dosa kita dengan emak ayah kita. Mungkin Tuhan bayar ‘cash’. Renung balik masa hidup muda kita. Dan lepas diingat semula, rupanya dia ada dosa dengan emak. Esoknya terus pergi rumah emak. Bawa anak dan duduk dihadapan emak. Katanya, “Emak, kalau saya ada dosa dengan mak, maafkan saya mak.” “Kamu ni tiap-tiap minggu balik, minta maaf macam ni. Mak ampunkan dah.” Kata si emak.
Advertisement
Melanjutkan bicara, si ayah ini lantas berkata “Mak ingat tak masa umur saya 17 tahun. Saya pernah kata dekat mak… Mak orang tua tak ada otak. Mak, maafkan saya mak,” pinta si anak tadi lalu terus berubah wajah si emak. Balas emaknya pula; “Dosa kamu aku ampun. Tapi dosa kamu mengata aku orang tua tak ada otak, aku simpan dalam hati. Aku takkan ampun dosa kamu sampai mati. Tergamak kamu kata aku orang tua tak ada otak? Sedangkan aku yang lahirkan kamu. Aku suap makanan ke mulut kamu. Aku membesarkan kamu dan kamu kata aku orang tua tak ada otak? Aku simpan yang ni sampai mati, aku tak ampun.” Jawab si emak tadi.
Kredit Foto: Google
Rupanya itulah dosanya yang tak diampunkan emaknya selama ini. Dipegang tangan si emak lalu berkata, “Mak, maafkan saya mak…” dan si emak masih bertegas “Aku takkan ampun sampai aku mati. Aku dah tanam, dah simpan dah” berkeras si emak tak mahu ampunkan dosa anaknya. Lalu si anak ini meletakkan tangannya dikaki emaknya. Ditundukkan kepala sambil merayu sekali lagi, “Mak… Maafkan saya mak…” disertai dengan tangisan sedu-sedan, teresak-esak dan bersungguh-sungguh dia menangis menyesali perbuatannya yang lalu.
Dan si emak memegang bahu anaknya tadi lalu berkata, “Emak mana yang tak sayangkan anak? Oleh kerana kamu minta maaf sungguh-sungguh, wahai anakku hari ini aku maafkan kamu.
Mendengarkan kata-kata emaknya tadi, lalu diangkat kepalanya dan berkata, “Ya Allah saya nampak dunia ni luas. Lapang dan seluas-luasnya,” kata si anak tadi lantas dipeluk erat tubuh emaknya. Dipeluk dan dicium tangan emak semahunya. Dan empat orang anaknya terus meluru kepadanya. Anak-anak ini terus memegang tangan lalu mencium tangan ayah mereka. “Ayah kalau kami ada dosa dengan ayah, maafkan kami ayah,” dan bercucuran tangisan anak beranak ini.
Kredit Foto: Google
Justeru ingatlah, andai kita ada dosa dengan emak ayah dan anak-anak kita juga tidak menghormati kita; renung kembali. Cari di mana salah dan silap kita dengan emak ayah kita. Dan ingatlah juga segala keberkatan yang kita kecapi selain keberkatan-Nya, ia bisa terjadi kerana makbulnya doa kedua ibu bapa kita. Doa ibu terutamanya yang tiada hijabnya. Mohonlah kemaafan daripadanya. Moga berkat dan nikmat hidup kita seisi keluarga.
Must-Watch Video