Highlights
SUAMI ISTERI – Acuan Bahagia Kalian Yang Cipta. Selagi Serasi Dan Setia, Teruskan Saja.
Pada hemat Raden, faktor cuaca juga memainkan peranan dalam mencorak keberlangsungan hari yang akan Raden lalui. Yalah, jika hujan sepanjang hari pasti diulit rasa malas berpanjangan. Malas mandi, malas mahu melakukan kerja-kerja rumah dan macam-macam lagilah! Namun memikirkan janji dengan Ratna untuk menemani Dewi menyiapkan tender dan tugasan lain di pejabatnya, memecah rasa malas. Benarlah kata-kata suatu ketika dahulu yang sudah tersemat rapi dalam benak fikiran Raden. Kata Umi, “Jangan dilayan rasa malas. Jangan salahkan orang atau cuaca atau apa jua perkara sekalipun kerana mala situ datangnya daripada dalaman kamu. Jika diikutkan rasa malas pasti tidak menjadi segala kerja” ujarnya seakan baru semalam Umi berleter panjang. Lantas dalam kesejukan pagi, Raden gagahkan jua mandi air yang sejuk persis air terjun. Usai mandi, Raden bersarapan ala kadar. Mengambil biskut dan cicah dengan kopi panas. Cukup sekadar buat alas perut kerana tengah hari nanti akan melantak pula dengan kedua-dua kakak Raden itu.
Raden tidak memandu kerana Ratna menjemput di rumah. Lantas kami menuju ke pejabat Dewi. Sunyi sepi pejabat pagi Sabtu itu kerana hanya Kamal dan Julia sahaja yang datang. Sudah menjadi lumrah bagi kami membantu Dewi menyiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk menyiapkan tender projek. Bantu sekadar yang mampu dan tahu, itu sahaja yang bisa Raden lakukan. Masing-masing bertungkus-lumus menyemak satu persatu dan itu ini. Raden sifatkan Dewi sebagai seorang wanita yang sungguh komited dengan kerjayanya. Majikan yang bertimbang rasa namun dalam masa sama seorang yang tegas apabila bekerja. Kami hanya berhenti seketika untuk makan kemudian kembali menyambung tugasan. Syukur kerana semuanya selesai tepat jam 8 malam. Selepas Kamal dan Julia meminta izin untuk pulang, kami bertiga turun bersama dan lepak sebentar di kafe berhadapan pejabat Dewi.
Kredit Foto: Google
Usai memesan makanan dan minuman, Raden terpandang kelibat sepasang suami isteri yang duduk bersebelahan dengan meja dengan kami. Inai masih merah di jari jemari si isteri itu. Oh, pengantin baru rupanya, bisik hati Raden. Saat mata si isteri terarah pada Raden, sempat Raden membalas senyuman seraya si isteri turut tersenyum. Itu cara mudah untuk menegur orang yang tidak kita kenali. Yalah, senyum kan satu sedekah. Sekali-sekala Raden menyampuk apa yang menjadi bualan Dewi dan Ratna. Dan tidak lama kemudian, tiba pelayan membawa makanan yang dipesan. Baru memegang camca dan garfu, tersentak hati Raden mendengar amukan seorang wanita yang tiba-tiba datang sambil menjerit dan terpekik-pekik seraya memaki hamun. “Ah, potong mood aku nak makan” kata Dewi dengan nada perlahan. Begitu juga dengan Ratna. Masing-masing menunjukkan reaksi tidak selesa dengan perlakuan kurang sopan wanita itu.
Rupanya wanita itu meluru ke meja sebelah kami. Disimbahnya air hingga percikan air tersebut terkena Raden. “Oh, ini rupanya kerja over time kau. Bercinta dengan perempuan lain belakang aku. Dasar lelaki hidung belang! Sia-sia aku setia, dengar cakap kau selama ini. Ni yang balas! Depan mata aku kau tipu aku hidup-hidup. Pergi mampuslah kau!” begitu sekali wanita itu meluahkan amarahnya. Dewi pula tidak mahu mengalihkan pandangannya untuk menonton drama sebabak itu. “Kalau ya pun, cover sikit Dewi. Nanti tak pasal-pasal dia serang kau,” ujar Ratna mengingatkan Dewi. “Eh, benda macam ni jarang terjadi depan mata. Kenalah tengok. Selalu dalam drama di televisyen aje. Macam ni rupanya si laki ‘kantoi’ dengan bini. Fuh menarik juga,” ujar Dewi teruja. Pelanggan lain yang berada di kafe turut seakan tergamam seketika melihat insiden itu. Tidak kurang ada yang cuba mencuri-curi merakam aksi wanita yang menyinga itu. Reaksi si suami yang tadinya gembira dan teruja bertukar menjadi lipas kudung. Serba-serbi tidak kena. Si isteri begitu juga. ‘Baru tadi aku puji pengantin baru, sudahnya haru dibuatnya’ desis hati kecil Raden. Wanita yang menyinga itu berlalu pergi meninggalkan suaminya terkontang-kanting. Sambil mengelap sisa air yang tumpah terkena pergelangan tangan Raden, si isteri yang masih merah inai di jari-jemarinya itu memohon maaf berkali-kali pada Raden. Sekadar menganggukkan kepala, tidak lama kemudian pasangan itu berlalu pergi.
Kredit Foto: Google
“Itu baru sedikit Raden. Kau belum tahu macam mana gegak gempitanya kalau aku dan Hisham bergaduh,” Ujar Dewi. Ratna pula menyergah, “Tak baik kau takutkan adik kita yang nak kahwin ni. Tapi sebenarnya itulah adat suami isteri. Bergaduh, bertengkar sampai tegang urat leher… Ish bukan senang kahwin ini. Semua rumahtangga ada pasang surutnya. Sabar adalah kunci utamanya,” hurai Ratna pula. Raden bungkam. Tidak banyak sedikit, terbit jua rasa was-was dan takut untuk menempuh ujian membina mahligai ini. “Bukan suka-suka nak takutkan kau. Tapi sebagai peringatan dan nasihat supaya kau lebih bersedia. Jangan dibuai rasa indah sahaja. Orang puji masa kau kahwin aje. Cantik baju, mekap, pelamin, bagai pinang dibelah dua dan eh, macam-macam lagilah! Itu semua sehari aje. Lepas tu pandai-pandailah kaulah nak hidup,” seloroh Dewi seakan menggertak Raden sambil sesekali mengangkat kening. Selamba sahaja dia makan tanpa mempedulikan emosi Raden. “Tak payah nak cuak sangat boleh tak? Relaks aje. Dewi memang suka menyakat kan, jadi tak perlu nak pening kepala atau susah-susah fikirkan perkara yang belum kau tempuh. Chill Raden. Just go with the flow,” pujuk Ratna memahami riak wajah Raden yang mulai serabut.
Selepas makan, Ratna mempelawa agar bermalam di rumahnya tetapi Raden menolak kerana sudah berjanji dengan geng KaMi untuk bermalam di rumah Zura. Dan Ratna terus menghantar Raden ke sana. Kami cuba memastikan aktviti sleep over dijadikan rutin sementelahan sibuk dengan komitmen masing-masing. Dan kebetulan suami Zura out station, maka kami berkumpul dan bermalam di rumahnya. Bermulalah sesi kemas kini gosip dan isu berbangkit sesama kami. “Kau tak takut ke Zura si Mirul asyik out station memanjang?” soal Nisha dengan gaya dan nada suara kak nam. Dalam kalangan kami, Nisha terkenal dengan fiilnya yang suka menyibuk dan lantang bersuara. Namun gaya Zura tetap profesional dan bersahaja. “Alah, apa nak takut. Kalau dia main kayu tiga, aku pun bolehlah usha mamat lain! Apa, ingat orang lelaki aje boleh test market? Aku pun bolehlah,” balas Zura sambil berseloroh lantas disambut dengan hilai tawa yang lain.
Kredit Foto: Google
“Pada aku, tidak perlu terlalu curiga dengan pasangan. Selagi dia tak tunjukkan perubahan, layan aje macam biasa. Tapi kita orang perempuan dan terutamanya isteri sememangnya ada sixth sense. Cuma berbalik kepada kita macam mana nak salurkan sixth sense itu. Kalau terlalu cemburu, asyik syak wasangka yang bukan-bukan sepanjang masa pun tak elok juga. Berpada-padalah. Macam aku, kalau ada rasa tak sedap hati Mirul buat apa-apa tanpa pengetahuan aku, memang aku terus terang. Tanya habis-habisan. Kalau perlu periksa telefon bimbit dia. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga. Tapi…,” panjang lebar huraian Zura tentang teorinya mengawal dan mengetahui gerak-geri Mirul. Belum sempat dia menyambung hujah seterusnya, Nisha pula menyampuk. “Tapi apa?” ujarnya sambil mengunyah kuaci tanpa henti. “Dalam kes aku, si Mirul yang sibuk periksa telefon bimbit aku. Pernah sekali aku buat-buat tidur. Dia ambil telefon bimbit aku. Boleh tahan cemburu juga si Mirul tu. Alhamdulillah sehingga hari ini baik aku ataupun dia; kami tak pernah sorokkan apa-apa. Kalau terniat sekalipun, mesti lambat-laun akan ‘kantoi’ ataupun dengan rela hati mengaku. Kebanyakan masanya akulah yang kantoi. Beli barang di online lepas itu senyap aje. Tahu-tahu aje bawa balik itu ini. Bisinglah dia. Tapi aku pekakkan telinga aje kalau dia membebel” hurai Zura panjang lebar. “Dengar tu Raden,” ujar Nisha seraya menepuk bahu seolah-olah itu yang Raden perlu praktikkan menjelang hidup berumah tangga.
Kredit Foto: Google
“Pokok pangkalnya hati kita Raden. Alam bercinta dengan selepas berkahwin memang jauh berbeza. Apabila duduk serumah barulah keluar fiil baik dan buruk masing-masing. Kentut bersepah, longgok tuala merata-rata, tidak tutup lampu atau kipas dan eh… Macam-macam lagilah kalau nak disenaraikan. Antara sabar atau tidak aje mahu hadap semua itu” ngomel Zura lagi. Dalam kalangan kami, hanya Zura yang baru mendirikan rumahtangga maka segala perihal yang disifatkannya sebagai perkongsian umum akan diceritkannya kepada kami. Selebihnya soal dalam kelambu tidak pernah sekali dijaja ceritanya.
Kami terus berborak sehingga awal pagi. Dan sebelum melelapkan mata Raden rumuskan ada benarnya perkongsian sedikit tips daripada Zura. Tidak kurang juga dengan insiden yang Raden saksikan di kafe malam itu. Semuanya mempunyai pengajaran untuk diteladani. Bahawa sesungguhnya bahagia itu tidak punya acuan khusus. Bahan juga ramuannya, suami dan isteri yang pilih dan tentukan. Apa yang mahu dikurangkan atau dilebihkan terpulang kepada cita rasa masing-masing. Lantas mengingatkan kepada video ceramah Syamsul Debat yang Raden tonton di facebook. Katanya, “Pasangan suami isteri tak sama dengan yang lain, jangan dibanding-bandingkan. Contohnya suami atau isteri, jangan cakap cuba ikut macam dia ni. Tak elok tu, tak baik. Sebenarnya hidup kita biarlah tidak kaya, tapi bahagia”. Mahu bahagia dengan cara apa dan bagaimana terpulang kepada suami isteri.
Must-Watch Video