Kita memang digalakkan untuk mendamaikan hubungan manusia yang bermusuhan atau bertelingkah. Banyak pahala diperoleh jika dapat menjernihkan kembali hubungan dua manusia yang terputus silaturahim. Menangis iblis apabila umat Allah kembali berdamai dan berbaik.


Namun, niat yang baik tidak selalunya disukai. Usaha murni tidak semestinya dihargai. Ada kala kita memang mahu menjadi pendamai antara dua hubungan manusia yang dalam pertelingkahan, namun ada kala objektif tidak dicapai, malah kita pula menjadi mangsa keadaan.


Tidak semua mampu menjadi orang tengah yang baik dan tidak semua orang yang sedang bermusuh mampu menerima kehadiran orang ke tiga sebagai pemulih hubungan. Ada pula, yang selepas berbaik menjadikan orang tengah ini sebagai ‘kambing hitam’ – dikatakan punca perbalahan. Inilah yang dikhuatirkan.


Yang selalu berlaku situasi ini adalah dalam hubungan suami isteri. Apabila suami dan isteri bergaduh, akan muncul orang tengah untuk mendamaikan mereka. Selalunya akan memberi nasihat mengikut pihak yang dia ingin sokong dan sebelahi.


Namun, selalu terjadi, apabila suami dan isteri ini berbaik, orang tengah ini akan dikatakan sebagai punca mereka bertelagah sebelum ini. Walau apa pun niat asalnya, tapi apabila suami dan isteri ini sudah berbaik pasti tidak mahu mengenang semua itu.


Begitu juga dengan hal adik-beradik. Selalu yang menjadi orang tengah ialah ipar-duai atau saudara luar. Ada yang mahu membaikkan hubungan silaturahim itu dengan pelbagai cara. Namun, ada kala setelah semuanya bersatu kembali, bukan ucapan terima kasih diterima tetapi dia pula dikatakan punca keretakan hubungan keluarga mereka.


Jadi, hati-hatilah. Bukan tidak boleh menjadi pendamai. Sangat digalakkan untuk kita menjalinkan kembali hubungan silaturahim yang terputus tetapi fikir sebaiknya setiap tindakan yang diambil.


Mohon petunjuk dan doa daripada Tuhan akan jalan terbaik untuk memulihkan keretakan hubungan itu. Doakan mereka dan pada masa yang sama cari jalan paling selamat untuk keluar daripada permasalahan yang timbul.


Jika telalu berat, jangan paksa diri untuk menjerumuskan diri. Sebaiknya, cari orang lain yang berkepakaran dan dihormati individu terlibat sebagai pendamai. Mungkin itu jalan lebih selamat. Setidak-tidaknya, kamu sudah memulakan langkah pertama yang baik. Selebihnya, serahkan kepada kuasa yang maha esa.


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan yang menyatukan hati mereka yang beriman. Jika sekiranya kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah SWT yang menyatukan hati mereka." (Surah al-Anfal, ayat 63)