Secara tidak sengaja saya terlihat posting wanita bernama Noratikah atau mesra dipanggil Eiqa ini di satu grup di Facebook. Gambar anak kembar yang sangat comel dengan kapsyen kerinduan kepada suami yang pergi ketika dia sedang melahirkan anak itu menarik hati saya. Saya mesejnya di Facebook dan mendapat balasan positif.


Wanita dari Semenyih ini sangat bersahaja orangnya. Ketika temubual ini dilakukan, kedengaran suara anak-anaknya berteriakan di sisinya. Saya mahu menangguhkan perbualan jika Eiqa sedang sibuk, namun beliau mahu teruskan saja sesi itu. Seketika suasana tenang kembali, kami meneruskan perbualan dan orangnya tidak banyak bicara.


Sepatah ditanya, sepatah juga dijawabnya. Sangat tenang dan sentiasa diselangi dengan tawa kecil. Saya kata, “Tabahnya awak?” Jawabnya, tiada apa yang mahu ditangisi. Lagipun anak-anak berada di depannya, dia tidak mahu menangis di depan anak-anak, nanti mereka mengejeknya. Oh!




Kredit Foto: Eiqa



Bila Eiqa bernikah dan berapa usia anak-anak sekarang?

Saya berkahwin dengan suami pada usia 21 tahun. Kami memiliki enam orang anak iaitu Ihsan Iskandar, 7, Rabiatul Adawiyah, 6, Irfan Ishak, 4, Iman Idraki, 2 dan kembar Aira Afrina dan Aina Afiah, 1.



Kalau boleh Eiqa imbas kembali bagaimana saat arwah mula sakit dan sehingga saat akhir hayatnya?

Arwah sihat saja orangnya. Sehinggalah pada satu hari tu, dia pergi jogging dengan anak-anak. Sekembalinya ke rumah, dia mengadu sesak nafas. Kami ke hospital untuk buat pemeriksaan dan doktor dapati suami mengidap masalah jantung, sebelah injapnya rosak. Memang kami terkejut. Tambahan pula, doktor kata masalah itu sudah lama dialaminya sejak kecil tapi baru kini ia dikesan. Arwah memang tidak pernah mengadu sakit pun.




Adakah ia kritikal dan perlukan rawatan segera?

Sepatutnya begitulah kerana masalah jantung itu sudah memberi kesan pada buah pinggangnya juga. Suami harus dibedah. Namun, waktu itu Hospital Serdang penuh dan prosedur harus menunggu sehingga lima bulan lamanya. Sepanjang tempoh menunggu itu, suami tidak ada sakit cuma sesak nafas sesekali. Saya teringat ada orang kampung saya dulu pernah cakap yang kalau ada sesiapa perlukan rawatan jantung, boleh menghubunginya untuk dibantu. Jadi, saya pun cubalah nasib. Ahhamdulillah, suami dapat menjalani pembedahan jantung secara percuma di Institut Jantung Negara (IJN). Kalau tidak, satu injap untuk dibedah saja dah RM70,000.



Kredit Foto: Eiqa



Jadi, bila suami menjalani pembedahan dan pada waktu Eiqa dalam keadaan sarat?

Ya, waktu suami sakit tu saya disahkan mengandung. Pada 10 September 2019, saya menghantar suami ke IJN dan saya pula waktu itu sudah sarat lapan bulan. Sepatutnya bulan depannya tu baru melahirkan. Selepas hantar suami ke IJN, saya pula ke klinik untuk pemeriksaan, tiba-tiba doktor beritahu kemungkinan saya akan melahirkan anak awal kerana jantung bayi tak berapa cantik. Saya panik dan tergamam seketika. Memang buntu. Manakan memikirkan suami di sana, dan saya di sini anak dalam kandungan pula dalam bahaya. Jadi, pada 18 September, saya hubungi suami memberitahu saya terpaksa melahirkan anak hari itu juga dan suami pula memberitahu yang dia juga kena dibedah petang hari yang sama. Allahu, tak tergambar perasaan saya waktu itu.



Pasti perasaan Eiqa bercampur-baur, antara cemas untuk melahirkan dan terkilan kerana tidak dapat menemani suami menjalani pembedahan penting?


Sunguh! Tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan saya waktu itu. Bayangkanlah, kebanyakan isteri ditemani suami tetapi saya sendirian. Sudahlah tak ditemai, hati pun tak keruan memikirkan suami yang juga sedang bertarung nyawa. Paling menyedihkan, apabila suami tidak dapat mengazankan anak kembar kami. Jadi, saya lakukan sendiri. Sebaik saya selesai melahirkan, saya tidak dapat apa-apa panggilan dari suami lagi. Hati saya jadi tak sedap. Kenapa lama sangat, kan? Rupa-rupanya selepas pembedahan suami koma.




Kredit Foto: Eiqa



Berapa lama suami koma dan apa yang Eiqa lakukan selama tempoh suami koma itu?

Apalah daya saya waktu itu? Anak-anak lahir pra-matang waktu itu, jadi terpaksa ditahan di hospital, tak dibenarkan balik. Sayalah menjaga mereka ketika dalam pantang, memang tidak sempat untuk menjenguk suami. Hanya kiriman WhatsApp saya hantarkan dengan harapan suami dapat baca sebaik terjaga. Saya harap suami membalasnya... Namun, selepas 10 hari koma, doktor pula memanggil saya. Semua keluarganya juag dipanggil. Doktor beritahu suami dah tak ada harapan.



Bagaimana keadaan suami waktu Eiqa mengadapnya?

Jantung suami memang dah lemah sangat. Dia hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan semata-mata. Saya rasa tangannya dah sejuk sangat, kukunya pun dah menghitam. Ketika dalam wad ICU tu, saya bisikkan ke telinga suami, “Kalau abang nak pergi, pergilah... Insya Allah, saya boleh jaga anak-anak...” Selepas saja saya kata begitu, bacaan jantung suami terus jatuh. Saya panggil doktor, doktor mulanya mahu buat bantuan pernafasan lagi tapi saya menolak. Saya tak mahu seksakan dia lagi. Melihatkan keadaannya begitu pun dah cukup menyeksa saya. Cukuplah... Akhirnya, suami pergi pada waktu saya masih dalam pantang dan arwah tak sempat menatap wajah anak-anak bongsunya itu.



Bagaimana dengan anak-anak, adakah masih bertanya perihal Papanya?

Anak-anak nampak okey. Cuma, sesekali ada jugalah mereka bertanya. Semua masih kecil dan mereka tidak faham sangat. Setiap kali mereka tanya, mana Papa? Saya akan beritahu, Papa ada dengan Allah. Saya selalu bawa mereka menziarahi pusara arwah Papa mereka. hanya itulah cara mengingatkan mereka kepada arwah dan memahamikan mereka yang Papa dah tiada.



Kredit Foto: Eiqa


Ada tak apa-apa pesanan arwah sebelum meninggal?

Macam-macamlah arwah pesan. Jaga diri elok-elok. Kalau dia pergi, nak cari pengganti, pastikan cari yang baik, yang boleh jaga saya dan anak-anak dengan sempurna. Ayat-ayat itu memang selalu dia ulang cakap. Jadi, saya tidaklah terasa sangat pada hujung-hujung hayatnya.



Bagaimana kerinduan Eiqa sendiri kepada arwah?

Oh, rindu yang tak ada ubat. Nak buat macam mana? Haruslah dilalui juga, pujuk hati sendiri. Kuatkan hati dengan tengok wajah anak-anak. Merekalah kekuatan saya, harta paling berharga yang arwah tinggalkan.



Eiqa nampak begitu kuat, bagaimana mendepani semua ini?

Saya memang sudah biasa uruskan anak-anak sendiri kerana suami dulu selalu bekerja luar daerah. Sepanjang ketiadaannya, semua urusan rumah saya uruskan sendiri. Jadi, inilah hikmahnya apabila kita tidak bergantung harap kepada suami semuanya. Pesan saya kepada semua isteri, kita mesti ada sikap berdikari itu supaya kita tenang mendepani sebarang kemungkinan. Daripada segi nafkah anak-anak sajalah, saya harus usaha lebih kerana buat masa ini saya masih belum mempunyai pekerjaan tetap. Insya Allah, saya percaya pada rezeki anak yatim ini. Doakan saya dan anak-anak dapat lalui hari-hari mendatang dengan baik ya. Terima kasih.




Kredit Foto: Eiqa