Siapa kata bergaduh antara suami dan isteri itu negatif dan mengundang keburukan semata-mata? Ada masanya dalam sebuah rumah tangga memerlukan satu ‘hentakan’ untuk membersihkan toksid dalam hubungan, di samping menerbitkan aura baru yang lebih bersih dan menyegarkan. Rumah tangga yang dikendalikan dua manusia berbeza memerlukan proses ‘pembersihan’ dalam satu jangka waktu untuk ia menjadi lebih bahagia dan seperti masa zaman baru berkahwin dulu.


Cuma, yang membimbangkan apabila ada antara pasangan yang melanjutkan pergaduhan ini sehingga tiada jalan keluar yakni tidak berusaha untuk memulihkannya. Itu dikira sebagai kes lain yang tidak boleh dianggap positif. Di sini, penulis mahu mengupas perihal gaduh-gaduh manja yang boleh mengeratkan lagi hubungan menjadi lebih intim dan pasangan boleh sama-sama muhasabah kesilapan diri dan lebih menghargai pasangan.




Kredit Foto: Google




Gaduh Manja Penambah Bahagia

Ada kala kita perlu juga ada rasa cemburu, merajuk dan berdiam diri untuk mengekspresikan isi hati. Tidaklah kita ini umpama boneka yang seperti tiada perasaan. Pasangan balik lambat kita diam, pasangan asyik bersosial dengan kawan-kawan, kita chill saja dan pasangan tidak ambil peduli hal kita pun kita okey. Ini seperti tidak okey pada diri kita sendiri apabila kita sudah tidak punya ‘rasa’ kepada pasangan.

Perlu sesekali untuk kita ‘menyoal’ pasangan tentang mungkin masanya yang sangat terhad untuk kita. Perlu untuk sesekali merajuk apabila diri kita tidak diendahnya atau dia pentingkan orang lain berbanding kita, teman sebantalnya. Jika kita hanya memahami 100 peratus, ia akan membuatkan pasangan akan terleka dan berasakan apa sahaja yang dia buat berada di landasan yang betul.



Hubungan Jangan Statik dan Mendatar


Kita bimbang jika kita bersikap pasif, lama-kelamaan pasangan menjadi bosan dan rumah tangga bertukar hambar. Seumpama makanan, apalah rasanya tanpa ditambah garam dan gula? Begitulah resam dalam hidup berumah tangga, harus ada penambah perisa jika tidak mahu ia berlarut dalam nada ‘biasa-biasa’ selama bertahun-tahun. Yang lebih membimbangkan apabila ada pula perasa dari luar yang cuba untuk masuk menambah rasa kepada pasangan.

Apabila pasangan mendapat keseronokan dan keceriaan dari luar; yang tidak dimilikinya di rumah sendiri, ia aka lebih menggusarkan daripada bergaduh tadi. Maka, jangan jadi pasangan yang hanya ‘play safe’ hanya kerana tidak mahu menimbulkan pertelingkahan. Sesekali wujudkan ‘konflik lembut’ yang boleh membentak fikiran si dia untuk berfikir tentang kamu.




Kredit Foto: Google



Selepas Gaduh, Cepat Selesaikan

Dan, apabila sudah terbangkit konflik dalam hubungan, jangan pula dibiarkan berlama-lama sehingga makan minggu dan bulan. Cukuplah beberapa hari untuk masing-masing menginsafi kekhilafan diri. Jangan meleret-leret sehingga terbangkit isu yang tidak sepatutnya. Saluran bergaduh juga harus betul. Jangan sesekali melibatkan orang luar melainkan kes berat yang memerlukan campur tangan keluarga terdekat.


Adakan sesi komunikasi berkesan untuk mencapai kesepakatan dan menggugurkan semua dosa pasangan. Pasangan yang bahagia harus murah dengan perkataan maaf walaupun ia bukan salah daripada kita. Selepas menerima maaf, kita juga perlu jelaskan apa perasaan kita dengan harapan dia tidak akan mengulanginya lagi. Kata kunci rumah tangga yang damai adalah tidak mengungkit kesalahan pasangan itu. Biarkan ia menjadi sejarah dan bukalah lembaran baru.