Personaliti

Suami Pergi Pada 1 Ramadan – “Setiap Malam, Saya Akan Terjaga Tapi Malam Itu Dia Pergi Ketika Allah Nyenyakkan Saya...”

gempak
Afiza Kamarulzaman
02/06/2021
15:50 MYT
Sponsor Banner
Suami Pergi Pada 1 Ramadan – “Setiap Malam, Saya Akan Terjaga Tapi Malam Itu Dia Pergi Ketika Allah Nyenyakkan Saya...”
Dunianya bagaikan gelap. Dalam usianya 30 tahun, Siti Hajar kini bergelar balu. Allahyarham Muhammad Hafiz bin Amran, 34 dipanggil pulang ke sisi sang pencipta pada 1 Ramadan baru-baru ini, meninggalkan tiga cahaya mata Muhammad Haziq Aryan, 8, Nur Hana Arissa Binti Muhammad Hafiz, 6 dan Nur Hana Nia Binti Muhammad Hafiz, 4.
Hajar dan arwah suami berkenalan pada tahun 2009 dah pada 1 Januari 2013 mereka diijabkabulkan. Ketika itu arwah ialah seorang juruteknik di Telekom Malaysia dan Hajar suri rumah sambil membuat biskut secara homemade selepas mengandung anak yang ke dua pada tahun 2015.
Sedang enak mengulit bahagia bersama suami yang sangat penyayang dan anak-anak yang sedang membesar, buah hatinya itu tiba-tiba diuji dengan penyakit kanser. Kurang dua tahun selepas itu, arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan si isteri. Siapalah mampu menerima semua ini walau sudah diberi alamat awal yang arwah pasti akan pergi pada bila-bila masa. Apa pun, inilah ketentuan takdir yang sudah tertulis milik Siti Hajar. Pasti wanita ini memiliki jiwa sekental besi sehingga dia terpilih untuk melalui semua ini.
Salam takziah buat Hajar sekeluarga. Kalau boleh dikongsikan bagaimana arwah mula-mula dikesan menghidap kanser usus?
Arwah menghidap kanser usus pada awal tahun 2019. Penyakitnya muka dikesan apabila arwah sering mengadu sakit perut yang awalnya disangka gastrik. Pada bulan Mac 2019 arwah merujuk ke Hospital Pantai Cheras. Beberapa prosedur dilakukan dan doktor mendapati terdapat tumor di saluran usus arwah. Tumor tersebut hampir menutupi saluran ususnya. Tanpa berlengah, pembedahan segera dilakukan pada keesok harinya. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan tumor tersebut dihantar ke bahagian makmal. Dari situlah kami mengetahui terdapatnya kanser.
Apakah simptom yang dialami arwah sehingga ke tahap empat?
Simptom yang dialami arwah adalah seperti sakit perut berpanjangan, berat badan turun dengan mendadak dan najis menjadi gelap. Setelah mendapat tahu arwah menghidap kanser, ia telah pun berada pada tahap tiga. Kami kemudian merujuk ke Institut Kanser Negara Putrajaya (IKN) untuk rawatan susulan. Bermulalah segala rawatan arwah di situ sehingga akhirnya kanser tersebut berada pada tahap empat dan tidak dapat dikawal lagi.
Bagaimana dengan proses kimoterapi yang dilalui arwah?
Sepanjang sakit, arwah telah menjalani 20 kali kimoterapi. Kimoterapi yang pertama pada 12 April 2019, Jenis Folfox yang memerlukan arwah berada di wad selama tiga hari dua malam setiap dua minggu sekali. Rawatan ini dilakukan sebanyak 11 pusingan. Dalam proses kimoterapi, arwah juga ada melakukan prosedur Radiofrequency Ablation (RFA) di Hospital Selayang di mana ketika ini kanser arwah sudah sampai ke hati (liver metastasis).
Kemudian arwah ditukarkan ubat kepada Folfiri, juga memerlukan arwah ditahan wad selama tiga hari, dua malam setiap dua minggu sekali. Rawatan ini dilakukan sebanyak sembilan pusingan termasuk targeted theraphy di mana pada pusingan kedua Folfiri, arwah diminta untuk melakukan targeted theraphy kerana kansernya terlalu aktif. FOLFIRI + PANITUMUMAB TARGETED THERAPHY.
Pada bulan Mei 2020, arwah perlu menjalani pembedahan kerana ususnya telah tersumbat. Selepas itu, tiada lagi rawatan kimoterapi yang dilakukan kerana kansernya telah merebak hampir ke semua tempat dan kimoterapi atau apa jua rawatan tidak lagi dapat membantu.
Sebagai isteri, bagaimana Hajar lalui semua ini, menjadi peneman suami waktu itu?
Tidak dinafikan saya melalui hari-hari yang agak getir waktu itu, kerana anak-anak masih kecil dan bersekolah. Pada masa yang sama menjaga suami yang sedang sakit. Namun, saya bertuah kerana memiliki keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantu. Malah, pihak sekolah juga sangat memahami bila mana anak saya tidak dapat hadir ke sekolah (mereka duduk di rumah nenek).
Saya menguruskan suami sepenuh masa. Sayalah peneman suami siang dan malam, tidur bersamanya di hospital setiap kali perlu melakukan kimoterapi dan segala rawatan. Alhamdulillah, walaupun diuji berat, kasih-sayang antara kami menjadi kekuatan untuk saya terus mendampinginya. Saya perlu kuat untuk suami dan anak-anak. Rutin harian saya seperti biasa, hantar dan ambil anak dari sekolah, memasak, melakukan kerja-kerja rumah seperti biasa dan kadang-kala saya menyiapkan tempahan biskut di rumah sambil menjaga suami. Alhamdulillah suami tidak banyak kerenah, sangat mudah diuruskan.
Kalau boleh diceritakan detik-detik akhir arwah suami dan bagaimana Hajar mendepaninya?
Tiga minggu sebelum arwah pergi, arwah dimasukkan ke hospital selama enam hari kerana kekurangan darah merah. Pada ketika ini arwah sudah di bawah jagaan unit Paliatif (sokongan). Doktor hanya meminta arwah dan saya terus kuat dan positif dengan bergantung pada penggunaan ubat tahan sakit. Mereka banyak memberi sokongan moral. Kalau ditanya bagaimana saya berdepan dengan semua ini, agak payah sebenarnya saya nak terima semua keadaan yang berlaku dengan keadaan anak-anak yang masih kecil. Tetapi apalah daya saya untuk menolak takdir Tuhan ini.
Bagaimana saat arwah menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan Hajar?
Bagaimana untuk saya ceritakan? Arwah berada di rumah ketika hujung hayatnya. Beberapa hari sebelum pemergiannya, keadaan arwah seperti orang yang nazak, agak sukar bernafas dan arwah hanya terlantar di atas katil. Puas saya pujuk ke hospital tetapi arwah tolak. Menjadi kelaziman saya pada setiap malam akan tidur di sofa betul-betul di sebelah katil arwah.
Arwah akan memanggil saya 'sayang' pada setiap setengah jam dan saya pasti bangun menemankannya dan bertanya apa yang dia mahu? Setiap kali hendak tidur saya akan pastikan arwah mengucap terlebih dahulu dan arwah sentiasa berzikir sehingga dia tertidur. Pada malam terakhir arwah nak pergi, saya tertidur dalam keadaan duduk di sebelah arwah. Ketika saya terjaga, saya lihat arwah sudah tiada. Saya pasti arwah pergi dalam keadaan sedang tidur.
Walaupun reda, jauh di lubuk hati saya berasa sedikit ralat sebenarnya. Bayangkan jika sebelum ini saban malam saya dikejutkan arwah, tapi malam itu tidak sekali. Dia pergi tanpa saya menyedarinya. Namun seperti kata sahabat baik saya, setiap kejadian yang berlaku sudah diaturkan oleh Allah. Pasti ada sebabnya kenapa saya ‘ditidurkan’ Allah pada ketika itu dan tidak melihat arwah pergi berdepan sakaratulmaut. Allahu...
Sungguh sukar untuk diselami perasaan Hajar waktu itu, apatah lagi arwah meninggal pada 1 Ramadan, kan?
Hanya Allah yang maha mengetahui. Ya, saya memang sangat-sangat sedih tetapi pada masa yang sama, saya dapat rasakan besarnya rahmat Allah buat saya. Setelah lama arwah diuji dengan sakit, kemudian arwah dijemput pada bulan yang sangat mulia. Bulan yang sangat arwah nantikan. Anak-anak masih kecil, mereka sedih tetapi mereka tidak memahami keadaan itu dengan begitu mendalam.
Seminggu selepas arwah pergi, saya masih perlu menyiapkan semua tempahan biskut raya dengan bantuan kakak saya. Dalam kesibukan itu, Allah kurangkan rasa sedih saya. saya tak akan lupa, sebulan sebelum arwah pergi, arwah sempat membelikan saya oven baru sebagai hadiah sokongan untuk saya terus kuat katanya. Siapa sangkakan, arwah tidak sempat menyambut Ramadan dan Syawal tahun ini.
Apa yang paling dirindui Hajar sejak arwah pergi?
Arwah seorang yang sangat disenangi, ceria, suka ketawa dan suka menyakat walaupun ketika sedang sakit. Saya sangat rindukan saat dia bergurau dan menyakat saya. Dia sentiasa buat saya ceria dan bahagia. Saya masih ingat pesanan terakhir arwah supaya menjaga anak-anak kami hingga berjaya dan mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah. Arwah selalu tekankan agar anak-anak menjaga solat sejak kecil. Dan pada saya arwah minta saya meneruskan perniagaan biskut saya (Cha Cookies) sehingga berjaya dan arwah juga mahu saya reda dengan pemergiannya itu.
Bagaimana Hajar melalui kehidupan mendatang dalam sisa kekuatan yang ada?
Sejujurnya saya tidaklah sekuat mana. Walaupun saya dikelilingi oleh sokongan ramai keluarga dan sahabat, tapi saya tidak dapat menipu bahawa saya masih terkenangkan arwah. Sehingga saya ada terbaca satu artikel berkenaan depression dan saya berasa saya berada dalam keadaan itu. Lama saya berfikir dan saya bertanya sendiri, sampai bila saya harus begini? Ssaya tak boleh terus melayan kesedihan. Saya teringat segala pesanan arwah dan saya ada bermimpikan arwah yang meminta saya reda. Hanya itulah sekali saya mimpikan arwah. Pada ketika temubual ini dilakukan, saya baru saja bangun melawan kesedihan dan mahu terus kuat demi amanah yang ditinggalkan arwah. Insya Allah.
Dan, beberapa minggu sebelum pemergian arwah suami, bapa Hajar juga baru meninggal dunia, kan? Bagaimana Hajar menerima susunan takdir ini?
Ya, arwah abah saya baru sahaja meninggal sebelum arwah suami pergi. Pada waktu itu, saya di hospital menemani suami yang ditahan wad. Saya masih ingat pada Subuh itu, saya mendapat berita duka itu, saya tersangatlah sedih. Fikiran saya keliru di mana saya nak sangat lihat arwah abah tetapi pada masa yang sama, suami saya memerlukan saya. Waktu itu, suami sangat sukar untuk berjalan ke tandas. Saya yang akan membersihkannya sekiranya ke tandas. Akhirnya,Tuhan mudahkan jalan. Kakak arwah suami datang membantu menjaga suami dan saya dapat pulang dan melihat arwah abah buat kali terakhir. Setelah selesai pengebumian, saya terus pulang semula ke hospital menjaga suami.
Alhamdulillah, saya memiliki support system yang baik. Anak-anak, keluarga dan sahabat-handai banyak memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan hari-hari yang sukar. Saya berharap, saya mampu melakukannya walau kini tanpa suami di sisi.
Doa saya buat arwah suami dan abah, tenanglah dikau disana.. hanya doa sebagai tanda ingatan. Semoga kita dapat berkumpul semula di negeri abadi. Amin. Al Fatihah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024