Personaliti
Susahnya Nak ISTIQAMAH, Banyak Sungguh Ujian. Hari Ni Tekad Jadi Baik, Esok Lusa Buat Balik. Hurmm…
Teks: Nor Hatina Shuib
Susahkan untuk kekal istiqamah dalam apa saja perkara. Istiqamah adalah teguh atau konsisten dalam melakukan sesuatu perkara dengan matlamat kejayaan dalam melakukan satu anjakan perubahan dalam diri.
Perubahan daripada satu keadaan kepada satu keadaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
Ramai dalam kalangan kita yang ingin berubah daripada melakukan perkara yang tidak baik kepada perkara yang baik, dari perkara yang Allah murka kepada perkara yang Allah reda.
Seringkali perkataan istiqamah diucapi dan didengari bertujuan agar apa yang kita lakukan dapat dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.
Imam Nawawi sendiri mengatakan makna istiqamah ialah 'sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah'.Tidak kiralah berubah untuk jadi baik, rajin berusaha dalam perniagaan atau kerjaya, mahupun mahu melakukan perubahan dalam peribadi diri, tingkahlaku, gaya hidup ataupun penampilan, jika dilakukan, seseorang itu tidak akan kembali ke tabiat, penampilan atau gaya hidup lama.
Kegagalan sering berlaku apabila kita sudah lama berada di tabiat lama menyebabkan perubahan itu sukar dilakukan jika tidak bersungguh-sungguh inginkan el perubahan.
Jika berjaya sekalipun, mesti kembali ke tabiat lama semula, kesannya akan rasa kecewa dan malas untuk mencuba sekali lagi.
Misalnya, penampilan diri. Tidak dinafikan, ramai impikan untuk berubah menjadi lebih baik dan imej yang sepadan dan seiring dengan usia.
Biasanya, pada usia lewat 30 an, kita mula penat dengan kehidupan dan mengimpikan hidup baru yang lebih baik.
Justeru, pelbagai perubahan dilakukan daripada segi kerjaya, perhubungan, kekeluargaan sehingga kepada penampilan diri.
Kredit foto: Google
Jika sebelum ini, penampilan agak ranggi, apabila menginjak usia, mula mahu menutup bahagian yang dituntut syariah tetapi untuk melakukan agak mencabar. Rasa malu menerjah, memikirkan apa kata rakan-rakan dengan perubahan drastik terhadap imej diri terutama mereka yang mula berhijab tetapi rakan-rakan masih tidak berhijab.
Seseorang yang ingin berubah maka perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala perkara yang boleh menyebabkan dirinya kembali kepada asal.
Misalnya seseorang yang tidak berhijab kemudian mengambil keputusan untuk berhijab tetapi mereka tidak istiqamah lantas mereka kembali membuka hijab semula.
Begitu juga dengan mereka yang berubah untuk meninggalkan maksiat tetapi selepas itu kembali melakukannya. Sebenarnya, petua di sini adalah lakukan perubahan diri atas niat mahu berubah dan bukan sekadar mengikut trenda atau rasa ‘suku-suku separuh’ yang biasanya mengembalikan anda ke penampilan lama.
Sama juga dengan impian mahu tampil kurus setiap tahun yang biasanya gagal. Ini kerana anda menjadikan perubahan itu sebagai ikutan. Kurus kerana mahu tampil sama cantik dengan idola anda tetapi untuk melakukan apa yang dilakukan idola anda, anda rasa tidak mampu.
Akhirnya, impian jadi hangat-hangat tahi ayam. Apatah lagi mereka yang kurang kesabaran, sehari dua sudah mahu tampil langsing.
Ada yang sanggup berlapar berminggu-minggu, tetapi apabila hasilnya tidak seperti yang dirancang, mulalah angina satu badan. Berhenti dan kembali kepada tabiat pemakanan dan gaya hidup lama.
Sebenarnya, tanyalah kepada mana-mana individu yang berjaya menguruskan badan, hasil kejayaan itu diperoleh apabila tekad melakukan perubahan itu disusuli dengan sifat istiqamah.
Tiada langsung istilah kecewa dan putus asa yang hanya membuatkan diri rasa bosan, malas dan mula beralih kepada cara lain sedangkan kaedah yang baru dicuba itu tidak sampai seminggu dua.
Alahai, mencari istiqamah itu memang sukar dan mencabar, sama seperti mencari malam Lailatulqadar di Ramadan yang berkat.
Kredit foto: Google
Istiqamah Itu Hasilnya Pasti Indah, Hanya Perlu Konsisten.
Lihat juga mereka yang memulakan perniagaan. Kebanyakan punca kejayaan adalah hasil daripada nilai konsisten dan istiqamah yang dilakukan tanpa prejudis kepada kejayaan yang bakal disemai kelak.
Penulis selalu perhatikan, walaupun pada awal perniagaan rakan-rakan terutama yang berjinak-jinak berniaga di Facebook, bermula hanya dengan satu ‘ like’ atau tanpa ‘like’, hari ini rakan penulis mula sukses dalam bidang perniagaan yang diceburi.
Tipsnya adalah konsisten untuk melakukan perjuangan sebagai peniaga dalam talian atau penjual produk.
Benarlah tiada kejayaan tanpa usaha yang konsisten pastinya membuah hasil berganda. Ramai dalam kalangan kita kadangkala lebih selesa untuk tidak melakukan perubahan. Tidak berani dan tidak mahu menanggung rugi jika gagal nanti.
Justeru, kita sentiasa berada di takuk lama. Ada masanya kita benar-benar mahu berubah tetapi apabila letih untuk terus mengharung, kita mula mengundur ke belakang atau statik kembali.
Benar bukan mudah untuk kekal konsisten dalam apa juga perkara. Hanya yang cekal dan gigih mampu menempa kejayaan dengan tiket konsisten.
Ada seorang rakan penulis. Sudah bekerja hamper 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Setelah diduga dengan kehilangan pekerjaan, beliau mencuba bidang jualan langsung produk kerepek.
Meskipun dua bidang yang sangat berbeza, sifat mahu berubah, ditambah dengan nilai tambahan iaitu istiqamah melakukan perubahan, hari ini pendapatannya empat kali ganda daripada gajinya di sebuah agensi penerbitan dulu.
Apabila melihat kejayaan yang dating bergolek seperti ini, kita hanya nampak keindahan dan kemewahan yang dikecapi, tetapi disebalik perjuangan untuk terus melakukan perubahan, ia penuh dengan drama air mata, jatuh bangun dan kekecewaan.
Kata teman penulis, pernah rasa putus asa tetapi dia berkata, kegagalan itu lebih terasa apabila kita sudah mencuba dan hamper kepada kejayaan,tetapi mahu berpatah balik. Jadi, dia kekal konsisten dan istiqamah dalam perjuangan sebagai peniaga yang akhirnya mencambah hasil berganda.
Lantas, setiap perancangan yang mahu dilakukan, perlulah benar-benar berada di dalam hati.
Ini kerana amalan yang dilakukan secara istiqamah lebih disukai oleh Allah SWT. Bahkan dapat dikatakan bahawa individu yang beristiqamah mempunyai pegangan akidah Islam yang sebenar dan mampu menjalankan syariat dengan teguh walau dalam apa situasi sekalipun.
Kredit foto: Google
Jom Kita Memahami Istiqamah. Mungkin Ada Cara Terbaik untuk Kita Lakukan Perubahan Diri.
1. Memilih sahabat yang baik
Benarlah sahabat yang baik mengajak ke jalan diredhai. Berada dalam lingkungan yang baik dan positif, berupaya ,menarik kita sama melakukan kebaikan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang rakan baiknya.
Jika kita tersalah memilih kawan maka setiap apa yang kita usahakan tidak akan berjaya dan adakalanya segan mahu berubah, takut ditertawakan. Namun, menguntungkan apabila teman juga mahu berubah.
2. Berubah mengikut kemampuan
Melakukan sesuatu amalan yang baik sudah pasti akan diberikan ganjaran yang hebat daripada Allah. Oleh kerana itu, ramai yang beranggapan bahawa jika seseorang itu ingin berubah maka ia perlu melakukan sesuatu secara drastik. Sebenarnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang sedikit tetapi berterusan. Ini berdasarkan hadis nabi.
3. Perlu niat ikhlas kerana Allah
Seseorang yang ingin melakukan sesuatu perkara semestinya perlu berniat ikhlas kerana Allah. Ini kerana hanya amalan yang ikhlas kerana Allah akan diterima dan dipermudahkan.
Tanpa niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah perkara kebaikan. Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.
4. Berdoa
Seperti diketahui, doa adalah enjata bagi orang mukmin. Sentiasa pasang niat untuk Allah makbulkan doa untuk kita menjadi lebih baik dan bukakan hati untuk tidak pernah putus asa melakukan perubahan diri.
Must-Watch Video