Ramadan kembali mengubati rindu selama setahun tidak ketemu. Apa persediaan kita mendepaninya? Adakah dengan hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata? Bagaimana dengan larangan lainnya?


Ya, banyak sebenarnya ditegah daripada diperlakukan ketika kita sedang berpuasa (sebenarnya hari-hari lainnya pun perlu menjaga tingkah laku). Seharusnya bulan mulia ini dijadikan medan terbaik untuk mengasuh diri menjadi insan yang lebih beretika dan beriman.


Antara yang sangat dilarang ketika sedang berpuasa selain makan dan minum ialah mengumpat, mencaci dan mencela orang. Inilah perbuatan sesama manusia yang memberikan impak buruk dalam kehidupan peribadi juga masyarakat.


"Apabila salah seorang daripada kalian sedang menjalani ibadah puasa, maka janganlah berkata kotor, dan jangan pula berteriak-teriak. Jika ada seseorang yang mencelanya atau menyakitinya maka ucapkan: sesungguhnya aku sedang berpuasa," (HR. Bukhari).


Kredit Foto: Google



Adakah Bezanya Mengumpat Secara Terus dan di Media Sosial?


Walaupun ada pendapat yang mengatakan ia tidaklah sama seperti mengumpat menerusi mulut, namun matlamatnya tetap sama iaitu berkata yang buruk tentang seseorang itu dan jika tulisan itu menyakitinya, maka tetaplah ia dikira sebagai dosa.


Malah, ia lebih buruk lagi daripada mengumpat daripada mulut ke mulut kerana mengumpat di media sosial akan melibatkan lebih ramai orang dan pihak. Bayangkan berapa ramai yang membaca tulisan kalian itu dan kemudian menambahkan lagi garam dan perasa?


Ia ditambah dengan caci maki dan diselangi fitnah yang bertebaran tanpa sempadan dan tidak mampu dihalang. Bagaimana untuk anda mencuci dosa itu untuk memberitahu kepada setiap orang yang membaca tulisan buruk anda agar kembali bertaubat? Sangat berat bebanan itu kelak.


Maka, latihlah dari hari ini untuk kuatkan iman kala melayari media sosial. Apabila terlihat sesuatu posting atau isu yang tidak anda berkenan atau setuju, sebaiknya abaikan saja. Usah ringan sangat jari-jemari itu untuk meninggalkan komen yang sia-sia.


Jika tiada perkara baik untuk dikatakan, sebaiknya diam sahaja. Begitu juga jika tiada perkataan molek untuk ditulis, lebih baik scoll ke bawah saja tanpa perlu menyuarakan sebarang pendapat anda.