gaya hidup

Terjatuh Di Tangga Besi, Terpaksa Cuti Sakit Dua Tahun – Erma Liza Hampir Dibuang Kerja. Tapi Takdir Masih Menyebelahinya

gempak
Huda Hussain
09/07/2021
00:00 MYT
Sponsor Banner
Terjatuh Di Tangga Besi, Terpaksa Cuti Sakit Dua Tahun – Erma Liza Hampir Dibuang Kerja. Tapi Takdir Masih Menyebelahinya
Isu keselamatan di tempat kerja tidak kurang pentingnya dalam soal kebajikan dan perlindungan kepada pekerja. Dalam episod kali ini, Luar Biasa mengupas dan membincangkan secara terperinci mengenai Safety At Work. Pada awal segmen, tetamu undangan kali ini, President The Malaysian Society for Occupational Safety & Health (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkongsi dengan penonton mengenai takrif isu ini. Ia berkait rapat dengan akta yang termaktub dalam undang-undang dan perlu disediakan oleh majikan. Antara lain, ia bermatlamat untuk melindungi pekerja baik dari segi keselamatan dan kesihatan pekerja. Objektif Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHA)
  1. Memastikan pekerja bekerja dalam keadaan selamat, sihat dan kebajikan terjaga.
  2. Memastikan pengunjung/pelawat ke premis tempat kerja adalah selamat, sihat dan terjaga kebajikan sepanjang berada di premis.
  3. Memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat daripada segi fisiologi dan psikologi.
Kredit Foto: Astro Prima
Menurut Dr Shawaludin lagi; penilaian risiko, prinsip asas pencegahan sebelum, semasa dan selepas hendaklah ditentukan terlebih dahulu. Hal ini kerana, ia menjadi indikator penting sama ada keupayaan pekerja dari aspek kesihatan dan keselamatan dapat dipenuhi atau sebaliknya.
Kisah Erma Liza Erman Berkhidmat selama 20 tahun di bahagian perkeranian, Malaysia Transformer Manufacturing Sdn Bhd Erma Liza ada insiden yang berlaku dalam hidupnya yang hampir mengubah segalanya. Pada 2018, dia disahkan mengalami Functional Movement Disorder dan menyebabkannya sukar untuk melaksanakan tugas dengan baik.
Benarlah kata pepatah, langit tak selalunya cerah. Dan sekitar hujung tahun 2017 hingga awal 2018, dia diuji apabila terjatuh di tangga besi. Susulan insiden itu, dia mengalami kecederaan pada tulang belakang, L4 dan L5. Hasil pemeriksaan doktor selanjutnya pula mendapati otak Erma mengecut.
Kredit Foto: Astro Prima
“Mula dari situlah saya tak boleh dengar bunyi. Macam bunyi alarm kereta, siren ambulans, kalau dalam kilang bunyi kren. Ia membuatkan kaki saya menggeletar,” terangnya mengimbas tragedi hitam itu. Dia yang dirawat di bahagian Ortopedik pada awalnya dibawa ke bahagian ENT (ear, nose and throat) dan kemudian ke bahagian Neuropsychiatric.
Bagi Pengurus Kes Pejabat Perkeso Kuala Lumpur, Siti Fazrina Suboh; dia menerima rujukan kes Erma daripada pihak majikan. Ketika itu, dia sudahpun dua tahun cuti sakit dan pihak majikan buntu untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu Erma. “Puan Erma Liza diminta oleh majikan untuk memohon Ilat. Dia sudahpun memohon tapi tidak disahkan ilat pada ketika itu. Dan apabila ini berlaku, pihak jemaah doktor merujuk untuk menjalani program RTW,” hurainya terperinci.
Kredit Foto: Astro Prima
Rawatan Untuk Erma Liza Di Bains Pyhsio, Erma Liza menjalani rawatan yang dapat mengenalpasti dia mempunyai masalah pada bahagian saraf. Berkongsi secara lanjut mengenai rawatan yang diberi, Ketua Pegawai Operasi Bainsphysio yang juga seorang Physioterapist, Mandeep Singh Bains berkata, “Puan Erma datang ke pusat kami dengan masalah getaran yang teruk. Dia menggigil, ada getaran yang tidak disengajakan. Malah dia tak mampu untuk melakukan aktiviti harian. Dia tak boleh membasuh baju, memasak dan berjalan sekalipun. Memang saya lihat dia amat sedih waktu itu,” kongsi Mandeep.
Di pusat ini, Erma Liza menjalani aktiviti pemulihan dan perkembangan serta perubahan dapat dilihat apabila dia kurang mengalami masalah getaran. Hasilnya selepas menjalani sesi pemulihan, dia beransur baik dan pulih seperti sediakala.
Kerjasama Majikan Kerjasama yang baik antara Malaysia Transformer Manufacturing Sdn Bhd seperti yang dikongsikan Pengurus Besar (bahagian Pengurusan Servis) Syah Zaireen Sahari dengan Perkeso mula terjalin pada 2019 bagi membicangkan secara terperinci untuk mencapai langkah terbaik membantu Erma Liza. Dia yang dulunya bekerja dalam kawasan kilang, kini diprogramkan untuk bekerja dibahagian perkeranian. Penilaian awal dibuat oleh Perkeso bagi memastikan kesihatan Erma Liza berada pada tahap terbaik sebelum dibenarkan kembali bekerja. Hanya selepas mendapat pengesahan doktor dan modifikasi disesuaikan dengan pihak majikan, barulah dia kembali memulakan kerja di bahagian baharu.
Kredit Foto: Astro Prima
Dapat disimpulkan bahawa dengan adanya pelaksanaan Safety At Work di tempat kerja dan program RTW yang baik, pengurusan hilang upaya dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Malah kerjasama yang baik antara pihak majikan dan Perkeso bagi mencapai kata sepakat menerusi program ini amat membantu bagi menyelesaikan masalah yang dialami pekerja. Sokongan dan persefahaman yang diberi pihak majikan berupaya memotivasikan semangat pekerja untuk kembali bekerja dalam suasana lebih kondusif.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live