Mungkin ini bukan kes pertama berlaku di negara kita khususnya dalam dunia perubatan. Maklum sajalah, sudah namanya pun barisan hadapan maka sememangnya diakui dan tidak dinafikan lagi tugas dan tanggungjawab mereka amat berat. Walaupun tidak berada di medan pertempuran menentang musuh nombor satu dunia, Covid-19 tetapi tanggungjawab dan amanah yang mereka pikul demi menjaga dan merawat pesakit tetap berat.


Baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang Pegawai Perubatan berpangkat doktor melepaskan amarahnya di media sosial. Walaupun ia dimuat naik di laman twitter peribadi, namun bahasa dan caci makinya tidak dapat diterima dek akal. Ya, ia ditaip dan dimuat naik oleh seorang doktor. Yang tugasnya untuk membantu, merawat dan memulihkan pesakit, menenteramkan emosi pesakit yang kesakitan dan yang sewajar dengannya.

Kredit Foto: Google

Sungguh, kita faham bukan mudah dan bukan senang seseorang layak dipanggil doktor. Kita maklum betapa hebat tekanan dan beban yang tergalas dibahu mereka. Walaupun nyawa bukan terletak ditangan mereka, namun merekalah yang berkepakaran dan berpengetahuan untuk membantu apabila seseorang berada dalam kesakitan. Selebihnya, hanya Allah yang menentukan.

Orang sakit tak pernah pilih untuk sakit, tetapi kerjaya sebagai doktor atau jururawat, kalian yang pilih. Jadi rawatlah mereka dengan baik. Betapa etika dan profesionalisme seorang doktor dalam situasi ini perlu dijadikan panduan, rujukan dan ingatan. Terpanggil untuk berkongsi pandangan mengenai isu yang tular ini, Dr Ahmad Samhan yang suatu ketika tular dengan pengalamannya merawat pesakit Covid-19 menceritakan etika dan tatasusila yang sewajarnya dipamerkan oleh seorang doktor. Ini hasil muat naik dari laman Facebooknya.


Kerana Profesyen Doktor Dipandang Tinggi Masyarakat

Bukanlah untuk mengeruhkan lagi keadaan. Tapi ada sesuatu yang saya mahukan untuk kita fikirkan bersama. Walaupun permohonan maaf sudah dibuat tapi kesannya sangat mendalam. Di mata masyarakat, doktor adalah individu yang mempunyai keperibadian yang tinggi. Di hormati dan disanjung. Mereka ini banyak berkorban dari segi masa, harta dan keupayaan. Masa bersama keluarga dan masa rehat untuk diri. Harta yang dikorbankan demi segulung ijazah bukan sedikit dan kekuatan keupayaan menangani stres dalam bekerja. Semuanya perlu dikorbankan.


Namun, bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa mencerminkan keperibadian seseorang. Menggunakan ayat seperti, “Tapi kenapa nak kena refer pukul 3-4 pagi jugaklah b*b*” “Takleh refer esok siang je je puk* anj*ng” Ini melampau! Ini mencemarkan keperibadian seorang doktor.
Benar, mungkin beliau dalam keadaan tertekan kerana terlalu banyak ‘referral’ yang diterima. Tapi ingat, jangan sesekali luahkan di media sosial. Walaupun akaun itu adalah akaun peribadi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Kredit Foto: Google


Masyarakat menilai. Masyarakat memerhati. Masyarakat takkan faham apa yang awak sedang lalui. Sungguh! “6-7 bulan dengan cancer camtu,bernafas makhluk tu lagi.” Jangan jadi doktor yang ingin melepaskan batok di tangga. Ini bukan kes aku, rujuk orang lain. Ini bukan kes kecemasan, kenapa datang sekarang?


Bukan semua orang layak jadi doktor. Bukanlah mereka yang semua A dalam SPM layak jadi doktor. Bukanlah mereka yang paling kuat ingatan layak jadi doktor.Bukanlah mereka yang ada harta banyak mampu untuk dapatkan ijazah perubatan. Bukan. Siapa tak marah bila mak atau ayahnya di layan sebegitu oleh seorang yang bergelar doktor. Pernah sekali saya ditegur oleh pakar, “Samhan, apa yang awak buat ini? Ini ke cara awak rawat pesakit? Bayangkan pesakit ini adalah ibu atau ayah awak, adakah awak nak dirawat begini?” “Tak nak. Maafkan saya bos” “Jangan minta maaf dengan saya. Minta maaf pada pesakit dan bertaubat pada Allah. Generasi awak yang akan rawat saya bila saya sakit nanti. Saya tak mahu generasi awak rawat saya begini sebab itu saya perlu tegur”

Kredit Foto: Google

Untuk jadi doktor mesti hadir dengan jiwa. Hadir dengan minat. Bukan hanya merawat dengan ubat tapi dengan hati. Jika kekayaan yang dicari, jadi doktor tak kaya. Jika kestabilan pekerjaan yang dicari, jadi doktor belum tentu terjamin. Jika kemahsyuran yang dikejar, jadi doktor tak jadi terkenal.
Jika rasa tak kena dengan jiwa, jangan jadi doktor. Jangan paksa diri. Ia lebih memudaratkan pada diri dan pesakit. Bukan senang untuk ikhlas diri. Ikhlas itu mahal. Hanya kerana ikhlas kita mampu masuk syurga. Setiap rawatan yang kita berikan dapat menghilangkan sakit, kerisauan dan menenangkan hati pesakit dan ahli keluarganya. Itu sangat bermakna buat mereka.


Ingat,kita adalah perawat. Moga Allah berikan keberkatan dalam rezeki yang kita cari dengan ikhlas. Sama-sama kita cuba ikhlaskan diri. Teguran untuk diri yang lemah ini.


‘Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup(merawat) seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup(merawat) manusia semuanya.’
-Al Maidah,32-