Suami isteri itu sifatnya saling melengkapi antara satu sama lain. Saling menegur dan bantu membantu sementelah itulah insan yang dijodohkan untuk kita. Bukannya untuk merendah-rendahkan, membanding-bandingkan atau mahu tunjuk siapa lebih pandai, lagi hebat dan sebagainya. Jika ada yang terlintas sedemikian, segeralah perbetulkan. Bukan apa, ia bagaikan satu petanda yang akan membawa kebinasaan dalam rumahtangga. Seperti apa yang penulis cerap daripada perkongsian Shariff Mustafa menerusi laman Facebook Pakar Diari Hati.

Kredit Foto: Google


Virus Senyap Merosak Keharmonian Rumahtangga Iaitu Virus Ujub

“Teruk betul suami aku ni, malas solat. Aku ni elok je jaga solat, bukan tu je, tiap malam bangun tahajjud”, bisik si isteri dalam hati.
“Kenapalah isteri aku ni, payah betul nak paham Quran. Aku ni bagus la juga, bukan surah Al Fatihah je aku paham, hampir semua surah dalam Quran aku faham”, bisik hati suami.


Ini contoh ujub. Ujub lain, riya' lain. Ujub ialah perasaan kagum atas diri sendiri, merasa diri hebat, bangga diri, terpesona dengan kehebatan diri.
Riya’ ialah menunjuk-nunjuk atau menunjukkan kelebihan diri sendiri kepada orang lain untuk mendapat perhatian, sanjungan, kedudukan, dan pujian.


Cuma menurut Fudhail bin Iyadh, bila kita beramal kerana manusia (menunjuk-nunjuk, ingin mendapat sanjungan manusia) itu tanda syirik. Bila kita meninggalkan amalan kerana manusia barulah itu tandanya riak! Sedikit perbezaan tentang riak menurut beliau. Kadangkala riya’ dapat dihindari, tapi ujub masih kekal dalam diri.

Kredit Foto: Google

Contoh: Kita solat Tahajjud diam-diam, tak ada yang tahu dan kita tidak cerita pada orang lain, dengan harapan tidak riya', sebab hanya kerana Allah. Tetapi dalam hati berkata-kata, "Hebat aku ini, bangun tiap malam tak pernah missed solat Tahajjud, suami aku tidur lagi, orang lain pun sama lena."


Penyakit ujub adalah penyakit hati yang sangat tersembunyi. Perasaan ujub boleh datang bila-bila masa.
"Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya".
"Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya”.
"Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya”.
"Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya".
"Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya".

Sufyan At-Tsauri mengatakan: Ujub adalah, “Perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat".

Sifat Ujub Boleh Dihindari Dengan Cara:

1. Banyak-banyak istighfar memohon ampun kepada Allah setiap kali terdetik rasa kehebatan diri.
2. Mengganggap semua yang baik itu daripada Allah SWT semata-mata, bukan kerana diri sendiri.
3. Berdoa mohon bantuan dari Allah agar dijauhkan dari penyakit Ujub.

Kredit Foto: Google

Suami jangan rasa hebat daripada isteri. Isteri jangan rasa hebat daripada suami. Jangan jadikan kelebihan diri kita dan kekurangan diri pasangan sebagai pintu ujub pada diri, tetapi kelebihan diri untuk disyukuri dan kekurangan pasangan sebagai muhasabah diri.
Nabi SAW bersabda, “Jika kalian tidak berdosa, maka aku takut kalian akan ditimpa dengan perkara yang lebih besar darinya iaitu ujub! Ujub”. (Riwayat al-Baihaqi) Semoga Allah Ta'ala bantu kita mengikis penyakit ujub. Ya Allah, jauhkan aku dari ujub.