gaya hidup

Tinggi Mana Pun TARAF Kita, Saat Kehilangan Ibu, Dunia Pasti Terasa Gelap – Tiada Lagi Doa Mustajabnya.

gempak
Afiza Kamarulzaman
21/12/2020
14:18 MYT
Sponsor Banner
Tinggi Mana Pun TARAF Kita, Saat Kehilangan Ibu, Dunia Pasti Terasa Gelap – Tiada Lagi Doa Mustajabnya.
Membacakan status yang dikongsi Dato’ Seri Najib Razak di akaun media sosialnya sehari dua ini amat menyentuh hati. Saya bukanlah pengikut setianya di media sosial, malah tidak pernah memberi sebarang ‘respond’ pada setiap muat naiknya. Namun, apabila ia melibatkan dukacitanya perihal pemergian bonda, Allahyarhamah Tun Rahah ia benar-benar menyayat hati.
Kongsi Dato’ Seri betapa hatinya hancur apabila ibunya sudah kembali ke negeri abadi. Beliau reda namun jauh di sudut hatinya masih tersisa kesedihan yang tidak dapat diselindungi. Anak mana yang mampu menerima hakikat ditinggalkan ibu yang melahirkan? Ibu yang selama ini menjadi tunggak kekuatan saat susah dan senang.
Siapa Pun Kita, Taraf Ibu Tetap di Atas Anak
Apa pun pengikhtirafan yang kita miliki di dunia ini; sama ada kita ini Sultan, Perdana Menteri, Gabenor, Mufti, Imam, jutawan atau apa saja ketinggian darjat yang dimiliki, kita tetap berstatus anak buat ibu yang melahirkan. Maka, rendahkan dirimu setiap kali mendepani ibu dan santuninya dengan sebaik-baik perbuatan.
Semakin ibu dilayan baik dan mendapat redanya, selama itulah kehidupanmu akan dipermudahkan. Ingatlah reda Allah terletak pada reda ibu. Maka, carilah peluang untuk berbakti kepadanya walau masa kita bagaikan tidak pernah cukup dalam sehari. Walau kerja kita tidak pernah habis.
Jangan Sesal Apabila Ibu Sudah Tiada Nanti
Kita semua ini hanyalah pinjaman sementara, sampai masa diambil semula oleh sang pencipta. Ada orang diberi peluang bermanja dengan ibu hanya saat dilahirkan. Ada pula ketika selesai persekolahan. Ada yang selepas berkahwin. Ada juga yang diberi rezeki lebih panjang, ibu di sisi sehingga dapat melihat cucu cicitnya.
Selama mana pun ibu dipinjamkan, curilah masa dan peluang itu untuk sentiasa menyenangkan hatinya. Bagaimana sakit pun luka yang kadang-kadang diciptanya, rawatlah ia secepat mungkin. Jangan sesekali ada dendam kepada ibu sendiri kerana hakikat nyata tiada seorang ibu yang benci kepada anaknya sendiri.
Apabila jiwa hancur, ibulah tempat untuk mencantumkannya semula. Jika diri terasa lemah, pergilah kepada ibu untuk caj semula energi yang hilang. Jika fikiran rasa berkecamuk, dekati ibu untuk menenangkan semula minda itu. Percayalah, di tangan ibulah azimat dan ubat paling mujarab yang kamu ada. Dan, ingat doa ibulah paling agung daripada semuanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024