Highlights

Ujian Buat Nora Tapi ‘Wakeup Call’ Untuk Kita Dalam Mendidik Anak Zaman Sekarang. Bukan Mudah…

gempak
Huda Hussain
04/09/2020
02:40 MYT
Sponsor Banner
Ujian Buat Nora Tapi ‘Wakeup Call’ Untuk Kita Dalam Mendidik Anak Zaman Sekarang. Bukan Mudah…
Sungguh bukan calang-calang hebat ujian yang Allah hadirkan buat penyanyi terkenal Nora Ariffin. Dalam kegembiraan dan keterujaan menimang cucu beberapa hari lalu, tidak lama selepas itu dia kehilangan ibu mentua tercinta. Bonda kepada Allahyarham suami, Nora Abdullah menghembuskan nafas terakhir pagi kelmarin. Hilang sudah sebutir lagi permata yang menjadi nadi kekuatannya selama ini.
Dan sejak semalam, kita dikejutkan dengan tularnya video panas yang mempamerkan aksi anak perempuannya. Jika kalian berada di tempat Nora kala ini, bagaimana agaknya yang dirasa? Apa yang boleh kalian bayangkan betapa sukarnya dia menempuh ujian bertalu-talu ini. Menerusi posting di Instagram miliknya semalam, jelas terasa betapa berat bahunya memikul ujian dan dugaan ini. Bagaikan terguris hati seorang ibu tunggal yang sudah cuba sedaya upaya dan sebaik mungkin dalam membentuk dan mendidik sahsiah anak gadisnya. Betapa terkilannya dia dengan apa yang terjadi sambil mengharap ia memberi pengajaran bermakna buat puterinya dalam meniti usia remaja.
Kredit Foto: IG Nora Ariffin
Anak Lelaki Atau Perempuan, Cabarannya Sama Sahaja
Sungguh, bukan calang-calang hebat cabaran untuk membesarkan anak-anak zaman sekarang. Tidak kiralah peringkat usia berapa sekalipun. Sedari kecil hinggalah remaja dan dewasa semuanya ada ujian dan cabaran tersendiri. Tidak terhad juga kepada anak lelaki sahaja tetapi sama sahaja cabarannya untuk menjaga dan memelihara anak gadis.
Kredit Foto: Google
Itu belum lagi dilihat tentang soal latar keluarga. Mungkin ada yang hadir dalam keluarga yang punya masalah tersendiri. Lantas soal perhatian dan kasih sayang bukan menjadi prioriti. Masing-masing membawa haluan sendiri. Berbual sesama ahli keluarga, ibu dan bapa pula hanya apabila perlu atau ada urusan penting sahaja. Juga ada yang ibu bapa sudahpun memberi asuhan dan didikan terbaik. Namun begitu tersasar jua dek kerana keinginan untuk mencuba dan mengikut trend semasa.
Kredit Foto: Google
Cabaran Media Sosial, Trend Dan Aplikasi Terkini
Sudah namanya pun remaja, darah muda semua perkara mahu dicuba. Apatah lagi dengan adanya pelbagai jenis aplikasi media sosial, cabaran itu dan ini yang menjadi ikutan anak-anak remaja kita; ujian itu berada di mana-mana. Keinginan dan keterujaan untuk mengikut apa yang terbaru dan trending ada kalanya menghanyutkan anak remaja kita. Bukan sekadar melalaikan tetapi mungkin juga terdorong dengan provokasi atau rakan sebaya yang mencabar keberanian mereka, lantas soal halal haram melayang entah ke mana. Bukan mudah bagi ibu bapa untuk mengawal gerak geri anak-anak 24 jam sehari dalam tempoh seminggu. Andai tiada di hadapan mata, hanya doa yang mampu dititipkan agar anak dilindungi dan dalam peliharaan-Nya walau di mana jua berada.
Kredit Foto: Google
Soal Agama Harus Jadi Benteng Diri
Pada ketika usia yang rapuh ini, bekalan dan ajaran agama harus sentiasa diperkuat. Kerana sifat hati manusia itu berbolak-balik. Ada masanya kita mungkin merasakan iman itu kuat dan ada ketikanya ia bagaikan longlai dan layu. Justeru, berbaliklah kepada ajaran agama. Jika asasnya sudah ada, maka keimanan dalam diri sendiri harus bertindak seiring dengan kewarasan akal fikiran. Jadikan ia sebagai perisai dan senjata berharga yang mampu mengekang diri sekali gus mampu membezakan soal halal dan haram. Fikirkan dan sematkan dalam ingatan ada ‘mata’ yang memerhati. Jika masih punya kedua ibu bapa, beringatlah sebelum bertindak sesuatu yang jika kesudahannya akan menconteng arang di wajah mereka. Ingatlah mana satu dosa dan pahala. Dan peringatan ini hanya bersifat umum untuk renungan kita bersama dalam mendepani cabaran mendidik dan membesarkan anak era ini. Semoga Allah sentiasa melindungi dan memelihara kita semua hendaknya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024