Memasuki episod ke empat, misi Jejak Ebit Lew diteruskan lagi dengan menyantuni dan membantu segelintir masyarakat yang memerlukan. Betapa Ustaz Ebit Lew melihat setiap ujian dan musibah yang ditimpa sesiapa sebagai satu bentuk rahmat dan kasih sayang daripada-Nya. Tidak pernah sesekali mengeluh, sebaliknya Allah terus menggerakkan hati insan mulia ini untuk terus turun padang dan menghulurkan bantuan juga sumbangan mengikut kapasitinya yang termampu.

Kredit Foto: Astro Prima

Misi Bantuan Covid-19 Ke Sabah
Penularan dan trend jangkitan Covid-19 terus memperlihatkan peningkatan. Bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, tetapi kita dikejutkan dengan pertambahan bilangan kes positif di Sabah beberapa bulan lalu. Hingga memaksa pihak berkuasa mengenakan tempoh PKPD di beberapa kawasan yang mencatatkan angka kes positif yang kian meningkat. Banyak kawasan juga dikategorikan sebagai zon merah sekali gus masyarakat sekitarnya sekali lagi perlu kekal berada di rumah. Biarpun sektor ekonomi, pekerjaan terjejas namun demi keselamatan dan kesihatan penduduk; semua perlu akur dengan saranan MKN.

Kredit Foto: Astro Prima

Terpanggil untuk membantu, Ustaz Ebit Lew memohon bantuan daripada Atu Zero dan isteri, Shafeeqa Johari bagi menyalurkan bekalan sut PPE kepada barisan hadapan di Sabah. Terdahulu, Shafeeqa ada memuat naik di instagramnya mencari sukarelawan bagi membantu menjahit sut PPE. Fabrik yang telah dipotong kemudiannya dijahit para sukarelawan ini dan ia dijahit secara percuma. Menurut Shafeeqa lagi, sebelum Sabah diisytihar zon merah lagi, pasangan ini telahpun secara sukarela menjahit sut PPE dan kemudiannya di hantar ke sana. Sebanyak 2000 sut diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Kudat. Bahkan semasa PKP dahulu, mereka turut bekerjasama dengan pihak UiTM untuk menjahit 7,000 pasang sut PPE. Tumpang bangga dan terharu apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Ustaz Ebit Lew, Atu dan Shafeeqa berlapang dada bagi meneruskan misi ini.

Kredit Foto: Astro Prima

Di Senai, Johor Bharu; team Jejak Ebit Lew berkesempatan merakamkan persiapan penghantaran bekalan makanan, kelengkapan lain dan sut PPE untuk diterbangkan ke Sabah. Program Penerbangan Prihatin ke Sabah ini turut dijayakan pihak MyJet yang dipertanggungjawabkan untuk membawa semua kelengkapan ke Sabah. Menurut Azrul Hisham Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif MyJet, “Disebabkan oleh usaha-usaha Ustaz sebelum ini, kita pun berasa terinspirasi. Dan kita ambil pendekatan ini untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini dalam menyampaikan bantuan misi ke Sabah,” hurainya lanjut.

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
“Kita tak boleh nak bantu semua orang. Tapi kita nampak ujian musibah ini satu sahaja tujuannya supaya kita semakin berkasih sayang. Dengan ini rahmat Allah akan turun cepat. Dan apabila rahmat turun kepada kita, kita perlu bersatu hati. Bukan saya seorang sahaja yang berkorban tetapi ramai anak-anak muda yang berada bersama saya, anak-anak muda di MyJet juga; mereka bukan punya duit yang banyak, tiada kuasa. Tapi mereka ada semangat untuk bangunkan kebaikan dalam negara kita, Insya-Allah. Bantu selagi kita mampu. Insya-Allah saya percaya Covid-19 ini walaupun ia menyakitkan tapi disebaliknya saya percaya ada rahmat Allah yang sangat besar untuk kita menjadi manusia yang lebih baik dan menyayangi orang lain.

Kredit Foto: Astro Prima

Ziarah Mangsa Motosikal Terbakar Di Johor
Dalam segmen kedua pula, team Jejak Ebit Lew menziarahi dan menyalurkan bantuan kepada Amran Rongi dan keluarga yang berhadapan dengan detik cemas apabila motosikal yang ditunggang bersama dua anaknya rosak lalu terbakar di laluan motosikal Plaza Tol Senai, Johor Bahru. Kebakaran itu akhirnya berjaya dipadamkan dengan bantuan polis yang melakukan sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan.

Kredit Foto: Astro Prima

Memahami kesulitan hidup yang dilalui Amran Rongi yang ketika kejadian dalam perjalanan mahu meminta bantuan susu dari Baitulmal Johor untuk keperluan anak-anaknya; Ustaz Ebit Lew bermurah hati menyumbangkan sebuah motosikal untuk kegunaan Amran. Dia yang bekerja membantu ayahnya membuat kupang, menyara hidup dengan membeasrkan empat orang anak.


Bersyukur dan berterima kasih kepada Ustaz Ebit Lew, ujar Amran lagi “Moha Tuhan lindungi Ustaz dan (perkampungan) kami. Saya bersyukur sangat pada Tuhan dan kepada Ustaz. Kalau Tuhan tak gerakkan hati Ustaz, Ustaz pun tak akan datang sini.” Selain memberi peringatan agar Amran menjaga solatnya, menurut Ustaz Ebit Lew solat akan menjadi pendukung supaya kita terus berbuat kebaikan, membimbing anak-anak menjadi insan berguna. Dalam masa sama, team Jejak Ebit Lew turut berkongsi rezeki dan menyalurkan bantuan makanan kepada 84 buah keluarga di Kg Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
Orang yang menggembirakan saudaranya yang lain, dalam sebuah hadis ada menyebut sebenarnya kita sedang menyukakan Allah untuk mendapat reda Allah SWT. Dan apabila kita susah, nanti Allah hantar para malaikat yang berkata, ‘Jangan kamu takut, jangan bersedih’. Apabila seseorang ditimpa musibah, kita perlu ucap takziah. Tetapi paling baik adalah kita kongsi sedikit kesusahannya dengan maksud kita bantu dia. Dengan asbab itu, kita akan berasa seperti sebuah keluarga dan Allah akan sayang kita.


Misi Menghantar Empat Cucu Arwah Pak Aq Ke Madrasah
Masih ingat lagi dengan sebuah keluarga besar di Alor Star Kedah yang tinggal bagaikan dikelilingi sampah dan tular di media sosial beberapa bulan lalu? Kali ini, selepas enam bulan di kediaman baru, Ustaz Ebit Lew kembali semula menziarahi keluarga ini bagi menyempurnakan hajat dan amanat yang ditinggalkan arwah Pak Aq. Ketika ziarah terdahulu, arwah Pak Aq ada menyatakan hsaratnya kepada Ustaz Ebit Lew untuk menghantar cucunya ke madrasah.

Kredit Foto: Astro Prima

Pernah orang bertanya kepada Ustaz Ebit Lew, “Ustaz kenapa tolong orang begitu begini. Ada yang berkata teruk, tak bagus, tak baik”. Tetapi kalau betullah, orang itu tak baik dan sebagainya; kita yang cerdik, yang baik, yang warak, yang mulia, yang kaya, yang bersih… Apa kita buat untuk tolong mereka? Itu tugas kita. Allah tak tanya kenapa dia jahat? Kenapa dia degil? Kenapa dia miskin? Kenapa dia kotor? Kenapa dia tak sekolah? Kenapa dia malas? Tetapi Allah tanya, apa kamu buat untuk tolong orang miskin, apa kamu buat untuk tolong orang malas, apa kamu buat untuk tolong orang susah? Itu soalan untuk kita. Kita bertindak dalam hidup mengikut soalan yang Allah akan tanya di hari Akhirat nanti.

Kredit Foto: Astro Prima

Bagi menyempurnakan janji Ustaz Ebit Lew, empat orang cucu Pak Aq dipersiapkan untuk didaftarkan ke sebuah madrasah, Maahad Tahfiz Al Munir. Segala keperluan dokumen seperti my kid, sijil lahir dan yang berkaitan diperolehi. Juga Ustaz Ebit Lew membawa anak-anak kecil ini membeli barang keperluan dan pakaian sesuai untuk dibawa ke madrasah tersebut.

Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Nabi Muhammad SAW bersabda, manusia yang paling baik adalah manusia paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Hidup kita kalau nak lebih dekat dengan Allah, untuk lebih dekat dengan Nabi Muhammad SAW; kita kena memberi manfaat untuk orang lain. Umat ini umat yang sangat mulia. Kita tak dilahirkan, dikeluarkan untuk diri kita sendiri. Tapi kita dikeluarkan untuk seluruh manusia. Mengajak kepada kebaikan dan menegah kepada keburukan dengan lidah, dengan lisan. Jadi orang yang sedang lalai, ditimpa kesusahan, maaf kata dalam kejahilan, kebodohan; kita perlu terjun dan selamatkan mereka. Bawa mereka kepada suasana yang baik, perlahan-lahan kita beri mereka ilmu. Bukan nak mengubah orang susah dan miskin ini suka dengan kita. Atau marah dia, bercakap tak baik tapi Nabi Muhammad SAW bersabda kita menasihati orang supaya kita suka diri dinasihati. Jadilah manusia yang terus memberi manfaat kepada orang lain. Moga asbab itu, kita akan peroleh rahmat dan kasih sayang Allah SWT.